Umrah Ramadhan dan Aidilfitri

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Akhirnya impian yang selama ini aku impikan tercapai iaitu menunaikan umrah Ramadhan. Seterusnya menyambut Aidilfitri di Mekah dan Madinah. Pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Rasa bertuah kerana menjadi salah seorang dari jutaan umat islam di muka bumi ini yang dipilih menjadi tetamu Allah meskipun sekadar umrah.

Perjalanan bermula pada 10 ogos 2012 pukul 12.00 malam di Jordan menaiki bas. Pada mulanya dijanjikan akan bertolak pada pukul 8.00 malam, iaitu selepas berbuka puasa. Tetapi kerana sikap arab yang suka berjanji tetapi tidak suka menepati janji. Kami terpaksa akur. Kerana ini negara mereka. Walau apa pun, kami tetap bersyukur kerana perjalanan tetap dapat diteruskan.

Bas yang membawa kami

Setelah perjalanan menaiki bas merentasi dua negara Jordan dan Arab Saudi iaitu selama lebih kurang 30 jam termasuk berhenti solat dan rehat, akhirnya kami sampai juga. Menjejakkan kaki di Tanah suci buat kali ke-2 betul-betul membuatkan diri ini sebak. Allah masih izinkan kaki kotorku berpijak di tanah ini. Tanah para nabi dan sahabat. Tiba-tiba diri rasa malu dengan dosa-dosa yang selalu mengotori diri.

Suhu di sana seperti dijangka. Panas dan bahang. Rasa seperti ada bara api dikeliling badan. Angin yang menampar muka sedikit pun tidak membantu mengurangkan bahang ini. Malah menambahnya.

Jumlah umat islam yang melakukan umrah juga seperti dijangka dan dikhabarkan sebelum ini. Jutaan lautan manusia berebut-rebut mencari tempat kosong di masjidil haram. Berbagai bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya. Aku juga terpaksa menjadi kasar. Berebut-rebut mencari pahala itu tidak mengapa. Asalkan jangan mengasari dan mencederakan orang lain.

Jutaan jemaah yang berada di luar masjid

Sebelah malamnya lebih dahsyat. Kalau tadinya jumlah manusia mungkin mencecah 3 juta orang. kali ini 2 kali ganda. Hampir mencecah 6 juta manusia dalam satu-satu masa beribadah di masjidil haram. Pada mulanya aku hanya menjangka, rupanya betul. Kerana sempat bersembang dengan orang arab di sana. “umrah kali ini aku rasa paling ramai. Lebih ramai dari waktu haji. Lebih 5 juta”. Katanya.

Jadi tidak hairanlah 1-2 jam sebelum waktu solat tiba, manusia sudah pun memenuhi ruang solat malah kawasan luar masjid. Lebih-lebih lagi waktu malamnya. Sebelum berbuka semua manusia berebut-rebut mencari tempat berhawa dingin bagi mengurangkan kepanasan. Ada juga mereka yang tidur dan bertapak di kawasan strategik sejak awal Ramadhan lagi supaya kawasan itu tidak diambil orang lain. Itu perkara biasa.

Lautan manusia pada malam hari

Seperti biasa, aku berbuka puasa dengan air zamzam dan kurma hasil pemberian orang ramai. Aku tidak pernah risau untuk memikirkan makanan apa yang akan aku berbuka nanti. Insyaallah pasti ada sahaja tangan-tangan soleh memberikan kepada aku kurma. Kadang-kadang lebih dari itu seperti roti dan manisan.

Berbuka dengan kurma dan air zamzam

Setelah solat maghrib, kebiasaannya aku akan keluar dari masjid untuk mencari makanan yang lebih berat. Nasi beriyani dan ayam menjadi pilihan hati. 12 riyal. Pada aku itulah makanan yang berat dan paling memuaskan. Harganya juga berbaloi jika dibandingkan dengan makanan lain yang boleh mencecah 20 riyal ke atas. Dengan nasi ini, aku boleh bertahan sehingga sebelum waktu sahur. Air tidak perlu risau, air zamzam di mana-mana sahaja boleh diperolehi.

Apabila berkumandangnya azan isyak, ketika itu bilangan jemaah semakin ramai dan berpusu-pusu mencari tempat di dalam dan luar masjid. Kerana waktu inilah yang paling ditunggu-tunggu. Waktu isyak dan solat sunat terawikh secara berjemaah. Tambahan pula solat biasanya diimamkan oleh imam-imam terkenal dan bersuara merdu seperti Syeikh Syuraim, Syeikh Maher dan Syeikh Sudais.

Manusia berpusu-pusu mencari tempat

Solat terawikh sebanyak 20 rakaat melengkapkan 1 juzu’ pada 1 malam. Bagi sesiapa seperti aku yang tidak biasa berdiri lama dalam keadaan panas, bersempit dan berpeluh-peluh, ketika inilah dinamakan ujian sebenar. Ketika inilah kita tahu bagaimana hati kita benar-benar jauh dari Allah.

Selepas selesai solat terawikh, kebiasaannya tidak ramai manusia berganjak dari tempatnya. Masing-masing menjaga tempat sendiri sehingga tibanya pukul 1 pagi. Solat qiyamullail dimulakan. Kali ini juga jumlah manusia tidak berkurang. Alhamdulillah, semangat mengerjakan ibadah sentiasa menebal dalam hati setiap mereka.

suasana sebelum solat qiyamullail

Beginilah beberapa gambaran setiap hari pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan di Mekah. Masing-masing mencari malam lailatulqadar. Malam yang dijanjikan lebih baik dari 1000 bulan. Jadi manusia tidak akan melepaskan peluang mencarinya. Jika ditemui dalam keadaan sedang beribadah di dalam masjid yang paling mulia, di tanah paling suci, pastinya berita gembira buatnya di akhirat nanti.

Aidilfitri pertama di Mekah dan hari kedua di Madinah. Ini juga adalah kali pertama meraikan Aidilfitri di Mekah dan Madinah. Takbir raya pada pagi hari di Mekah cukup meruntun hati. Meskipun takbir biasa dan tidak berlagu. Tiba-tiba teringat takbir raya di Malaysia yang jauh lebih merdu dan lunak.

hanya sempat bertakbir dan solat raya di luar masjid walaupun datang 1 jam sebelum azan subuh

Pagi raya itu, tiada apa yang menarik. Sekadar berehat di hotel. Kedai-kedai makanan juga kebanyakannya tutup. Jadi pagi itu kami hanya makan maggi cup yang dijual di sebuah kedai runcit. Bersyukur dengan apa yang ada.

Hari ketiga Aidilfitri di madinah digunakan sebaiknya untuk membeli barang yang patut. Jubah menjadi sasaran. Tetapi pada akhirnya tiada jubah yang berkenan di hati dan sekadar membeli barang-barang kecil seperti makanan, tasbih dan minyak wangi untuk diberikan kepada keluarga di malaysia. Dan untuk melepaskan rindu makanan di Malaysia, aku mencari restoran Indonesia. Malangnya kedai itu sudah ditutup. Jadi aku terpaksa mencari kedai India muslim. Roti pratta atau roti canai diburu. Alhamdulillah dapat juga merasa setelah bertahun merinduinya.

Suasana luar masjid nabawi, Madinah

Taiba Mall di Madinah

Roti pratta a.k.a roti canai

Tengahari itu, kami bersiap untuk pulang semula ke Jordan. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Kami tiba dengan selamat setelah menempuhi perjalanan panjang.

Tetapi hati ini masih tidak puas hati. Rasanya terlalu banyak masa dibuang sia-sia di sana. Tidak mengambil kesempatan yang secukupnya untuk beribadah. Rasa jeles pula dengan seorang sahabatku. Dalam 24 jam 1 hari, dia menghabiskan hampir 20 jam di masjid. Masyaallah. Semoga Kau berikan kekuatan untuk aku menjadi sebaiknya di masa akan datang. Aku mahu menjejakkan kakiku sekali lagi disana. Semoga Kau izinkan.

Comments
2 Responses to “Umrah Ramadhan dan Aidilfitri”
  1. ila says:

    Syukran ustaz,,bkongsi pengalaman yg tak ternilai.terkenang detik itu:-)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: