Kubur masing-masing?

nasihat

Istilah seperti ‘tak perlu jaga tepi kain orang, kubur masing-masing’ adalah istilah popular yang biasa digunakan bagi menjawab sebarang teguran yang mengena batang hidungnya sendiri. Tapi jawapan kepada jawapan popular ini juga tidak kurang popularnya, iaitu ‘memang kubur masing-masing, tapi bila kau mati, nanti yang mandikan, yang kafankan, yang solatkan, yang angkat ke kubur dan tanamkan, semua orang lain yang buat’.

Mari kita sama-sama fahami sungguh-sungguh sebuah hadis yang berbunyi: Rasulullah s.a.w bersabda: “sesiapa yang melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tanganmu(kuasa), jika kau tidak mampu, cegahlah ia dengan lisanmu(teguran), dan jika tidak mampu juga, cegahlah dengan hatimu(berasa benci dengan kemungkaran). Itulah(cegah dengan hati) selemah-lemah iman” (H.R Muslim)

Dan fahami juga maksud firman Allah: “Dan hendaklah ada diantara kamu golongan umat yang menyeru (berdakwah kepada kebajikan), menyuruh kepada yang baik dan mencegah yang mungkar, merekalah orang-orang yang berjaya” (Ali Imran:104)

Mencegah atau menasihati orang yang melakukan kemaksiatan bukanlah bermaksud dia menjaga tepi kain orang. Tetapi itu sebahagian tanda sayangnya seseorang terhadap sahabat muslimnya yang lain. Menasihati adalah dengan tujuan untuk sama-sama menuju syurga Allah dan menjauhi neraka-Nya. Malah ia adalah salah satu dari suruhan-suruhan dalam islam.

Ada sebuah hadis lain yang bermaksud: Rasulullah s.a.w bersabda: “Agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat”. Para sahabat bertanya: “untuk siapa, wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab: “untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, imam kaum muslimin dan mukminin, dan bagi kaum muslimin umumnya” (H.R Muslim)

Namun begitu, menasihati orang memerlukan beberapa teknik yang berkesan. Tidak lain tidak bukan kita mestilah merujuk dari sumber asal agama seperti mana yang diajarkan oleh Allah melalui kisah Luqman Al-Hakim yang dinukil di dalam kitab suci Al-Quran di surah Luqman ayat 13: “Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

Dalam ayat di atas, sangat jelas menunjukkan bagaimana Luqman menasihati anaknya yang dimulakan dengan memanggil menggunakan selembut-lembut panggilan iaitu ‘wahai anak kesayanganku’. Kalimah dan panggilan yang baik ialah salah satu teknik yang berkesan sebelum menasihati sahabat kita yang melakukan kemungkaran. Jika panggilan kepadanya pun sudah dibenci olehnya, bagaimana mungkin dia akan terus memasang telinganya untuk mendengar nasihat kita? Hatta akal yang sihat pun tidak dapat menerima.

Taknik lain yang boleh kita gunakan dalam menasihat orang lain ialah kita mesti terlebih dahulu menjalin hubungan yang baik dengannya. Kerana apabila hubungan kita sudah baik, dia pun sudah ‘respek’ dengan kita, insyaallah kata-kata kita meski bukan nasihat, sekadar kata-kata biasa, pasti akan menusuk masuk ke dalam hatinya dengan lebih mudah dan berkesan.

Memang benar kita ada selalu mendengar pepatah yang berbunyi: “jangan lihat pada siapa yang menasihat, tapi lihatlah apa yang dinasihatkan”

Dari satu sudut, memang ada benarnya. Kita sebagai seorang yang patut menerima nasihat, janganlah melihat siapa yang menasihat. Kerana itu tidak penting, yang lebih penting ialah lihat apa yang dia nasihat. Tapi itu jika hati kita selembut sutera. Bagaimana jika hati sekeras batu? Sebab itu jika dilihat dari sudut yang berbeza, iaitu kita sendiri membayangkan kita seorang yang keras hati dan sukar menerima nasihat, dan sudah pasti kita pun memperakui hati manusia lain-lain, jika seorang yang kita tidak kenali tiba-tiba datang menasihati kita, sudah pasti agak sukar untuk kita menerimanya. Bahkan mungkin kita akan menghalaunya untuk pergi dari situ. Kerana itu hubungan yang baik adalah faktor pelicin dalam menasihati seseorang.

Sebagai contoh mudah, anda bayangkan anda adalah seorang yang sedang melakukan maksiat terang-terangan, datang dua orang menasihati anda. Seorang yang tidak dikenali dan seorang lagi kawan baik anda. Kedua-duanya menasihati perkara yang sama. Iaitu supaya anda meninggalkan maksiat tersebut. Agak-agak anda, nasihat siapa yang lebih anda akan dengar? Jawapannya anda sendiri tahu.

Kedua-dua teknik yang disebut tadi adalah sebahagian sahaja dari ratusan teknik lain seperti nasihat secara peribadi, tidak mengaibkan dan nasihat secara berperingkat. Cuma ini adalah dua teknik awal yang sangat berkesan dalam kaedah menasihati orang lain. Boleh juga kita rangkumkan teknik tadi ke dalam satu kalimah yang sesuai, iaitu HIKMAH.

Firman Allah yang bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.(An-Nahl:125)

Tetapi kita perlu ingat. Mencegah kemungkaran itu bukanlah tiket untuk kita membuka aibnya dan mencari kesalahannya. Itu sudah masuk dalam kategori ‘tajassus’ seperti yang dilarang oleh Allah di dalam Al-quran: “Dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain.” (al-Hujuraat:12)

Kesalahan orang secara peribadi iaitu dosanya antara dia dan Allah yang tidak melibatkan hak orang lain seperti zina di tempat tersembunyi dan sebagainya, maksiat seperti itu kita tidak sepatutnya mencari dan membukanya. Namun berbeza dengan dosa antara dia dan manusia lain seperti mencuri, ketika itu kita patut mencari dan membuka kesalahannya untuk dikembalikan harta tersebut kepada orang yang berhak ke atasnya.

Jangan pula kita lupa, menasihati bukan sekadar untuk kebaikan orang yang dinasihati sahaja, bahkan untuk diri penasihat sendiri. Selain ianya suruhan Allah, ia juga berkaitan dengan keselamatan orang lain. Jika maksiat dibiar tanpa sebarang nasihat dan teguran, maka nantikanlah azab Allah di dunia. Kerana Azab Allah tidak mengenal mana soleh mana yang toleh. Jika ia datang, semua tidak berkecuali.

Di akhirat pula, ahli maksiat yang dimasukkan ke dalam neraka juga boleh menarik orang lain ke dalam api neraka bersamanya. Iaitu apabila orang lain yang hidup dikelilingnya tidak pernah menasihatinya dari meninggalkan maksiat tersebut. Nauzubillah min zalik.

Insyaallah semoga sedikit perkongsian rasa ini, dapat dimanfaatkan bersama untuk kebaikan semua. Terutamanya diri penulis sendiri. Dan akhir kalam, jangan kita lupa pada kata-kata Al Marhum Hasan Al-Hudhaibi, mursyid kedua Ikhwan Muslimin, “kita adalah pendakwah, bukan penghukum!”

Kerana manusia hanya mampu mengajak, yang menghukum dosa pahala itu hanya hak milik mutlak Allah.

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: