Pintu Takdir (Bab 2)

pintu takdir (backup)

Bab 2 – Kenangan bersama wardina

“Aiman! Petang ni jom kita keluar makan!” Wardina memanggil dari belakang Aiman dan Farhan yang berjalan seiring selepas selesai sesi persekolahan untuk hari itu.

Wardina adalah rakan sekelas Aiman dan Farhan. Mereka baru tingkatan 3. Tetapi Wardina secara jelas menyukai Aiman dan Aiman pula secara jelas menolaknya secara baik. Wardina menyukai Aiman kerana Aiman seorang yang jujur, pemalu, tetapi pandai bergurau jika kena pada tempatnya. Aiman tidaklah sekacak pelajar lelaki lain. Tetapi bagi Wardina, Aiman seorang yang lain dari yang lain. Ada keistimewaan tersendiri. Wardina pula seorang yang cantik, kacukan melayu arab. Ayahnya seorang bangsa arab Mesir yang bekerja sebagai salah seorang pegawai di kedutaan Mesir di Malaysia.

Aiman menolak cinta Wardina bukan kerana Aiman sudah memiliki Wanita lain dalam hidupnya, tetapi kerana prinsip yang dipegangnya sejak dari kecil bahawa bercinta antara lelaki dan perempuan itu dilarang dalam agama jika tiada niat untuk bernikah. Semua itu adalah hasil didikan mak dan ayahnya sendiri. Tambahan pula, sejak darjah satu sehingga darjah enam, Aiman tinggal di asrama sebuah sekolah agama. Di situ nilai-nilai agama berdasarkan kitab dan sunnah diserap dalam kehidupan sehariannya sebagai seorang pelajar. Tetapi ketika aiman memasuki tingkatan satu, barulah Aiman sendiri meminta dari mak dan ayahnya untuk berpindah ke sekolah kebangsaan. Sengaja dibuat begitu semata-mata untuk mencari persekitaran belajar yang baru.

Aiman belajar di sekolah kebangsaan yang tidak jauh dari rumahnya. Dia berulang pergi dan balik dari rumah ke sekolah setiap hari dengan hanya berjalan kaki. Dari situ barulah dia kenal dunia sebenar. Masyarakat sebenar. Manusia sebenar. Mujurlah dia bertemu Farhan yang berprinsip sepertinya. Kerana Farhan juga dari latar belakang keluarga yang baik. Ayahnya seorang imam di sebuah masjid di kawasan perumahannya dan ibunya pula seorang guru sekolah tahfiz perempuan. Di sekolah kebangsaan itu juga Aiman mengenali Wardina.

Wardina seorang yang ‘happy go lucky’. Sentiasa ceria dan banyak cakap. Tetapi dalam masa yang sama, dia juga seorang yang pandai menjaga kehormatannya dengan menutup aurat dengan baik. Tetapi tidaklah terlalu sempurna. Disebabkan Aiman terlalu soleh baginya jika dibandingkan dengan pelajar lelaki lain di sekolah tersebut  yang hanya pandai mengorat, tetapi solat tidak dijaga, selalu ponteng kelas dan merokok, menyebabkan Wwardina sedikit pun tidak terbuka hatinya untuk lelaki lain.

“Aiman! Farhan! Dengar tak aku cakap ni? Petang ni aku nak ajak korang berdua makan. Kat gerai laksa tepi simpang tu. Aku belanja. Jom la!” Wardina menghampiri Aiman dan Farhan dengan muka yang ceria. Farhan memandang Aiman sambil tersenyum.

“Aiman, buah hati kau dah sampai tu” Farhan berbisik ke telinga Aiman. Sengaja dia mahu mengusik Aiman kerana dia tahu Aiman tidak suka Wardina ada di situ.

“err..maaf banyak la Wardina. Err…kami petang ni ada benda nak buat…kami nak..err..kami nak main..” Aiman sudah gelabah. Lagaknya seperti seorang pesalah apabila disiasat oleh polis. serba serbi tak kena. Tak tahu kali ni nak tipu apa lagi untuk mengelak dari Wardina.

“main apa??!!”

“main ikan pancing!…eh, main pancing ikan bola. Bu..bukan..kami nak memancing ikan! Betul kan Farhan?” tergagap-gagap Aiman menjawab setelah terkejut disergah oleh Wardina. Tangannya perlahan-lahan mahu mencubit peha Farhan disebelahnya mengharapkan Farhan mengangguk tanda setuju. Farhan memandang Aiman hairan setelah dia perasan tangan Aiman menjalar mencari pehanya.

“eh? Sejak bila pula kita nak memancing ni Aiman? Nak pancing celah mana? Longkang belakang rumah aku ker? Dalam longkang tu ikan sepat je ada. Itu pun anak-anak dia je. Yang mak-mak dia sume dah pindah ke longkang lain.” Farhan menjawab jujur. Muka Aiman merah padam menahan geram. Matanya tajam merenung Farhan di sebelahnya.

“ha…..korang nak tipu aku lagi la tu. Hahaha. Taktik tak jadi. Hari tu boleh la. Sebab sebelum ni aku tak tahu apa-apa pasal aktiviti budak lelaki ni. Sekarang aku dah tahu sikit-sikit selok belok tipu daya korang. Setakat tipu memancing, aku boleh baca la. Dah-dah jom. Kita makan kat depan tu je. Tak jadi tunggu petang. Sekarang jugak kita pergi. Bukan jauh pun. Kat simpang tu je. Nanti petang ni korang nak pancing ikan sepat ke, ikan siput ke, siput sedut ke, itu korang punya pasal la” Wardina tanpa segan silu memegang tangan Aiman. Aiman yang tersentak terus menarik tangannya.

“astaghfirullah, apa pegang-pegang tangan ni. Berdosa tau tak?” Aiman memarahi Wardina. Farhan hanya melihat gelagat mereka berdua.

“ops, sori. Tak sengaja. Lepas ni aku tak buat lagi. Janji. sumpah” Wardina mengangkat tapak tangan kanannya tanda seorang yang sedang bersumpah. Mukanya sengaja dikerutkan ibarat seorang yang menyesal atas perbuatannya sendiri.

“hari tu dah sumpah, pastu buat jugak. Pastu sumpah lagi? Tak baik main-main sumpah ni. Nanti jadi sesumpah. Baru padan muka” Aiman menasihati Wardina. Wardina tertunduk malu. Farhan hanya tersenyum kerana geli hati mendengar perkataan sesumpah.

“ok, kali ni janji. Eh, silap. insyaallah..insyaallah aku tak buat lagi. Terima kasih Aiman, sebab selalu nasihat aku. Sebab tu aku makin sayang kau” Wardina tersenyum lebar menampakkan sebaris giginya yang tersusun rapi. Hidungnya sengaja dikembang kempiskan bagi menarik perhatian Aiman. Farhan di sebelahnya sudah mula naik muak tengok perangai mengada-ngada Wardina. Aiman pula malas melayan dan terus berjalan meninggalkan Wardina dan Farhan.

“eh, nak ke mana tu Aiman?” Wardina bingkas bertanya.

“mana lagi, gerai laksa la. Kau janji nak belanja kan? Kalau dah janji, tak baik kalau mungkir” kali ni aiman pula tersenyum. Farhan mengikutnya dari belakang.

“yeay! Jom!” Wardina berlari mendapatkan Aiman dan Farhan yang berjalan laju dihadapannya.

***

“ehem-ehem. Buat apa tu Aiman? Macam ada yang menarik je?” Farhan yang baru pulang dari kerjanya terus mendapatkan Aiman yang sedang berteleku di depan laptopnya. Aiman kembali ke dunia realiti setelah dikejutkan dengan kehadiran Farhan. Dunia silamnya kembali lenyap dibawa angin malam.

“eh, Farhan. Tak perasan pulak kau ada kat sini. Dah lama sampai?”

“baru je. Hari ni ambil overtime lagi. Almaklumlah, nak kumpul duit banyak-banyak. Tak macam dia, family dah ada perniagaan. Maju pulak tu. Untunglah.”

Farhan rakan baik Aiman sejak dari sekolah lagi. Mereka sudah umpama adik beradik lain mak lain bapak. Segala cerita suka duka selalu dikongsi bersama. kini mereka tinggal bersama di sebuah rumah sewa. Farhan bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta milik seorang melayu. Gajinya tidak terlalu mewah. Tetapi cukup untuk makan, sewa rumah, dan keperluan lain. Dan Farhan seorang yang bijak berbelanja sehingga dia masih mampu menabung dengan duit gajinya yang sedikit untuk kegunaan masa depannya. Dia bercita-cita untuk membuka perniagaan sendiri pada satu hari nanti. Cita-citanya itu disokong kuat oleh Aiman dan keluarga Farhan sendiri.

“tak ada apa la Farhan, belek semula gambar-gambar lama kita je. Masa kita kat sekolah dulu la. Comel pulak bila tengok gambar aku masa sekolah dulu. Masa tingkatan 3, badan aku macam budak tingkatan 1 je. kecik sangat. Pendek pulak tu. Tapi sekarang aku dah besar. Dah tinggi. Cuma aku hairan la farhan, kenapa muka aku still tak berubah ye?” Aiman tersenyum kambing sambil memandang muka Farhan. Dia tahu Farhan pasti faham apa yang dia mahu maksudkan.

“sudah-sudah la Aiman. Aku tahu la kau nak cakap yang kau tu still jambu kan? Dari dulu sampai sekarang, walaupun dah jadi ustaz, kau dan makhluk bernama perasan memang tak boleh nak pisah!” akhirnya suasana sepi rumah itu dipecahkan dengan gelak tawa mereka berdua, apabila masing-masing bergurau seperti mereka masih pelajar sekolah menengah.

“shh, jangan bising-bising. Nanti big bos kita dalam tu marah.” Aiman meletakkan jari telunjuknya di atas bibir.

“ops lupa. Tak apa, dia tak dengar kita gelak tadi. Dia kan dalam bilik kebal tu”

“weh, apa mengumpat aku tu hah? Ingat aku tak dengar ker?” suara garau Wahid terpacul keluar dari biliknya. Aiman dan Farhan serentak tergelak apabila terdengarkan suara abang senior mereka yang serak-serak basah seperti Ramli Sarip.

“eh abang, tak siap lagi ke kerja design tu? Projek mana pulak dapat ni?” Farhan bertanya sambil perlahan-lahan menghampiri bilik Wahid. Dan membuka pintu.

“ada la sikit lagi ni. Projek dapat dari student UIA. Untuk program ramah mesra bersama Ustaz Azhar Idrus. Ada la buat design poster iklan dan banner sikit.” Wahid menerangkan serba sedikit tentang kerjanya sebagai seorang pereka grafik.

Wahid adalah rakan serumah Aiman dan Farhan. Mereka tinggal bertiga di rumah sewa yang kebetulan kedudukannya berada di tengah-tengah antara sekolah tempat Aiman mengajar dan juga syarikat swasta tempat Farhan bekerja. Wahid pula bekerja di rumah sebagai pereka grafik atau designer. Menerima tempahan design dari pengguna fb dan blognya yang berminat dengan karyanya yang cantik dan segar. Wahid sudah agak berumur. Iaitu sekitar 30 tahun ke atas. Dia belum berkahwin dan telah membuang jauh-jauh perasaan mahu berkahwin kerana pernah dikecewakan oleh wanita. Bukan sekali, tapi banyak kali apabila setiap lamarannya ditolak mentah-mentah. Semuanya adalah gara-gara status kerjayanya yang dibimbangi tidak stabil dan tidak menguntungkan. Iaitu seorang pereka grafik. Tetapi dia tetap meneruskan kerjayanya itu. Kerana minat yang mendalam dalam dunia grafik sejak dari dulu lagi.

“Alhamdulillah. Rezeki tu. Banyak tak dapat upah?” Aiman pula bertanya.

“bolehlah. Rm300” Wahid menjawab ringkas sambil tangannya tak berhenti menggerak tetikus.

“oklah, Nampak macam sibuk tu. Maaf ganggu ye abang Wahid.”

“tak ada masalah”

Aiman memanggil Farhan yang masih berdiri di depan bilik Wahid. Perlahan-lahan Farhan menutup pintu bilik. Kemudian menghampiri Aiman.

“farhan, kau cuba tengok gambar ni” Aiman menunjukkan sebuah gambar di laptop yang ada tiga individu di dalamnya. Aiman, Farhan dan juga Wardina.

“eh, apa pulak tak ingat. Ini kan Wardina. Cantik juga dia ye masa ni? aku tak perasan dulu. Dia ada mana sekarang ye?”

“sebenarnya aku panggil kau ni sebab nak Tanya soalan tu la. Tapi Nampak gaya, kau pun tak tahu”

“aku mana tahu la Aiman. Dia kan Kekasih lama kau. Sepatutnya kau lagi tahu. Entah hilang ke mana dia tu. Sejak habis SPM, kau terus sambung di Jordan. Aku sambung di kolej. Dan dia, entah pergi mana”

“kau ni, sejak bila pulak dia kekasih aku? Dia tu main-main je cakap suka aku tu”

“yela tu. Pada pandangan aku sebagai kawan baik kau, aku dapat rasa dia memang ada hati kat kau. Tapi tu dulu la. Sekarang ni wallahua’lam. Tapi kalau tak silap aku la, dia sambung di Mesir. Tak mustahil la. Sebab bapak dia orang Mesir”

“eh? Kau biar betul? Kau dengar dari mana? Bapak dia bagitahu ke?” Aiman tersentak mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Farhan.

“entah lah. Aku pun lupa aku dengar dari siapa. Kalau tak silap, dengar dari mulut kawan-kawan dia jugak. Celah mana pulak bapak dia nak bagitahu. Jumpa pun tak pernah. Dulu pernah terserempak sekali je dengan bapak dia. Itu pun masa datang ambil Wardina balik. Lepas tu dah tak pernah Nampak. Kau dah cuba Tanya kawan-kawan dia?”

“eh, kenapa aku kena Tanya kawan dia pulak?”

“laa…sebab kau kan nak cari dia?”

“eh? Bila masa aku nak cari dia?”

“la, tadi kau sibuk-sibuk Tanya dia kat mana? Tak kan saje-saje je kot”

“aah, saje je Tanya. Kot la kau tahu. kalau Tak tahu tak apa la. Aku bukan apa Farhan, kawan lama kita kan. Nak tahu jugak dia buat apa sekarang, belajar lagi ke? Atau dah kerja? Atau..”

“atau dah kahwin?” Farhan sengaja mencelah untuk melihat reaksi Aiman.

“kalau dah kahwin, alhamdulillah. Rezeki dia awal. Tak macam kita berdua. Bila la agaknya ya?”

“Kita ni lelaki man. Aku dengar, harga lelaki ni makin tua makin mahal. Betul ke tak?”

“itu kau kena Tanya perempuan sendiri. Aku tak berani jawab. Haha”

                “haha. Mungkin la kot kan? Ok la Aiman, aku nak masuk mandi, pastu solat. Badan dah berlekik dah ni.”

“berlekik? Haha. Apa pelik sangat bunyi tu? Ok, aku pun tak solat isyak lagi ni. Jom solat sama-sama.”

“eh? Seorang ustaz solat isyak lambat?”

“aku ni ustaz, bukan malaikat”

“yela, tunggu lepas aku mandi ye”

“ok. Badan berlekik! haha”

“cis!”

***

Wardina berjalan pantas menuju ke kelas kuliah. Hari ini dia agak terlewat kerana keletihan. Kerana kerjanya menguruskan beberapa barangan tempahan dari pelanggan di Malaysia, dia terpaksa tidur lewat. Menyebabkan selepas solat subuh, dia tertidur semula sehingga tidak sedar sudah terlewat untuk ke kelas.

Petang ini Wardina bercadang untuk membeli semua barang tempahan untuk dipos ke Malaysia. Mengikut pada iklan yang dia baca semalam, syarikat kargo milik pelajar Malaysia akan membuat penghantaran semua barang kargo keesokan harinya.

“assalamualaikum” Wardina sengaja memperlahankan suaranya memberi salam kerana tidak mahu mengganggu proses pembelajaran yang sedang berjalan. Kemudian mengambil tempat duduk di belakang yang masih kosong. Kemudian ustazah yang sedang mengajar perasan kehadirannya.

“Wardina malizy, leisy taakkharti? kam sa’ah hassa?” seorang ustazah arab bertanya kepada Wardina kenapa dia lewat ke kelas. Walaupun wardina berpurdah, tetapi seorang ustazah yang berjiwa pengajar cukup mengenali nama setiap anak muridnya. Malah asal dari Negara mana pun dia cukup hafal.

“ana..ana ta’ban syuaiy ya ustazah. ‘indi syughul fil lail hatta taakkhartu fi naum. Asif jiddan ya ustazah. Hai akhir marrah. Insyaallah biiznillah” Wardina menjelaskan yang dia mempunyai kerja untuk diselesaikan malam semalam dan terpaksa tidur lewat menyebabkan dia keletihan.

“yallah. masyi” ustazah itu memaafkan Wardina. Kemudian ustazah itu pun menyambung pengajarannya yang terhenti seketika tadi. Wardina menarik nafas lega dan segera membelek buku di depannya.

***

“assalamualaikum Wardina, dengar tak ni? Jelas tak?” suara seorang makcik dari Malaysia yang menghubungi Wardina melalui telefon bimbitnya.

“waalaikumsalam makcik Aminah. Alhamdulillah jelas. Kenapa makcik call saya guna handphone? Mahal ni. sepatutnya makcik mesej je dah cukup. Saya boleh call balik gune internet call. Murah sikit.” Wardina memberi cadangan.

“tak mengapa Wardina. Sihat ke? Makcik nak Tanya pasal barang tempahan makcik. Makcik dah email Wardina semalam. Dapat semua senarai?”

“Alhamdulillah sihat. dah dapat dah. Dah siap beli pun barang tempahan makcik tu. Insyaallah kargo petang esok akan dipos. Paling awal 2 minggu sampai la. Paling lewat, 1 bulan. Bergantung pada keadaan. Dari segi harga, macam biasa. Macam sebelum ni. Cuma nanti makcik boleh bank-in lepas barang sampai pada tangan makcik.”

“Alhamdulillah. Makcik dah masukkan duit pendahuluan dalam akaun kamu tu. Nanti cek ye. Makcik masuk separuh dulu. Lagi separuh nanti makcik masukkan kemudian. Insyaallah.”

“ok terima kasih banyak makcik. Kebetulan memang saya perlukan duit sekarang untuk duit belanja saya di sini. Hutang yuran jamiah bulan lepas pun tak bayar lagi. Terima kasih sekali lagi makcik.”

“sama-sama. Terima kasih jugak kat wardina sebab tolong dapatkan barang yang makcik perlukan kat sana tu. Makcik doakan wardina sihat selalu, bahagia, murah rezeki dan dipermudahkan jodoh”

“aminnn. Doa la bagi wardina dapat jodoh dengan jejaka arab ye makcik.” Wardina tersenyum dengan gurauannya sendiri.

“insyaallah. Amiinnn. Ok la Wardina, kalau ada apa-apa nanti, makcik call balik atau mesej ya. Terima kasih banyak. Assalamualaikum”

“insyaallah. sama-sama. Waalaikumsalam warahmatullah”

Wardina segera mematikan talian. Melihat jam di tangan. Kemudian bergegas semula ke kelas untuk sesi pelajaran yang seterusnya.

Comments
6 Responses to “Pintu Takdir (Bab 2)”
  1. ila says:

    nak lagi~

  2. ucu keyna says:

    aiman ni ntah2 akhi..haha…
    next episode lak ^^,
    best ni…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: