Kuasa hati

dalam hati ada iman

Enjin adalah alat utama untuk menggerakkan kenderaan. Semakin kuat dan berkualiti sesuatu enjin, semakin laju pergerakan kenderaan tersebut. Semakin dijaga dengan rapi, semakin berkualiti gerakan pemanduannya. Begitu jugalah fungsi hati pada diri manusia. Hati manusia umpama sebuah enjin. Hati yang dijaga dengan baik, mampu menggerakkan seluruh anggota badan ke arah yang baik. Begitu jugalah sebaliknya.

Hati manusia boleh juga diumpamakan seperti peti simpanan. Di dalam hati, manusia akan menyimpan segala perkara yang penting. Kerana itu tidak hairanlah jika orang bercinta sering dikaitrapatkan dengan hati. Si pencinta akan sering mempersoalkan tentang hati pada kekasihnya. Malah pencinta sanggup menyerahkan hatinya pada kekasihnya semata-mata kerana cinta. Wajah kekasihnya akan disimpan rapi di dalam hati. Agar wajah itu tidak pernah hilang dari ingatannya.

Tetapi persoalan hati ialah sesuatu yang sangat rumit untuk dijelaskan. Terkadang insan yang sedang bercinta pun tidak sedar hatinya sedang dihuni perasaan cinta. Cuma pemilik hati itu belum benar-benar bersedia memahami perasaan yang sedang berada di hatinya.

Tugas yang paling utama ialah hati dijadikan sebagai simpanan pada iman. Kerana iman itu letaknya pada hati. Keyakinan yang kuat pada sesuatu perkara itulah iman. Seandainya hati tidak benar-benar yakin dengan apa yang dianuti, iman yang dimiliki itu pasti rapuh. Jadi iman sangat-sangat memerlukan tempat simpanan yang kuat dan kukuh. Dari hati, iman itu akan mengalir ke dalam segenap ruang dan sendi serta saluran darah untuk menggerakkan seluruh anggota badan. Kerana itulah setiap amalan dan tindakan anggota badan itu segalanya berpunca dari iman yang terletak di dalam hati.

Insan yang kuat ialah mereka yang mempunyai hati yang kuat. Sekadar mempunyai jasad yang kuat, akal yang bijaksana, belum cukup dikatakan kuat seandai hatinya tidak kuat. Kekuatan hati bukan sekadar cekal menghadapi ujian hidup semata-mata, bahkan pengertiannya lebih dari itu. Kerana hati yang kuat tidak sedikit pun resah andai diuji. Tidak sedikit pun gentar andai dicabar. Tidak sedikit pun lemah andai dihina. Kerana kekuatan hati itulah punca kepada kekuatan fizikal dan mental.

Seorang yang beriman sentiasa memandang serius fungsi hati. Baginya, hati ada kuasa tersendiri. Hati memiliki aura yang sukar diterjemah. Hati adalah sumber kekuatan. Hati juga adalah tempat pandangan Allah pada hamba-Nya. Kerana itulah hati harus dipelihara dengan sebaik mungkin. Agar kotoran dan debu dosa tidak hinggap dan melekat pada hati. Andainya hati tidak dipelihara dengan baik, segala tindakan juga pastinya tidak menjurus ke arah kebaikan.

Tugas hati dalam menentukan peribadi seseorang amat dititikberatkan di dalam islam, sehingga banyak hadis yang menyebut tentangnya. Antaranya ialah sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “di dalam diri setiap manusia ada seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah seluruh jasadnya. Jika buruk daging itu, maka buruklah seluruh jasadnya. Itulah HATI”.

Peliharalah hati dengan sebaiknya. Jauhi maksiat dan dosa agar hati sentiasa bersih. Perelokkan hati agar tidak terpesong dari jalan yang lurus. Lembutkan hati dengan basahan zikrullah. Cekalkan hati dengan batasan taqwa. Suburkan hati dengan baja iman. Semaikan hasil hati dengan semaian ibadah. Tonjolkan peribadi hati dengan akhlak mulia. Agar hati menjadi permata berharga dalam diri seterusnya memandu manusia ke arah yang diredhai oleh Allah.

Itulah KUASA HATI.

Comments
12 Responses to “Kuasa hati”
  1. dina darwina says:

    hati itu ibarat neukleas dlm tubuh badan jadi melalui pemakanan juga akan menghasilkan hati yg baik n_n

  2. dhiera says:

    terima kasih izzy untuk perkongsian ini! terima kasih juga kerana mengingatkan diri yang kadang-kadang lupa menjaga hati~

  3. dhia says:

    Hati ini sedang keliru…susah betul nak jaga hati ini..

  4. dyla says:

    sangat suka entry ni. nak share kat blog saya juga. boleh?🙂

  5. cheqna says:

    Assalamualaikum Izzy,

    semoga di dalam hati sentiasa ada iman yang kuat..

  6. kpah k-poh says:

    selamat kembali berblog….hati..jgn dibiarkan keras dan mati..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: