Untungnya wanita bergelar muslimah

Kerana malu memiliki anak perempuan, si ibu terpaksa menyembunyikan dari masyarakat. Apabila takut diketahui, si bapa mengambil keputusan untuk menanam anak perempuannya sendiri hidup-hidup tanpa sedikit pun rasa belas kasihan. Si anak merayu untuk tidak ditanam, tetapi si bapa tekad dengan keputusannya. Asalkan nama keluarganya bersih, itu lebih penting.

Wanita dewasa pula dinafikan haknya hanya kerana bergelar wanita. Wang mahar yang sepatutnya miliknya, berpindah tangan menjadi milik walinya. Wanita terus akur dengan sistem kehidupan begitu.

Bukan itu sahaja, malah wanita juga tidak diberi hak dalam mewarisi harta pusaka dan wasiat walau sedikit. Wanita dilayan seperti hamba dalam keluarga. Kasih sayang tidak diberikan dan menjadi tempat maki hamun dilemparkan.

Apabila berperang, wanita yang menjadi tebusan dijadikan hamba sepenuh masa. Hidupnya seorang hamba seperti hidupnya seorang pelacur. Kerjanya melayan dan memuaskan nafsu para lelaki sahaja. Andai sudah tidak bernilai, wanita itu dilayan seperti anjing kurap di jalan. Ditendang dan dipijak tanpa sedikitpun belas kasihan dari pelakunya.

Inilah serba sedikit gambaran hidup wanita di zaman arab jahiliyah sebelum turunnya islam dari langit. Aku sedih apabila menggambarkan suasana ini pada zaman itu. Tetapi aku lebih sedih apabila ada suara-suara sumbang yang masih mempersoalkan keadilan islam pada para wanita. Bagi mereka islam tidak adil pada wanita. Islam berat sebelah pada lelaki. Islam tidak memberikan hak sepenuhnya pada wanita. Dan pelbagai lagi suara-suara hodoh yang keluar dari mulut-mulut busuk wanita yang tidak memahami konsep adil dalam islam.

“tidak kami (Allah) utuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam” (al-anbiya’: 107)
Islam adalah agama rahmat untuk seluruh alam. Termasuk di dalam payung rahmat itu ialah manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, batu, air, angin dan segalanya. Semua ini tidak terlepas dari menerima rahmat dari kedatangan islam. Malah isu wanita adalah salah satu isu yang sering ditekankan dalam islam.

Wanita yang masih tidak faham akan konsep adil dalam islam pasti terlalu bernafsu menyalahkan islam sebagai agama yang memenjarakan wanita. Pada hakikatnya wanita seperti inilah yang terpenjara dengan hujahnya sendiri. Mana mungkin islam memenjarakan wanita sedang dalam masa yang sama islam telah memberi terlalu banyak hak istimewa yang tidak mungkin akan diperolehi pada zaman jahiliyyah dahulu. Islam telah muncul untuk menyelamatkan hak dan maruah wanita. Malah islam memuliakan wanita dan meletakkan darjat wanita setinggi mungkin. Hak dan tanggungjawab wanita dalam perkara ibadah adalah sama seperti lelaki kecuali pada tempat-tempat yang tidak mampu wanita tanggung.

Kerana itu wanita yang bergelar muslimah ini cukup istimewa. Kerana hanya wanita muslimah sahaja sedar bahawa islam telah banyak membela mereka. Sebagai contoh, wanita disuruh untuk menutup auratnya dari pandangan ajnabi. Suruhan ini dikecam habis-habisan oleh puak yang benci pada islam. Sedang mereka ini tidak sedar betapa suruhan ini adalah semata-mata mahu menjaga maruah dan nilai diri. Jika dilihat dari satu sudut, menutup aurat adalah suruhan Allah yang mungkin tidak mampu untuk manusia berfikir tentang kebaikannya. Tetapi pada zaman moden ini, pelbagai kajian telah dilakukan dan mendapati bahawa kulit wanita adalah jauh lebih sensitif dari kulit lelaki. Kulit wanita memerlukan penjagaan rapi dari terkena udara dan cahaya matahari yang berlebihan.

Bukan itu sahaja, malah wanita yang menutup aurat adalah lebih terjamin keselamatannya. Kerana apabila aurat ditutup rapi, nafsu berahi lelaki dapat dikurangkan dan seterusnya dapat mengelakkan dari diganggu. Nah, disini untungnya menjadi muslimah. Tidak perlu menunggu kajian dan hikmah baru mahu menutup aurat, tetapi mengikut suruhan Allah tanpa perlu banyak bertanya. Kerana syariah islamiyah itu sendiri diturunkan dengan tujuan untuk menjaga lima kemaslahatan manusia. Iaitu harta, keturunan, akal, nyawa dan maruah.

Kalau dengan bukti ini masih belum mampu menutup mulut-mulut wanita yang berhati busuk ini, semoga Allah memberikan mereka hidayah.

Selain itu, wanita muslimah juga diberi keistimewaan dalam ibadah. Banyak waktu-waktu yang diringankan. Mereka boleh ber’cuti’ sementara daripada amalan fardhu. Malah ibadah haji juga tidak diwajibkan kepada mereka yang tidak mampu. Amalan sunat yang dilakukan dalam keadaan sukar pula diganjarkan pahala berlipat-lipat kali ganda.

Apabila berkahwin pula, wanita muslimah yang sebelumnya perlu mentaati arahan mak dan ayahnya, berpindah hanya pada mentaati suami. Mengikut segala permintaan suami selagi tidak bercanggah dengan syariat. Semua itu mungkin dipandang berat bagi wanita biasa. Tetapi dipandang ringan oleh wanita yang bergelar muslimah. Kerana wanita muslimah sedar bahawa hanya dengan mentaati suaminya, tiket untuknya ke syurga pasti sudah tersedia.

“apabila wanita mendirikan solat lima waktu, berpuasa di bulan ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, dia akan diperintah oleh Allah untuk memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai” (HR Ahmad)

Setelah bergelar ibu, wanita muslimah sekali lagi dimuliakan oleh islam. Si anak wajib menghormati dan mentaati arahan ibunya melebihi arahan dari ayahnya. Malah Allah meletakkan kemuliaan syurga itu di bawah tapak kaki seorang ibu. Seorang anak yang mahu mendapat redha Allah perlu melalui pintu keredhaan ibunya. Di sini jelas menunjukkan bahawa wanita di sisi islam diletakkan pada martabat yang tinggi.

“seorang lelaki pernah datang pada Rasulullah s.a.w, lalu dia bertanya: ‘wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku perlakukan dengan baik?’ Rasulullah menjawab: ‘ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi: ‘kemudian siapa lagi?’ Rasulullah menjawab: ‘ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi: ‘kemudian siapa lagi? Rasulullah menjawab: ‘ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi: ‘kemudian siapa lagi?’ Rasulullah menjawab: ‘ayahmu’.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya masih terlalu banyak kelebihan wanita dalam islam. Tetapi hujah yang sedikit ini pun sudah dirasakan cukup untuk membuka minda dan hati para wanita yang tidak habis-habis menuduh islam sebagai agama yang menindas mereka. Cukuplah aku katakan bahawa yang menindas itu bukan islam, tetapi fikiran mereka yang terlalu jumud tentang islam menjadikan mereka tidak penat menentang islam.

Akhir kalam, aku ingin memuji para muslimah yang tetap teguh melaksanakan islam pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Keteguhan inilah yang sering ditakuti oleh puak kafir yang bencikan islam. Sehingga mereka tidak putus-putus cuba melemparkan pelbagai hiburan kepada muslimah sehingga mereka lalai dan leka dengan ajaran islam. Puak ini tidak berhajat untuk menanggalkan pakaian wanita muslimah, tetapi cukuplah bagi mereka untuk menanggalkan pakaian islam yang ada pada hati wanita muslimah.

Nasihat aku, berpegang teguhlah pada ajaran islam wahai wanita muslimah. Kerana kau sentiasa duduk pada darjat yang tinggi di sisi Allah. Dan keteguhan kau inilah yang melayakkan kau menjadi bidadari pada para suami di syurga kelak. Bersyukurlah kau masih bergelar wanita muslimah.

Untungnya wanita bernama muslimah.

Wallahua’lam.

Comments
12 Responses to “Untungnya wanita bergelar muslimah”
  1. dina darwina says:

    dina bangga jd wanita muslimah🙂

  2. hadijah says:

    Subhanallah..seseungguhnya bukan mudah menggapainya..namun tidak mustahil..kerana wanita solehah itulah seindah perhiasan..:)

  3. hamba hina says:

    Alllahu Akhbar!! untuk menjadi wanita soleheh itu mudah ttp untuk istiqomah dngnya berapa ramai yang mampu..

  4. ila says:

    islam telah meninggikan martabat wanita..tapi ramai wanita itu sendiri yang merendahkannya ~ dunia akhir zaman ..nauzubillah!

    sama2 kita saling mendoakan kerana muslimah itu bukan semudah menyebutnya

  5. faqih says:

    usaha-doa-tawakkal=insyaAllah:)

  6. Azekzk says:

    Moga Allah terus bg keistiqomahan,.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: