Pintu Takdir (Bab 3)

pintu takdir (backup)

Bab 3 – Surat misteri dari gadis misteri.

“ok semua, masa peperiksaan telah pun tamat. Sila pastikan nama antum dan segala maklumat lain ditulis di atas kertas jawapan antum semua. Dan sila semak sekali lagi jawapan antum untuk kali terakhir. Ustaz bagi peluang 1 minit sahaja untuk betulkan mana-mana yang hendak diperbetulkan”

“ustaz, boleh tak lanjutkan 5 minit lagi ustaz? Sikit lagi nak siap ni” seorang pelajar meminta belas ehsan dari Aiman.

“hmmm..ok, ustaz bagi lagi 5 minit pada sesiapa yang masih belum selesai. Tapi pada mereka yang sudah siap, boleh letakkan kertas jawapan di meja ustaz sekarang”

Seorang pelajar perempuan memerhati Aiman dari celah-celah segerombolan pelajar yang bangun dan membawa kertas jawapan ke hadapan. Sekaligus melindungi sedikit pandangan Aiman terhadapnya. Dia dengan segera menggunakan peluang ini dengan mengeluarkan sekeping sampul berisi surat dari begnya. Kemudian dia bingkas bangun dan membawanya bersama kertas jawapan. Ketika sampai di meja Aiman, dia terus meletakkan kertas jawapannya di atas sekali sambil tangan kirinya menyelitkan sampul surat tersebut di celahan timbunan kertas jawapan. Misinya tercapai apabila Aiman dan pelajar lain tidak perasan apa yang telah dilakukannya sebentar tadi.

***

Aiman melangkah keluar dari kelas sambil membawa kertas jawapan peperiksaan pertengahan tahun bagi subjek Syariah Islamiyah tingkatan 4. Aiman tersenyum puas. Kerana semua peperiksaan subjek yang diajarnya sudah selesai untuk semesta ini. Dua hari sebelumnya, peperiksaan bagi subjek Matematik sudah selesai. Cuma tinggal kini hanyalah kerja menanda kertas jawapan sahaja.

“Alhamdulillah”

                “aih, senyum semacam je Ustaz Aiman. Ada apa-apa berita gembira ker?” Ustaz Hakim yang perasan reaksi gembira Aiman yang baru masuk ke bilik guru terus menegur. Aiman sedikit terkejut dan terus berpaling ke arahnya.

“eh, Ustaz Hakim. Alhamdulillah. Tak ada apa pun. Biasa la, ana ni kan baru lagi mengajar. Pengalaman kurang. Tak macam Ustaz Hakim. Orang lama. Jadi, ana sebenarnya seronok tengok pelajar-pelajar dah siap jawab soalan tadi. Dan ana yakin, insyaallah keputusan pun akan meningkat dari sebelum ni”

“Alhamdulillah. ana pun macam enta. Tak ada la banyak sangat pengalaman. Lebih 3 tahun dari enta je. Ha, Aiman, ana nak Tanya sikit ni. Baru tadi ana jumpa Ustaz Jamal. Katanya, dia nak cari seorang kerani wanita yang boleh tolong uruskan dokumen dan fail yang semakin menimbun ni. Almaklumlah, sekolah kita ni, makin lama makin banyak pula aktivitinya. Tambahan pula dokumen sumbangan dan derma pun semakin bertambah. Dan sebelum terlupa, Ustaz Jamal bagitahu, kalau boleh biarlah dari bidang agama. Sebab dalam masa sama, boleh jadi guru pengganti mengajar Al-Quran untuk pelajar perempuan. Umur pulak biarlah yang masih muda. Dalam lingkungan 20 hingga 25” Aiman mengangguk sedikit kepalanya tanda dia faham.

“owh, ana tak pasti tu boleh tolong atau tak. Bukan apa, ana tak banyak kawan perempuan. Kalau ada pun, masa di Jordan dulu la. Itu pun, lepas masing-masing balik ke Malaysia, ana tak berhubung pun dengan dorang. Tapi insyaallah ana boleh cuba. Nanti ana Tanya kawan ana yang lain.”

“kalau orang hebat macam enta pun tak banyak kawan perempuan, ana ni lagi lah. Tapi apa-apa pun, Terima kasih banyak Aiman. Ringan sikit kerja ana” Ustaz Hakim tersenyum puas.

“hebat? Haha..ada-ada je Ustaz Hakim ni…hmmm..Ustaz Hakim, ana musykil, kenapa nak cari seorang yang boleh jadi guru pengganti Al-Quran perempuan? Bukan dah ada Ustazah Maimunah ke?” Aiman cuba mendapatkan kepastian.

“betul, Ustazah Maimunah ada. Tapi dia selalu uzur. Banyak kali sakit. Dia kan dah berumur. Lagipun dia ada anak-anak lagi nak diuruskan. Tengok hari ni, dia tak datang lagi. Tadi ana yang terpaksa mengajar subjek Al-Quran dalam surau perempuan tadi. Naik segan ana. Nak rotan dorang pun ana tak sanggup. Sebab kesian. Tapi nak buat macam mana, Ustaz Jamal yang suruh. Lagipun tenaga pengajar wanita yang lain semua kurang yakin mengajar Al-Quran. Kalau subjek sains dorang boleh la” Ustaz Hakim menjelaskan. Aiman pula tersenyum apabila membayangkan Ustaz Hakim yang tegas mengajar subjek Al-Quran dalam surau perempuan.

“tu la. Ana kenal sangat dengan enta. Garang. Kalau sehari tak rotan pelajar. Memang bukan Ustaz Hakim la. Haha” Aiman dan Ustaz Hakim tergelak serentak.

***

Malam itu, Aiman membelek-belek kertas jawapan subjek Syariah Islamiyah. Dia tidak berniat untuk menanda kertas jawapan hari ini. Kerana dia akan menandanya esok. Memandangkan esok adalah permulaan hari cuti semesta selama seminggu.

Aiman menyusun kertas jawapan mengikut susunan nama pelajar kelasnya. Yang bermula dengan abjad A diletakkan paling atas dan abjad B di bawahnya dan begitulah seterusnya. Sedang Aiman menyusun kertas jawapan, tiba-tiba dia terpandang satu sampul surat warna biru langit yang berada di celah-celah kertas jawapan pelajar-pelajarnya. Mulanya dia berfikir mungkin tersilap ambil surat orang lain. Tapi Aiman tersentak apabila mendapati tulisan di atas sampul surat itu tertulis: ‘khas buat Ustaz Aiman. Dari Hay_si-ai_tis.’

“eh, surat untuk aku la. Tapi siapa pulak yang bagi ni? Hay_si-ai_tis?” perlahan-lahan Aiman membaca nama pengirim surat tersebut. Pelik, ganjil dan unik. Pertama kali dia terjumpa nama sebegitu.

Aiman menelan air liurnya beberapa kali sebelum membuka perlahan-lahan sampul surat yang berada di tangannya itu. Surat dikeluarkan dari sampul. Aiman membuka lipatan surat itu perlahan-lahan. Di dalam hati, Aiman berharap ia bukanlah surat yang bakal mengganggu gugat jiwanya ketika itu. Tapi berharap ianya cuma surat penghargaan dari pelajarnya sahaja.

Mata Aiman perlahan-lahan membaca sebutir demi sebutir ayat di dalam surat tersebut. Ayatnya cukup puitis umpama tulisan seorang penulis novel cinta. Hati Aiman semakin berdegup kencang apabila ayat di dalam surat tersebut semakin lama semakin ‘menyeramkan’. Ada ciri-ciri seorang peminat yang betul-betul sudah meroyan cinta. Aiman tidak mampu menghabiskan bacaannya. Dia terus melipat dan memasukkan semula surat tersebut ke dalam sampul dan meletakkannya ke dalam laci meja. Aiman menarik nafas dalam-dalam.

“astaghfirullah. ya Allah. teruk ni. ni lagi teruk dari kes merokok dan ponteng kelas ni. kalau biar, silap hari bulan, makin teruk dan parah. tapi siapa penulis surat ni? hmmm..sudah la namanya misteri” tergeleng-geleng kepala Aiman memikirkan masalah baru ni.

Aiman bingkas bangun meninggalkan mejanya untuk ke bilik air. Pili air dibuka dan muka serta anggota wuduknya dibasahkan dengan sempurna. kemudian Aiman merenung seketika di depan cermin sambil bermonolog dalam hati.

‘apa yang ada pada aku ni sampai orang boleh suka pada aku? Muka tak hensem. Bukan anak jutawan. Mengajar pun tak best. Tak pandai melawak. Jadi sebab apa? Sebab apa?’

Aiman kemudiannya keluar dari bilik air dan mencapai tuala untuk mengeringkan anggota wuduknya. Aiman beristighfar panjang. Dia mengambil sejadah dan membentangkannya mengarah ke kiblat. Aiman termenung lama di sejadah. Akalnya kembali berfikir.

‘mungkin salah aku. Dosa aku. Niat aku mengajar masih belum betul-betul suci sehingga diuji. Mungkin. Ya Allah. Ampunkanlah dosa aku’

Aiman terus berniat dan memulakan solat sunat taubat. Fikirannya kini tertumpu sepenuhnya pada Allah. Hatinya betul-betul meyakini bahawa Allah sentiasa mendengar dan menerima taubat hamba-Nya. Kini hatinya kembali tenang.

***

Wardina dan Safiah keluar bersama pelajar-pelajar Malaysia lain dari Masjid Al-Rahman setelah selesai pengajian talaqi kitab Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu bersama Syeikh Wahbah az-Zuhaili untuk hari itu. Syeikh merupakan seorang ulama’ tersohor yang cukup dikenali oleh semua pelajar Malaysia di Syria. Malah, Syeikh sangat suka kepada pelajar Malaysia kerana sentiasa istiqamah dalam pengajian talaqi bersamanya.

Safiah pula adalah rakan serumah Wardina. Mereka mula mengenali antara satu sama lain di Syria apabila mereka berdua belajar di universiti yang sama, iaitu University Abu Nur di Damsyik.

“Safiah, dah nak masuk soifi ni(musim panas), kau tak ada cadangan nak berjalan ke mana-mana ker?”

“tak ada perancangan lagi la Wardina. Mula-mula fikir nak balik Malaysia, tapi sayang la kelas talaqi banyak dibuka soifi nanti. Dan aku dengar, nanti syeikh Ali as-Sobuni nak buat pengajian hadis bersanad. Lagi lah aku rasa rugi kalau balik Malaysia” Safiah menjelaskan.

“jadi kalau tak ada apa-apa perancangan selain talaqi? kau boleh tolong aku tak? Benda mudah je”

“jap, sebelum kau cakap nak mintak tolong apa, biar aku teka”

“ok, apa dia?”

“bisnes! Betul tak?”

“eh, macam mana kau tahu ni? Hebat la kau!”

“macam la aku baru kenal kau. Dah 6 tahun kot. Sejak masuk Markaz Lughah(pusat bahasa) lagi tau. Kerja kau bisnes je. Kalau bukan bisnes, talaqi. Itu je la kau tiap hari”

“yela. Nak cari duit lebih kan. Abi aku bagi duit belanja cukup-cukup untuk makan minum je. Belanja-belanja yang lain-lain, dia suruh aku survive sendiri kat sini. Dia nak suruh aku kumpul pengalaman hidup dan pengalaman mencari rezeki. Lagipun memang aku minat berniaga pun. Ok, kau setuju la nak tolong aku ni?” Wardina mengelipkan sebelah matanya untuk memujuk Safiah. Senyumannya tidak kelihatan kerana dia berpurdah.

“jap bagi aku fikir. Hmmm…boleh..tapi, kenapa bukan kau je yang uruskan? Kau pun bukan pergi mana-mana kan?” safiah hairan. Wardina memandangnya lama. Kemudian mengeluarkan sehelai kertas dari celah kitabnya kemudian ditunjukkan kepada Safiah.

“kau tengok ni dekat-dekat.” Wardina menunjukkan sekeping tiket penerbangan ke Malaysia. Terbeliak kedua biji mata safiah melihatnya.

“jahat la kau Wardina! Kenapa tak bagitahu awal-awal? Bila kau balik ni?” suara Safiah meninggi. Wardina minta dia memperlahankan suara apabila dia perasan ada beberapa orang syabab berjalan di belakangnya.

“shhh..kau ni bising la. Aku bagitahu awal la ni. kau seorang je tahu ni. aku tak bagitahu siapa-siapa pun selain kau. Insyaallah aku balik minggu depan. Hari terakhir imtihan”

“hmm..tapi bagi pandangan aku la, lebih baik kau je yang uruskan bisnes kau tu. Sebelum kau balik. Kan senang”

“tak boleh, aku tak sempat. Minggu ni aku kena studi. Lagipun, penempah nak barang tu bulan depan. Jadi mula minggu depan baru kau kena beli dan pos kargo ke Malaysia. Masa tu aku dah balik dah ke Malaysia. Kalau nak isi dalam bagasi pun aku rasa tak boleh, sebab dah banyak barang untuk family aku ni.”

“siapa yang tempah sebenarnya ni? Benda apa dia nak? Cuba cerita sikit”

“Kawan abi aku yang tempah. Banyak juga dia nak. Jubah perempuan, Barang-barang hiasan, dan makanan. Untuk bisnes di Malaysia katanya. Tak apa, nanti balik rumah aku bagitahu detail. Aku bagi Nombor telefon dia dan senarai barang yang dia nak sekali ye”

“ok”

“jadi kau boleh tolong la ni?”

“iya..berapa kali nak cakap. Boleh la bucuk!”

“yeah. Ni yang aku sayang kau lebih ni. muah!” Wardina menggosok perlahan kedua-dua belah pipi safiah sambil tersengih.

“ha, ngada la kau. Aku tolong, baru nak sayang itu la sayang ini lah”

“hehe. Bukan selalu boleh bermanja dengan kau”

“iyelah. Tapi Wardina, aku hairan, kenapa kau nak balik Malaysia ni? Tiba-tiba je. Tak ada angin tak ada ribut. Tup tup dah nak balik. Lagipun kau tinggal setahun je lagi kan? Baik kau tunggu khirij dulu baru balik”

“ala, umi aku yang suruh balik. Bukan aku nak pun sebenarnya. Tapi katanya ada important dan urgent sangat nak bincang. Tak sesuai katanya nak bincang jarak jauh di telefon.”

“benda apa penting sangat tu? Cuba cerita kat aku. Macam berita kegembiraan dan kebahagiaan je?” Safiah tiba-tiba galak menyakat Wardina. Dalam fikiran Safiah ketika itu Cuma satu apabila mendengar penjelasan Wardina. Iaitu Kahwin.

“ha..kau ni dah kenapa?”

“tak ada apa-apa” Safiah merenung tepat ke arah kedua mata Wardina sambil tersenyum lebar menunjukkan sebaris gigi putihnya.

“ha, tak payah fikir bukan-bukan. Malas aku nak layan kau.” Wardina sengaja mempercepatkan langkahan kakinya meninggalkan Safiah di belakangnya tanpa mempedulikan Safiah yang memanggil-manggilnya.

***

Khalid membuka kedainya awal hari ini. Seawal 10 pagi. Kebiasaannya Khalid akan membuka kedainya sekitar 12 tengahari kerana pada sebelah paginya, dia menguruskan kebun sayur kecil di belakang rumahnya. Khalid adalah pemilik dan pengurus sebuah Kedai di Shah Alam yang menjual barangan makanan dan kesihatan yang diimport dari Negara arab. Dia dibantu isterinya Aminah, sudah hampir 5 tahun menguruskan perniagaan ini. Ada ketikanya untung, ada ketikanya rugi. Ada naik, ada turun. Segala pahit manis dunia perniagaan pernah dirasai mereka bersama.

Khalid dan Aminah ialah kedua ibubapa kepada Aiman. Sebelum Aiman bekerja sebagai pengajar di SMART, Aiman lah yang selalu membantu mereka berdua menguruskan perniagaan. Malah, idea untuk membuka kedai menjual barangan dari Negara arab adalah inspirasi dan cadangan dari Aiman sendiri ketika dia belajar di Jordan dahulu. Malah ketika permulaan perniagaan mereka, Aiman lah yang paling banyak menjadi pembekal barangan dari Jordan.

Akan Tetapi, selepas Aiman pulang dari Jordan, dia bertekad mahu menjadi pengajar di sekolah agama kerana itu cita-citanya yang diimpikan sejak dari dulu. Jadi, Khalid dan Aminah terpaksa mencari sendiri pembekal baru sebagai menggantikan Aiman.

‘minyak Habbatussauda ni dah nak habis ni. tinggal sikit je lagi.’ Khalid bermonolog sendiri. Kemudian dia mengeluarkan sebuah buku nota kecil dari poket bajunya dan mencatatkan padanya jumlah barangan yang perlu ditempah segera. Kemudian dia ke belakang kedai untuk mengambil stok berbaki dari stor simpanan untuk disusun di rak jualan.

Khalid yang perasan kehadiran Aminah terus bertanya.

“Inah, minyak Habbatussauda dah nak habis ni. dah buat tempahan baru ke belum? Nampak gaya, lagi 2 minggu habis la ni”

“ye bang, Inah dah tempah dah minggu lepas. Insyaallah sampai la nanti dalam beberapa minggu. Selain tu, barang apa lagi nak habis? Minyak zaitun banyak lagi?”

“minyak zaitun masih banyak. Teh bunga pun ok. Air zam-zam pun banyak lagi. Yang lain tak ada masalah.”

“kalau macam tu tak apa la. Kalau tak ada apa-apa lagi, Inah nak keluar sekejap ye bang. Nak beli barang dapur sikit”

“ok. Hati-hati tu berjalan. Duit ada tak?”

“ada bang. Inah pergi dulu. Assalamualaikum”

“waalaikumsalam”

Aminah berjalan longlai menuju farmasi terdekat untuk mendapatkan ubat penahan sakit. Kepalanya berdenyut kuat. Kakinya pedih-pedih seperti dicucuk-cucuk jarum. Sakitnya tidak tertanggung. Dia terpaksa menyembunyikan kesakitannya dari suaminya kerana tidak mahu menyusahkan dan merisaukan suaminya. Aminah sudah lama menahan sakit. Dia tidak tahu dia menghidapi penyakit apa. Kerana dia tidak mahu pergi ke hospital untuk menjalani rawatan. Dengar nama doktor pun dia dah tak berani. Inikah pula berhadapan dengan jarum dan katil bedah.

Setelah mendapatkan ubat penahan sakit, tiba-tiba telefon bimbitnya bergegar. Ada panggilan masuk. Aminah tanpa berfikir panjang, terus menjawab panggilan.

“assalamualaikum mak. Mak sihat ke?” suara aiman terdengar jelas dari corong telefon.

“waalaikumsalam. Oh, Muslim. Anak mak. Mak sihat je. Kenapa Mus telefon mak ni? Mus tak mengajar ke hari ni?” suara Aminah lemah. Tetapi sengaja dibuat-buat ceria.

Aminah lebih gemar memanggil Aiman dengan nama panggilan manjanya, Muslim atau Mus. Nama sebenar Aiman adalah Aiman Muslim. Nama Aiman ialah atas cadangan Khalid. Sedangkan Muslim adalah cadangan Aminah sendiri. Mereka menggabungkan kedua nama tersebut atas persetujuan Khalid dan Aminah sendiri sebelum kelahiran anak tunggal mereka itu. Kerana itu Aminah lebih gemar memanggil Aiman dengan panggilan Muslim.

“Mus cuti la hari ni mak. Saja telefon mak. Nak dengar suara mak. Hati Mus sejak kebelakangan ni, macam tak berapa sedap la mak.”

“tak sedap apa? Tak payah fikir bukan-bukan la. Insyaallah semua ok. Mak pun sihat je.” Aminah menyangka bahawa Aiman tahu yang dia sedang menanggung kesakitan.

“bukan, maksud Mus, rasa tak sedap hati je sekarang ni. Ada la dua tiga perkara berkaitan pelajar dan sekolah Mus. Agak merunsingkan jugak. Pening kepala nak fikir”

“biasalah tu Mus. Nama pun guru. Sabar banyak ye. Kemudian, banyakkan istighfar. Mintak ampun dari Allah. Moga Allah bantu kurangkan beban Mus. Ok la Mus, mak nak beli barang ni. nanti kita sembang waktu lain” Aminah sengaja menghabiskan perbualan dengan memberi alasan. Sedangkan sebenarnya dia sedang tidak tahan menanggung sakit kepalanya. Bimbang nanti Aiman dapat menghidu masalah yang dihadapinya.

“ok la mak. Esok Mus balik rumah. Rindu nak jumpa mak dengan ayah. Nanti kita sembang panjang ye. Kirim salam Mus pada ayah. Assalamualaikum”

“ok. Jumpa esok insyaallah. waalaikumsalam”

Aminah segera duduk di kerusi di kaki jalan. Handphonenya dimasukkan semula ke dalam poket. Kemudian tangannya perlahan-lahan mengurut dahi. Sakit yang teramat. Ubat tahan sakit yang baru dibelinya tadi dikeluarkan dari beg tangannya dan ditelan dua biji. Aminah beristighfar panjang.

“astaghfirullah..astaghfirullah..”

Comments
4 Responses to “Pintu Takdir (Bab 3)”
  1. ucu keyna says:

    wardina….safiah…hihi…klako ^^,
    cite makin best…
    cepat la episod seterusnye…
    sile buzz ucu klu dah siap episod len ek.. (^_____^)

  2. anon says:

    Banyaknya secret admire… Terkonpius pulak baca awal2 tu. Ingat zaman depa skolah. Ingat yang bagi surat tu Wardina.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: