Cinta ‘tak logika’

muhammad s.a.w

muhammad s.a.w

‘Dia cintakan aku, tetapi dia tak pernah pun jumpa aku’. Aku bermonolog sendiri.

‘dia rindukan aku, tetapi dia tak pernah pun melihat aku. Mustahillah! Ini semua menipu. Mana mungkin dia rindu aku tapi dia pernah jumpa aku?. Hahaha..tipu semua ini. Tak lojik’.

Aku berfikir kemungkinan logika pada kenyataan ini. Sehingga setakat ini aku masih tidak temui jawapan. Jawapan pada persoalan cinta. Cinta ‘tak logika’.

***

Satu ketika dahulu, aku pernah mendengar dari mulut orang cerita tentang dia. Dia seorang yang tabah. Perkasa. Kuat. Cekal. Sehingga hampir mustahil untuk aku membandingkan manusia lain di atas muka bumi ini dengan kehebatannya. Aku terpegun.

Aku selusuri sejarah hidupnya. Aku membaca kanvas sirahnya. Sejak lahir sehingga menemui Yang Esa, tidak aku temui walau sepalit dosa atau setompok noda pada dirinya. Malah yang aku temui semuanya hebat-hebat belaka. Tiada satu ruang pun dalam hidupnya dibiar kosong tidak berisi kebaikan. Aku kagum.

Kini aku ketahui peribadinya dan akhlaknya. Aku kenal sifat dan sikapnya. Aku selalu mendengar manusia berdoa padanya setiap kali namanya disebut. Kini aku sudah jatuh cinta. Ya, aku jatuh cinta pada baginda. Aku rindu untuk menemui Rasulullah s.a.w di syurga sana. Aku sayang baginda. Aku cuba mengingati baginda dan cuba melaksanakan sunnah baginda sepanjang aku hidup.

Cinta ini lojik. Kerana walaupun aku tidak pernah temui baginda, tetapi aku terpikat dengan baginda kerana aku telah mendengar cerita tentang baginda. Aku kenal baginda kerana itu aku cinta baginda. Rindu baginda. Tetapi….

***

‘ya, mungkin benar cinta seperti itu lojik’. Aku bermonolog lagi.

‘kerana aku kenal dia dari pembacaan aku. Insan sehebat itu hampir mustahil untuk dibenci. Malah hampir wajib dicintai. Masakan tidak, akhlak sepertinya hanya akan aku temui sekali seumur hidup. Allah dan malaikat pun mencintai dan berselawat ke atas baginda. Inikan pula kita manusia kotor penuh lumpur dosa. Ada hati mahu benci nabi?’.

‘Allahumma Solli ‘Ala Muhammad. Tapi timbul lagi persoalan tentang cinta. Mungkinkah aku mencintai orang yang menyakiti aku? Melukakan aku? Mencaci dan menghina aku? Malah cinta aku pada orang seperti ini makin bertambah? Ah! Mustahil! Mustahil aku cinta orang seperti ini. Tak lojik!’

***

Baginda tiba di thaif, dengan harapan penduduk thaif menerima dakwah baginda. Tetapi harapan hanya tinggal harapan. Bukan sahaja dakwah baginda ditolak, malah baginda sendiri dicaci, dihalau malah dilemparkan batu sehingga baginda luka. Sangat jelas perasaan benci penduduk thaif pada baginda. Sehingga datang malaikat menemui baginda dan bertanya: “wahai kekasih Allah, adakah engkau mahu aku mengangkat bukit ini dan dihempapkan ke atas kaum ini?”. Perlahan baginda menjawab: “jangan. Mungkin hari ini mereka tidak menerima islam. Tetapi aku berharap akan keluar dari keturunan mereka yang akan menegakkan islam esok hari”. Malaikat akur dan pergi meninggalkan Rasulullah s.a.w.

Baginda tidak membalas kebencian dengan kebencian. Baginda tidak mendoakan keburukan orang yang membenci baginda. Baginda juga tidak lupa mendoakan kebaikan mereka. Itulah cinta yang tak lojik. Tetapi wujud.

***

‘persoalannya lagi, dia tahu aku selalu melupakannya. Selalu tinggal ajarannya. Tetapi dia masih cinta aku. Dan cintanya makin bertambah. Sedikit pun tidak berkurang. Malah kekal pula hingga ke hari pembalasan’. Hatiku sekali lagi bermonolog.

‘cinta seperti ini tak lojik. Sangat tak lojik. Sebab aku pernah dengar kisah di padang mahsyar nanti, semua manusia hanya memikirkan nasib dirinya sendiri. Seorang ibu lupa akan anaknya sendiri. Seorang anak lupa akan bapanya. Seorang adik lupa abang dan kakaknya. Seorang isteri lupa pada suaminya. Tetapi dia tetap ingat pada aku? Sedangkan tiada pertalian darah, tiada kaitan persaudaraan?’

‘ya, kali ini aku yakin cinta seperti ini pasti tidak lojik. Aku yakin!’

***

Saat baginda sedang nazak, isterinya ‘Aisyah dan para sahabat mengelilingi baginda. Baginda lemah terbaring di katil. Ada suara perlahan keluar dari celah bibir baginda: “ummati(ummatku)…ummati..ummati..”.

‘Aisyah hanya mampu mengalirkan air mata melihat baginda. Tidak tahan melihat kesakitan yang ditanggung oleh baginda. Malaikat jibril datang menemui baginda. jibril mengkhabarkan kepada baginda berita di langit. Syurga Firdausi tertinggi sedang menanti baginda. Kenikmatan dan kemewahan yang terhebat sedang menunggu ketibaan baginda. Dengan segera baginda bertanya pada jibril: “bagaimana dengan nasib ummatku? Adakah mereka semua bersamaku di syurga?”

Kemudian datang pula malaikat izrail untuk menjalankan tugasnya mencabut nyawa baginda, jibril hanya mampu menangis melihat keperitan yang ditanggung oleh baginda. Kesakitan itu hanya dibalas dengan sekuntum senyum di bibir baginda. Malah baginda sempat berpesan kepada izrail: “kau kurangkanlah kesakitan sakaratul maut pada ummatku. Timpakan separuh kesakitan mereka pada diriku. Biar aku menanggung kesakitan ummatku”

Akhirnya baginda wafat. Menemui Kekasihnya di sana.

***

‘Allahumma Solli ‘Ala Muhammad. Insan seperti ini wujud. Di saat aku melupakannya, dia sentiasa ingat padaku. Meski tiada pertalian darah, dia tetap menyayangiku. Walau dia tidak pernah menemuiku, tetapi dia tetap mencintai aku. Cinta jenis apakah ini?’

‘inilah dinamakan cinta ‘tak logika’. Cinta ini hanya ada pada manusia sehebat Muhammad s.a.w. cinta ini tinggi nilainya. Hanya satu tiada dua. Cinta agung tiada berbelah bagi. Cinta nabi pada ummatnya. Cinta yang tidak mengharap apa-apa balasan. Cinta yang tidak memerlukan alasan’

‘kalau difikirkan, apalah faedahnya dia mencintai aku. Dia tanpa aku, dia pasti ke syurga. Dia tanpa aku, dia tetap bahagia. Tetapi kenapa dia mencintai aku?’

Aku berfikir sejenak. Akhirnya aku temui jawapan.

‘kerana aku ummatnya’.

Monologku berakhir setelah aku yakin cinta ‘tak logika’ seperti itu wujud dan hanya ada pada susuk mulia nabi Muhammad s.a.w.

‘Allahumma Solli ‘Ala Muhammad’

Comments
9 Responses to “Cinta ‘tak logika’”
  1. ucu keyna says:

    aku juga tlh temukn jwpnnye ^^,
    اللهم صلى على محمد وعلى آل محمد

  2. Mawar says:

    Tersentuh hatiku..sungguh mulia peribadi Rasulullah s.a.w..

  3. efa says:

    Dia tanpa aku, dia pasti ke syurga. Dia tanpa aku, dia tetap bahagia. Tetapi kenapa dia mencintai aku?

  4. faqih says:

    krn cinta RasulNya adalah cinta yg ikhlas

  5. dina darwina says:

    aku mencintai rasulullah tetapi aku rs x layak utk masuk ke syurga utk bjmpa baginda..aku byk dosa..,,tetapi takut utk masuk neraka

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: