Doa tidak makbul

berdoa dan terus berdoa

“assalamualaikum nak, dari tadi pakcik tengok anak ni berdoa. Menangis tak berhenti. Ada masalah apa?” seorang pakcik dalam lingkungan 50-an menegur anak muda yang sedang berdoa di dalam sebuah masjid.

“tak ada apa pakcik..” seorang anak muda membalas acuh tak acuh sehingga terlupa menjawab salam.

“tak kan la tak ada apa-apa. Pakcik perasan anak dari pagi tadi lagi duduk di sini. mesti ada masalah besar ni. Siap menangis lagi”

“betul la pakcik, memang tak ada apa-apa. Pakcik jangan risau. Biarlah saya dengan Allah je tahu”

“pakcik bukan apa, pakcik dah makan garam dulu dari anak. Mungkin masalah anak sama dengan masalah pakcik masa muda dulu. Boleh pakcik tolong selesaikan masalah anak”
Segera anak muda itu menoleh dan melihat pakcik itu dari atas kepala sehingga ke kaki. Pakcik itu hairan dengan sikap anak muda itu.

“tak mengapa la pakcik. Saya rasa pakcik tak dapat tolong saya” kemudian anak muda itu terus membiarkan pakcik itu dan meneruskan tadahan doanya sambil menutur perlahan permintaannya. Dengan penuh harapan semoga doanya dimakbulkan.

“pakcik dapat mengagak masalah anak. Mungkin anak ada masalah kewangan” kenyataan pakcik itu membuatkan anak muda itu tersentak. Segera dia memberhentikan doanya dan mengesat lebihan air matanya yang masih bersisa di pipi.

“err..macam mana pakcik boleh tahu masalah saya? Saya tak pernah cerita kat sapa-sapa pun”

“kan pakcik dah cakap tadi, pakcik makan garam lebih awal dari anak. Lagipun pakcik Nampak anak duduk di sini dari pagi dengan berbekalkan sebungkus roti. Kalau bangun pun ke tempat wuduk. Anak mesti kelaparan. Mari pakcik bawa anak ke rumah pakcik. Di depan tu je”

“tak mengapa la pakcik. Lepas ni saya balik saya makan la” anak muda itu cuba menolak.

“jangan tipu pakcik, di rumah anak mesti tak ada makanan. Jom. Rumah pakcik depan tu je. Dekat sangat. Jom” pakcik itu menarik lembut tangan anak muda itu ke rumahnya. anak muda itu merelakan.

***

“owh, macam tu ke ceritanya? Mak banyak hutang, lepas tu ayah gaji sikit. Gaji ayah cukup-cukup untuk membayar hutang mak dan dua orang adik? Sampaikan anak tiada duit untuk belanja? Sebab tu anak berdoa?”

“ya pakcik. Semoga Allah makbulkan doa saya”

“anak, umur anak berapa tahun?”

“25 tahun”

“tak bekerja?”

“tak”

“anak nak tahu kenapa doa anak masih tidak makbul sampai sekarang?”

“nak”

***

Apabila kita katakan tentang doa, pasti ramai dari kalangan kita tahu bahawa ia adalah senjata utama bagi orang mukmin. Dalam apa jua masalah, pasti dapat diselesaikan dengan doa. Sepertimana disebut didalam surah Al-Mukmin ayat 60: “berdoalah kepada-Ku, nescaya akan-Ku perkenankan bagimu”. Dengan menyediakan hati dan jasad yang bersih dari segala perkara haram, maka kita menunggu sepenuh harapan bahawa doa kita pasti dimakbulkan. Kerana doa orang yang kotor hatinya dan jasadnya tidak diangkat ke langit. Apatah lagi didengari oleh Allah. Di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu, dia menadah tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapi perkara yang haram, bagaimana akan diperkenankan permohonannya?”

Tetapi tidak kurang ramai juga yang merasakan doa tidak membawa apa-apa makna dalam hidupnya. Setiap permintaannya tidak pernah termakbul. Sedangkan segala syarat sudah dipenuhi. Makanan dan minumannya halal, pakaiannya halal, serba serbi halal, tidak bercampur dengan perkara haram walaupun sedikit. Tapi mengapa doanya tetap tidak termakbul? Cuba kita sama-sama kaji. Mungkin ada satu atau dua perkara yang perlu dilakukan untuk melengkapkan kesinambungan doa itu sehinggalah tercapai apa yang dihajati.

***

Seperti tersebut di dalam sebuah hadis: “siapa yang usaha, dia dapat”. Mengiringkan usaha selepas berdoa adalah langkah bijak. Bahkan inilah satu-satunya langkah untuk mencapai apa yang dihajati. Membiarkan diri di tikar sejadah berhari-hari lamanya untuk berdoa, tanpa memikirkan sebarang usaha untuk ke arah mencapainya, adalah sikap yang silap. Umpama sang ‘abid yang beribadah tanpa henti sehingga lupa akan urusan dunia, juga dicela nabi. Malah Allah sentiasa menggalakkan hamba-Nya bertebaran di atas dunia ini untuk melakukan sebarang urusan duniawi. Maksud dari surah Al-Jum’ah ayat 10: “apabila sudah menunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah dan sentiasalah mengingati Allah supaya kamu beroleh keuntungan”

Usaha keras untuk merealisasikan doa menjadi realiti perlu pada perkara seterusnya iaitu istiqamah. Istiqamah yang bermaksud berterusan dalam melakukan sesuatu kerja. Istiqamah adalah perkara yang sangat ditekankan di dalam islam meskipun amalan itu kecil dan sedikit. Malah Istiqamah diletakkan sebagai perkara penting selepas beriman kepada Allah. Kerana jika beriman tetapi tidak istiqamah dengan perkara yang diimani, bermakna hati kita masih belum betul-betul beriman. Seperti tersebut di dalam sebuah hadis sohih yang bermaksud: “berimanlah kamu kepada Allah kemudian beristiqamahlah”. Begitu juga dalam amalan yang lain. Amalan yang sedikit tetapi istiqamah lebih baik dari amalan yang banyak tetapi tidak istiqamah. Malah dicintai oleh Allah. Maksud sebuah hadis: “sesungguhnya perkara yang dicintai oleh Allah adalah istiqamah walaupun sedikit”

Tidak lengkap doa, usaha dan istiqamah tanpa satu perkara lagi. iaitu tawakkal. Dengan tawakkal bermakna kita menyerahkan segala yang dilakukan 100% pada Allah tanpa sedikitpun merasakan bahawa usaha kita itulah penyebab kita memperolehi apa yang dihajati. Sebenarnya kita perlu sedar bahawa banyak perkara yang tersirat dan ghaib yang tidak kita ketahui kecuali Allah. Maka perkara tersirat inilah perlu diserahkan kepada Allah. Kerana Dia tuhan yang mengetahui perkara zahir dan ghaib. Perkara dahulu dan akan datang. Perkara kecil mahupun besar. Perkara yang jelas mahupun di dalam hati manusia. Dia mengetahui segala sesuatu tanpa sebarang hijab. Malah Allah sentiasa mengingatkan hamba-Nya untuk bertawakal. Maksud surah Ali Imran ayat 159: “kemudian apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah menyintai orang yang bertawakkal kepada-Nya”

***

Apabila semua perkara ini kita satukan menjadi sebuah talian yang saling berkaitan, maka kita boleh umpamakan seperti mahu bermusafir ke suatu destinasi. Berniat dan berdoa untuk sampai ke destinasi sahaja tidak cukup. Maka usaha perlu dilakukan dengan menaiki kereta dan menekan pedal minyak. Tetapi apabila menekan pedal minyak pada permulaan, maka perlu menekannya sehingga sampai ke destinasi. Itu yang dinamakan istiqamah. Jika tidak, masakan kereta itu akan bergerak jauh menuju destinasi. Sedang dalam perjalanan, maka bertawakallah dengan mengharapkan kebaikan dari Allah. Maka perjalanan itu insyaallah diberkati dan mudah sampai ke destinasi.

Begitu juga dalam setiap amalan seharian kita, semua perlu kepada empat perkara ini. Meninggalkan salah satu darinya, maka tidak sempurna amalan tersebut. malah mungkin impian yang dihajati terbengkalai di tengah perjalanan.

***

“terima kasih banyak pakcik, sekarang baru saya faham kenapa selama ini doa saya tidak termakbul sampai sekarang”

“Alhamdulillah, ingat dan amalkan teknik mudah ini. D.U.I.T. Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakkal. Insyaallah apa pun yang dihajati akan termakbul”

“tapi pakcik, macam mana pulak kalau dah buat semua ni, tapi masih tidak tercapai apa yang dihajati?” anak muda itu mengharapkan jawapan pasti.

“itu bermakna Allah menangguhkan atau tidak memberikan apa yang anak hajati”

“maksud pakcik?”

“Allah lebih tahu apa keperluan anak. Dia tidak memberi apa yang anak inginkan, tetapi Dia beri apa yang anak perlukan. Jadi berbaik sangkalah kepada Allah, kerana Dia lebih tahu apa yang baik untuk diri kita. Tetapi kena ingat selalu, berbaik sangkalah kepada Allah. Berbaik sangkalah”

“insyaallah pakcik. Terima kasih banyak” tersenyum anak muda itu apabila mendapat sesuatu pelajaran baru yang boleh diselitkan dalam kamus hidupnya.

Comments
18 Responses to “Doa tidak makbul”
  1. ila says:

    “Tidak ada seorang muslim yang menghadapkan mukanya kepada Allah untuk berdoa, kecuali Allah memberikannya (memenuhinya), kadang dipercepat dan kadang diperlambat” (HR Ahmad dan Hakim)

    nice story..thankz 4 sharing=)

  2. chacha says:

    mekasih izzy atas ilmu hari ini🙂

  3. ucu keyna says:

    salam..
    syukran akhi sbb sudi lawat blog ana ^_^
    same2 la kite bejuang tok troskan dakwah mlalui penulisan ye🙂
    sile beri tnjuk ajar..
    ana x brape arif🙂
    d mane shout box akhi ek?

  4. fara says:

    D.U.I.T…!! yess!🙂

  5. caliph says:

    nice sharing.. skrg masa utk tawakal setelah selesai amik exam ptd petang tadi🙂

  6. ZackJ says:

    bolg yang banyak memberi maanfaat

  7. hadijah says:

    D.U.I.T…:)..doa adalah harapan hamba kepada PenciptaNya..ingatlah bahawa setiap ujian adalah pilihan Allah dan bukan pilihan manusia..tidak ada pilihan Allah yg tidak baik..semuanya baik2 belaka..hanya terletak kpd kita utk mencaturkannya..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: