Pintu Takdir (Bab 1)

pintu takdir (backup)

Bab 1 –  Aiman seorang ustaz di SMART.

“Sadaqallahul ‘azim”

“Alhamdulillah selesai sudah pelajaran kita hari ini. Ha, sebelum terlupa, ustaz nak ingatkan kepada antum semua, minggu depan sudah mula imtihan pertengahan tahun. Dah tengok jadual di papan kenyataan?”. Aiman memohon respon dari anak-anak muridnya. Aiman seorang ustaz muda yang baru mula mengajar 2 tahun lepas yang mengajar subjek Syariah Islamiyah dan Matematik tingkatan 4 di Sekolah Menengah Agama at-Tarbawi, SMART. Sebuah sekolah agama rakyat di Selangor yang mengharapkan bantuan sepenuhnya dari kerajaan negeri dan badan-badan NGO untuk terus hidup.

“tahu ustaz. Dah tengok tadi. Tapi masuk dari mukasurat mana sampai mukasurat mana ustaz?” seorang anak murid bertanya.

“itu yang ustaz nak beritahu ni. Ok insyaallah untuk imtihan nanti, antum kena baca semua dari awal kita belajar sampai yang kita belajar hari ini. Boleh?” keadaan kelas serta merta kecoh dan riuh dengan suara murid yang bercakap sesama mereka.

Rahim yang merupakan ketua kelas dan juga seorang murid kesayangan Aiman, berdiri dan mengangkat tangan meminta izin bercakap, “ustaz, ana tak setuju. Banyak sangat ustaz. Buku ni ada 253 mukasurat. Setakat hari ni, kita dah belajar sampai 254 mukasurat ustaz. Terlalu banyak. Harap sangat-sangat ustaz boleh kurangkan. Kesian kami ustaz” Rahim membuat muka kesian.

Keadaan kelas bertambah gamat apabila mendengar gurauan dari Rahim. Aiman hanya tersenyum lebar memerhati gelagat Rahim sambil kepalanya tergeleng-geleng.

“Rahim, mana datangnya 1 mukasurat lagi tu?” Fakhri di sebelahnya bertanya sambil tergelak.

“ni dia” Rahim mengeluarkan sehelai kertas notanya yang ditulis nombor 254 di hujung kertas. “ini pun kena baca tau!”.

Aiman akhirnya tergelak kuat sehingga mukanya kemerahan melihat gelagat anak muridnya yang mencuit hati.

Semua anak murid Aiman di dalam kelas tergelak seronok melihat telatah Rahim. Kecuali seorang. Seorang pelajar perempuan yang duduk di hujung kelas memerhati tajam setiap tingkah laku Aiman. Dia sedikit pun tidak tersentuh dengan lawak jenaka Rahim. Baginya di dalam kelas ketika itu hanya ada dia dan Aiman.

Renungannya tajam. Memerhati tepat pada Aiman tanpa ada siapa pun yang perasan termasuk Aiman sendiri.

***

“tasnim! Tasnim!” Dato’ Hamzah memanggil Tasnim di depan pintu pejabatnya yang hanya diperhati oleh pekerja lain. Tasnim merupakan anak kedua Dato’ Hamzah. Juga sebagai pembantu setiausaha ayahnya di syarikat itu. Dato’ Hamzah merupakan pemilik dan pengarah syarikat BERSATU HOLDINGS SDN. BHD. Merupakan sebuah syarikat cetakan dan pembekal alat tulis.

“Daniel, ada nampak Tasnim?” Dato’ Hamzah memanggil Daniel yang kebetulan berjalan di hadapannya membawa fail-fail untuk disusun di almari.

“tak ada bos. Rasanya tadi dia keluar. Tak tahu pulak ke mana. Wallahua’lam. Cuba bos call dia”

“dah call tadi, tapi tak berjawab. Ok takpe, kalau Nampak dia, suruh dia ke bilik saya segera ye.”

“insyaallah bos. Itu pun kalau saya Nampak dia la”

“satu lagi Daniel, kamu tolong mintakan laporan dari Zahid tentang stok alat tulis dan buku tulis yang ada dalam simpanan stor syarikat. Bahagian derma dan sumbangan. Kemudian laporkan kepada saya segera ye. Petang ini saya nak hantar stok ke sekolah-sekolah agama”

“sekarang? baik bos. Insyaallah saya buat segera. Semoga murah rezeki bos saya ni. Dan juga rezeki saya. amin” Daniel meninggalkan sekuntum senyuman manis kepada Dato’ Hamzah sebelum berlalu pergi. Menggeleng kepala Dato’ Hamzah melihat karenah pekerjanya itu sambil meng’amin’kan doa Daniel di dalam hati.

***

Aiman segera menyiapkan laporan penuh hujung bulan untuk dihantar kepada mudir, Ustaz Jamal. Tangan dan jarinya ligat menekan papan keyboard dan butang tetikus di mejanya. Tangan kirinya membelek beberapa helai kertas laporan lepas sebagai rujukan untuk laporan yang terbaru. Ada beberapa hal baru yang mesti dibincangkan dengan Ustaz Jamal. Masalah rokok, disiplin, ponteng dan sebagainya akan dilaporkan untuk mencari solusi penyelesaian masalah. Bukan cuba menghukum, tetapi mengajar agar berubah dari yang kurang baik kepada yang lebih baik.

Setelah laporan siap, Aiman segera ke maktabah untuk dicetak laporannya ke atas sebuah kertas. Kemudian setelah selesai, Aiman menurunkan tandatangannya di bawah sebagai pengesahan laporan itu ditulis oleh dia sendiri. Sambil melihat jam di tangannya, Aiman terus membawa kertas laporan itu menuju ke pejabat mudir, Ustaz Jamal.

Aiman mengetuk beberapa kali pintu pejabat Ustaz Jamal yang terbuka dan memberi salam.

“assalamualaikum Ustaz Jamal”

“waalaikumussalam Aiman. Tafaddhol, ijlis ‘ala maq’ad. Keifahaluk?” Aiman segera menghulur tangan berjabat salam dan menarik sebuah kerusi di hadapan meja Ustaz Jamal dan terus duduk setelah dipelawa.

“Alhamdulillah ana bikhair. Ustaz keif? Quwayyis?”

“Alhamdulillah quwayyis. Tamam. Enta ada hajat apa datang ni?

“macam biasa ustaz, laporan bulanan la. Alhamdulillah. Tapi maaf lambat sikit, sepatutnya dua hari lepas kena hantar. Tapi ana terlupa. Maaf sangat ustaz.” Aiman menghulurkan sebuah laporan untuk rujukan dan perhatian Ustaz Jamal. Ustaz Jamal mengambil dan terus membelek.

“tak apa. Perkara biasa. Sekejap ye ana baca dulu.”

Mata Aiman tertumpu kepada sebuah meja di sebelahnya yang tersusun laporan-laporan dari guru-guru lain. Dia membelek sedikit dan tertarik kepada sebuah nama yang sentiasa disebut oleh Ustaz Jamal. Iaitu Ustaz Hakim. Seorang ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam. Anak kepada seorang usahawan melayu yang Berjaya.

‘masyaallah, hebat Ustaz Hakim ni. Memang tak salah dia selalu dinobatkan sebagai guru contoh di sekolah kebangsaan tempat dia mengajar sebelum ni. Sudah lah bergaya, segak, anak orang kaya, hasil kerja dan laporan pun sentiasa cepat dan memuaskan.’

“ok ana dah belek sikit laporan enta. Insyaallah malam ni ana akan belek sekali lagi untuk pengesahan dan menyenaraikan perkara-perkara berbangkit untuk kita bawa dalam mesyuarat PIBG dalam masa terdekat ni. Ada apa-apa lagi Aiman?”

“ada Ustaz, sekarang ni ada 2, 3 orang pelajar ana yang agak memerlukan perhatian dan sokongan moral. Bukan setakat merokok di luar, tetapi pencapaian dalam pelajaran juga makin merosot. Ana bimbang ustaz. Kalau dibiar, takut memberi kesan buruk kepada pelajar lain.”

“hmmm..Aiman dah cuba nasihat?”

“dah, tapi macam tu lah. Masuk telinga kanan, keluar dekat mulut”

“aik? Dekat mulut? Maksudnya?”

“maksudnya, lagi banyak nasihat, lagi banyak bagi alasan. Tak tau la macam mana. Ustaz ada pandangan lain?”

“ok tak apa. Perlahan-lahan. Manusia ni bukan robot. Bagitahu satu, dia buat satu. Suruh makan, dia makan. Suruh tidur dia tidur. Tetapi manusia bukan macam tu. Malah sangat susah. Lebih susah dari menjaga haiwan. Ada pepatah berbunyi. memelihara 1000 ekor kambing lebih mudah dari menjaga seorang manusia. Bukanlah kita nak samakan mereka dengan haiwan, tetapi nak gambarkan betapa susahnya menjaga dan mendidik manusia. Kita banyak-banyak berdoa ye aiman. Dan jangan lupa usaha kena istiqamah. Bak air yang lembut, apabila menitik berkali-kali di atas batu, akhirnya memberi kesan juga. Kemudian bertawakallah. Kerana kita Cuma mampu berusaha, yang berkuasa merubah itu mutlaknya dari Allah.”

Panjang lebar Ustaz Jamal memberi nasihat. Terpegun Aiman seketika. Bukan setakat bahasanya lembut, malah banyak pepatah dihafalnya. Ustaz Jamal adalah antara faktor besar mengapa Aiman memilih untuk mengajar di SMART walaupun gaji yang diperolehnya adalah sangat sedikit. Kerana dia yakin rezeki itu dari Allah, dan Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya yang membantu agama-Nya.

“oh ye, sebelum terlupa, petang ni enta sibuk ke?”

“tak sibuk sangat la rasanya. Nak tanda kerja sekolah anak murid ana je. Tapi kalau ada apa-apa yang boleh ana bantu, insyaallah ana bantu. Apa tu ustaz?”

“tak susah pun, macamni, lepas ni ana ada urusan dengan pegawai sebuah NGO. Nak uruskan sedikit sumbangan dari mereka. Ana perlu segera ke sana sebelum petang. Kalau tak keberatan, ana nak enta sambut dan bawak tetamu kita nanti pusing-pusing keliling sekolah kita. dia datang sebab nak bagi sumbangan derma alat tulis dan buku tulis untuk kegunaan sekolah”

“owh, tapi siapa?”

“maaf lupa nak bagitahu. Jiran ana. Juga ayah kepada Ustaz Hakim. Dato’ Hamzah”

“owh. Dato’ Hamzah. Selalu dengar nama dia sebelum ni. Masyaallah, murah hati dia. Semoga Allah murahkan rezeki dia sekeluarga. Oh ye ustaz, Ustaz Hakim ada di mana sekarang? Kenapa bukan dia sendiri yang bawa ayahnya tengok-tengokkan sekolah?”

“kebetulan dia ada urusan dengan sebuah sekolah lain untuk merancang program bersama untuk musim cuti nanti. Atas cadangan dia sendiri, dia mahu buat rehlah tarbawi. Program perkemahan dan santai untuk lepasan SPM nanti. Maklumlah, sekolah kita ni mana ada kawasan yang luas nak berkemah, padang yang ada pun tak ada rumput dan berlopak. Tu belum kira kesan tayar kereta yang parking kat situ” tersenyum aiman mendengar penjelasan Ustaz Jamal.

“owh. Masyaallah. Hebat. Tahun lepas tak ada pun program macam ni kat sekolah kita. Ana pun tak terfikir. Ha, pasal Dato’ Hamzah, insyaallah ana boleh tolong. Cuma ustaz boleh bagi nombor dia? Senang ana nak berhubung dengan dia nanti.”

“boleh. Nah” Ustaz Jamal menghulurkan kepada Aiman sehelai kertas kecil yang tertulis nombor telefon Dato’ Hamzah.

***

“pergi mana tadi? Ayah call tak angkat” Dato’ Hamzah bertanya kepada Tasnim disebelahnya sambil memandu sebuah van syarikat yang sarat dengan stok alat tulis dan buku tulis.

“bukan sengaja tak angkat call ayah, tapi tak perasan. Sembang dengan kawan lama di restoran tadi. Maaf keluar tak bagitahu ayah tadi. Ingat nak keluar cari makan je, tiba-tiba terjumpa dia kat tengah jalan. Jadi kitorang sembang sakan la sampai lupe dunia kejap”

“hmmm…nasib baik kau tu anak ayah. Kalau anak orang lain, dah lama…”

“dah lama apa? Dah lama pecat?”

“bukan, dah lama kahwinkan. Biar ada orang jaga kau. Umur pun dah meningkat”

“eh ayah ni. Dah la lari tajuk. Pastu tak lojik pulak. Mana boleh kahwinkan saya kalau saya ni anak orang lain. Ayah oh ayah. Demam ye?” Tasnim memegang dahi ayahnya sekadar simbolik memerli ayahnya itu.

“ye la. Ayah demam. Demam dengan perangai kau” Tasnim hanya tersenyum melihat ayahnya yang seperti kebudakan apabila melayannya.

“troot..troot..” ada seseorang menghubungi Dato’ Hamzah. Nombor tidak dikenali. Dato’ Hamzah memberi isyarat kepada Tasnim untuk mengangkat call kerana kedua tangannya sedang memegang stereng kereta.

“assalamualaikum. Nak cari siapa?” Tasnim memberi salam terlebih dahulu.

“waalaikumussalam. Err…nak bercakap dengan Dato’ Hamzah boleh?” Aiman di talian. Agak gugup apabila mendengar suara Tasnim yang agak lembut.

“Dato’ Hamzah driving. Saya anaknya. Ada apa yang boleh saya bantu sampaikan pesanan pada dia?”

“hmmm..saya Ustaz Aiman dari SMART nak bertanya, bila Dato’ Hamzah akan sampai di sini?”

Tasnim berfikir dua tiga kali apabila mendengar perkataan SMART. Kemudian memandang wajah ayahnya di sebelah. akalnya tak tercapai untuk mengingat apakah yang dimaksudkan dengan SMART.

“errr… SMART? apa tu ye? maaf kalau saya lambat tangkap maksud Ustaz Aiman ”

Dato’ Hamzah yang mendengar perkataan SMART terus merampas handphone dari tangan anaknya dan memasang handsfree.

“maaf sangat-sangat. Saya Dato’ Hamzah. Siapa bercakap dengan saya?” Dato’ Hamzah menyambung perbicaraan tasnim tadi.

“saya Aiman. Dengar kata Dato’ akan datang ke sekolah SMART untuk urusan derma dan sumbangan? Betul ke?”

“ya. Memang saya dalam perjalanan ke sana. Insyaallah tak lama lagi sampai. Nanti sampai di sana, saya perlu berhubung dengan ustaz aiman ker?” terangguk-angguk Tasnim mendengar perbualan ayahnya, baru dia dapat menangkap maksud SMART.

“ya. Kebetulan Ustaz Jamal ada urusan di luar. Jadi dia amanahkan saya untuk sambut Dato’. Saya call untuk pastikan kedatangan Dato’. Insyaallah kalau dah sampai, terus hubungi nombor ini ya”

“ok insyaallah. Kita jumpa di sana nanti ya. Assalamualaikum.”

“waalaikumussalam” Dato’ Hamzah terus mematikan talian dan memandang sinis Tasnim di sebelahnya.

“Tasnim ni, kan ayah dah bagitahu tadi. Kita nak ke SMART. Yang Tasnim Tanya dia balik kenapa?”

“manalah tasnim nak ingat. Nama SMART. Tak macam nama sekolah agama pun. lagipun ayah cuma cakap nak pergi sekolah Abang Hakim. tak cakap pun namanya”

“hmm…SMART tu ringkasan Sekolah Menengah Agama At-Tarbawi. Ishk ishk. Anak ayah seorang ni”

“yela. Saya salah.” Tasnim terus memeluk tubuh dan memasamkan muka tanda merajuk.

“ha. Mengaku salah pun. Kan senang. Kalau hari-hari macamni kan bagus. Tiap hari ayah menang”

“ayah ni. Mengada la”

Dato’ Hamzah hanya tersenyum melihat karenah anaknya dan meneruskan perjalanan menuju ke SMART. pertama kali dia bakal ke situ untuk memberi sumbangan atas cadangan anaknya sendiri, hakim, dan juga jirannya, Ustaz Jamal yang juga merangkap mudir di sekolah itu.

Comments
8 Responses to “Pintu Takdir (Bab 1)”
  1. ila says:

    cantiknye gambar tu!moga satu hari ada di pasaran😉

    permulaan yang bagus.pelajar perempuan tu macam misteri je

  2. qalamdaie says:

    Budak budak perempuan tu peminat ustaz aiman je🙂 hehehe, tahniah ustaz izzy kerana menghasilkan coretan yang menarik!

  3. ucu keyna says:

    x saba nk tau dak pmpn yg dok nengok ustaz aiman 2…yeah…next episod lak..hihi ^^, hebat la akhi…pndai design…skang wat ni lak…klu diterbitkan ni,ucu jadik org first beli…hehe >.<

  4. anon says:

    Tak mahu baca bab seterusnya lagi. Tapi nak teka. Tasnim dan aiman at last? Jeng jeng jeng..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: