Pintu Takdir (Bab 5)

pintu takdir (backup)

Bab 5 – Wardina pulang ke Malaysia untuk bercuti.

Aiman memandu kereta membawa ayah dan emaknya, Khalid dan Aminah untuk berjalan-jalan makan angin. Setelah lama mereka bertiga tidak mempunyai masa terluang sebegitu, kali ini Aiman bertekad akan menggunakan masa cuti yang berbaki sebaik mungkin untuk berbual panjang dengan ayah dan emaknya itu. Khalid dan Aminah tidak membuka kedai mereka hari ini kerana menerima pelawaan Aiman, anak tunggal mereka itu untuk makan angin bersama. Aiman berjanji mahu membelanja mak dan ayahnya itu bagi membalas jasa baik mereka berdua membiayai pelajarannya di Jordan dahulu. Tapi Aiman tahu, mak dan ayahnya bukanlah jenis manusia yang mahu menuntut balasan setelah memberi, malah kalau ikutkan, apa lah sangat ratusan ringgit milik Aiman untuk membalas jasa mereka berdua yang tidak terkira jumlahnya. Termasuk melahir, membesar dan mendidik Aiman sehingga dia mengenal erti sebenar kehidupan ini.

                “mak, ayah. Hari ni Aiman belanja. Mak dan ayah makanlah puas-puas. Nak tempah apa pun Aiman tak kisah. Nak tempah yang paling mahal pun tak apa. Insyaallah Aiman belanja.” Aiman membuka bicara setelah mereka bertiga sudah dapat tempat duduk yang sesuai di sebuah restoran makanan laut di pesisir Pantai Remis, Kuala Selangor.

                Beberapa minit kemudian, seorang pelayan datang mengambil pesanan. Aiman memesan ikan terubuk bakar dan sotong masak tepung. Khalid memesan udang galah masak tepung dan Aminah memesan kerang bakar.

                “ishk Aiman ni. Tak payah la susah-susah. Ayah kan ada. Ayah la belanja” Khalid menawar khidmat. Aminah hanya mengangguk.

                “betul tu Aiman. Ayah kamu tu kaya tau. Bisnes dia makin lama makin maju!” Aminah menguatkan lagi hujah suaminya itu. Aminah akan menggunakan nama panggilan Aiman kepada anaknya itu jika ada bersamanya Khalid. Jika dia bercakap dengan Aiman seorang sahaja, atau bersamanya orang lain selain suaminya, dia akan menggunakan nama Muslim semula.

“tak payah la ayah. Aiman kan dah bekerja. Bukan macam dulu. Lagipun Aiman dah lama tak belanja mak dan ayah keluar makan kan? kali ini biar Aiman belanja. Hari lain ayah boleh belanja pulak. boleh?”

Aminah sekadar mengangguk dan memberi isyarat kepada Khalid supaya turut sama mengangguk. Khalid setuju sambil menjeling ke arah Aminah. Khalid kemudiannya memberi isyarat sesuatu kepada Aminah. Tangan Aminah dikuis sedikit. Aminah membalas dengan menolak perlahan kaki suaminya. Aiman pelik memerhati tingkah laku mak dan ayahnya. Pertama kali macam itu.

“mak, ayah… kenapa ye? ada masalah ke? macam tak suka Aiman belanja je?”

“errr…bukan-bukan.. ayah dan mak sebenarnya…ada benda nak bincang dengan Aiman…tapi, selalu tak ada masa..jadi..” satu-persatu patah perkataan meluncur keluar dari mulut Khalid.

“jadi apa?” Aiman menunggu penuh debar. Dia seakan dapat menghidu sesuatu.

“jadi.. hmmm…macam ni. sebenarnya kami ada nak tanya sesuatu pada Aiman. hmm..inah, kamu sambunglah. Abang tak reti nak tanya la”

                “ishk abang ni. Dengan anak sendiri pun tak reti. ok lah. mak terus terang je la ye Aiman. Sebenarnya kami berdua ni risau tengok umur Aiman yang dah meningkat dewasa ni. Dan Aiman pun faham kan? Kami ni makin lama makin tua. Takut tak sempat menimang cucu nanti..”

                “haa…Aiman dah agak awal-awal lagi. Mesti soalan ni yang ayah dan mak nak tanya. Pasal kahwin kan? Ala..dah tak ada soalan lain ke? Bulan lepas pun tanya benda sama”

                “Aiman..kami akan terus bertanya kalau soalan kami masih belum berjawab. Jadi jawapannya masih tiada sampai sekarang. Tak kan Aiman tak ada calon lagi?”

                “Dulu ada la. Masa kat Jordan. Tapi nak buat macam mana, dia tunang orang. Mak dan ayah pun tahu kan? Aiman pernah cerita dulu”

                “ingat. Nama dia Nora kan? tapi biarlah. Dah memang bukan jodoh kamu dengan dia” Khalid menenangkan Aiman. Aminah yang terdengar nama Nora terus teringat sesuatu.

                “owh..baru mak ingat. Sabun Nora kan?” Aminah menjeling Aiman dan mereka serentak ketawa. Khalid yang kurang faham lawak isteri dan anaknya itu hanya mampu tersenyum kecil.

                “haha. mak ni. Ingatkan masa Aiman sebut sabun Nora dua tiga hari lepas, mak ingat.”

                “mana la mak nak ingat. Mak kan dah tua. Pelupa la sikit. Bila ayah kamu sebut tadi, baru la mak ingat. Nora. Calon dari Jordan.”

                “haha. Dulu je la. Sekarang bukan la. Dah bukan jodoh Aiman. Nak buat macam mana kan?”

                “ok berbalik pada perbincangan asal kita tadi. Aiman sekarang ni memang tak ada calon lain la ni?” Khalid menarik perhatian Aiman dan isterinya yang sudah lari tajuk.

                “hmmm…setakat sekarang tak ada. Malas mencari”

                “kalau macam tu bagus la. Mak kamu ada calon untuk kamu katanya. ha, inah, cerita sikit siapa calon menantu kita tu?”

                “Aiman. dengar baik-baik. Esok mak nak ke rumah dia. Mak dia jemput kita makan-makan. Mak dia suruh bawak Aiman sekali. Nak kenal-kenal katanya. Kebetulan petang ni budak tu balik bercuti dari Syria. Dah 3 tahun dia tak balik Malaysia. Dia belajar kat Syria tu dah dekat 6 tahun. Bagus budaknya Aiman. Bersopan santun. Berbudi bahasa. Hormat orang tua. Sayang orang muda. Pandai jaga kehormatan. Pandai masak. Pandai jaga rumah. Pandai buat lawak. Cantik pulak tu. Mak dah tengok gambar dia. Bagi mak, dia tu sesuai sangat jadi calon menantu untuk mak. Serba serbi lengkap!” Aminah membebel panjang. Aiman hanya tersenyum sambil menongkat dagu melihat telatah maknya.

                “mak. Aiman nak minta maaf awal-awal. Hajat mak dan ayah tu memang besar. Tapi buat masa ni, Aiman memang tak boleh terima siapa-siapa. Bagi Aiman masa lagi ye. Insyaallah satu hari nanti Aiman akan bawa calon isteri untuk mak dan ayah. Jangan risau. Aiman akan usahakan”

                “hmm..tak apa Aiman. Mak dan ayah pun tak paksa Aiman buat keputusan sekarang. Cuma nak Aiman fikir pasal calon mak ni. Kalau tak nak fikir pun, ikut mak ke rumah dia esok pun jadilah. Boleh jeling-jeling dia. Sembang-sembang. Kot-kot lepas tu berkenan kat hati. Kan senang.” Aminah tersenyum kecil sambil memandang Aiman. Khalid seperti tadi. Masih tekun menjadi pemerhati perbualan antara isteri dan anaknya.

                “tapi mak. Esok pagi Aiman dah janji nak keluar dengan kawan-kawan. Ada usrah dan Ijtima’ ‘am mingguan. Dah la Aiman banyak ponteng. Nanti apa kata kawan-kawan Aiman pulak”

                “kalau petang?”

                “petang pulak Aiman nak keluar cari barang sikit kat KL.”

                “malam?”

                “malam esok Aiman nak balik rumah sewa semula. Nak tanda kertas jawapan peperiksaan. Lepas tu nak siap-siap apa patut. Sebab lusa dah mula kelas.”

                “hmmm…kalau macam tu tak apa la. Nak buat macam mana kalau Aiman tak nak” Aminah sedikit kecewa.

                “mak, dia tu balik cuti lama kan? Nanti bila-bila Aiman free, kita pergi sekali lagi ya”

                “tapi Aiman, mak dah janji dengan makcik Sabariah tu, nanti dia kecik hati pulak kalau Aiman tak datang” Aminah masih memujuk Aiman.

                “inah, sudah-sudah la tu. Aiman kan sibuk esok. Lagipun awak sendiri cakap tadi tak nak paksa Aiman terima kan?.” Khalid pula memujuk Aminah.

                Sedang Khalid memujuk Aminah, pelayan pun datang membawakan makanan yang dipesan mereka sebentar tadi. Semuanya masih panas-panas kerana baru sahaja dibakar. Baunya sangat enak. Ditambah pula perut mereka bertiga sengaja dikosongkan dari tengahari tadi semata-mata mahu diisi dengan makanan laut bakar itu. Mereka tanpa menunggu lama terus menjamu makanan yang terhidang setelah membaca doa makan bersama. Perbualan tentang jodoh tadi terus disepikan tanpa menemui titik noktah.

***

                Sabariah dan Ghassan menunggu di depan pintu gerbang Balai Ketibaan di lapangan terbang KLIA, Sepang. Mereka sudah menunggu hampir 1 jam di situ. Mereka menunggu kepulangan anak kesayangan mereka yang sudah 3 tahun tidak pulang ke Malaysia untuk bercuti. Sabariah tekun menunggu wajah anaknya itu muncul. Walaupun kakinya sudah lenguh kerana lama berdiri. Manakala Ghassan pula bersama beberapa rakannya yang lain berbincang sesama mereka sementara anak kesayangannya itu belum tiba.

                “Wardina!” tiba-tiba Ghassan menjerit memanggil nama anaknya. Sabariah hairan melihat suaminya. Kemudian dia memandang lama seorang perempuan berpurdah berjalan keluar dari pintu balai ketibaan membawa beg besar yang dimaksudkan suaminya tadi. Sabariah tersenyum nipis.

                “abang, itu bukan Wardina la bang. Tak kan anak sendiri pun tak kenal?”

                “eh, bukan ke? malunya abang. Dia pandang ke sini tadi. Abang mana tahu, nampak semua yang pakai purdah sama je. Jadi Wardina ni betul ke nak sampai ni? Flight dia sampai pukul berapa? Abang ada urusan lain nak kena selesaikan”. Ghassan seorang warga arab Mesir yang petah berbahasa melayu kerana sudah tinggal dan berkahwin di Malaysia hampir 30 tahun lamanya. Beliau mengahwini Sabariah ketika sama-sama kebetulan pernah bertemu di Mesir dan bertemu sekali lagi di Malaysia atas urusan kerja di Pejabat Kedutaan Mesir di Malaysia. Ketika itu Sabariah menghantar beberapa dokumen penting seperti sijil untuk dicop dan disahkan. Sabariah ketika itu baru pulang dari menghabiskan pengajiannya di Mesir dan ingin membuat beberapa urusan untuk menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi di Malaysia. Kebetulan ketika itu Ghassan baru sahaja bekerja di bahagian Pengajian Luar di Pejabat Kedutaan Mesir di Malaysia.

                “hmm…sepatutnya dah sampai ni. Kita tunggu sikit lagi ya. Abang jangan pergi mana-mana, nanti kecik hati anak kita tu kalau tengok abang tak ada kat sini.”

                “ye la. Abang dah bagitahu kawan abang tu. Diorang pun faham. Nanti Wardina dah sampai, panggil abang ye. Abang nak ke sana kejap”

                Tiba-tiba perempuan berpurdah yang ditunjuk oleh Ghassan tadi berjalan laju menghampiri Sabariah. Sabariah hairan. Kemudian dia ditegur.

                “Assalamualaikum Umi! lama tak jumpa!”

                “Waalaikumsalam..la..Wardina ke? Abang! anak abang dah sampai!” Wardina tanpa membuang masa terus memeluk erat emaknya itu tanpa memperdulikan orang lain yang lalu lalang di situ. Pipi lembut emaknya dicium berkali-kali. Ghassan yang terdengar namanya dipanggil terus meluru laju mendapatkan Sabariah.

                “laa..anak abi ke ni? Tadi abi dah cakap kat umi kamu ni. Dia tak percaya ini Wardina. Tapi abi kenal dengan Wardina. Cara jalan pun abi dah ‘cam’ tau” Ghassan memandang sinis Sabariah di sebelahnya. Kemudian Wardina mendapatkan tangan ayahnya dan dicium berkali-kali.

                “Mana la umi nak ‘cam’. Anak umi ni makin lama makin cantik. Bulu mata tu ori ke palsu?”

                “Ori la mak. Keturunan arab la katakan. he he” Ghassan yang mendengar kata-kata Wardina segera mengangkat kening tanda bangga kerana rasa dirinya dipuji.

                “haha. ok la, jom kita duduk-duduk kat sana kejap. Banyak benda umi nak bincang dengan kamu ni. Lagipun lutut umi dah lenguh tunggu kamu berjam-jam tadi”

                “hmm..sayang, abang rasa abang tak boleh lama ni. Abang ada urusan yang sepatutnya pukul 8 tadi kena selesaikan. Abang kena jumpa seorang dato’. Abang takut dia dah lama tunggu abang ni. Minta maaf banyak-banyak sebab tak banyak masa boleh sembang-sembang dengan Wardina. Insyaallah malam esok abi ada kat rumah. Kita sembang esok ye. ok sayang, abang nak pergi dulu. Wardina, Abi pergi dulu”

                “hmmm…ok la abi. Biar Wardina lepas rindu dengan umi dulu ye. Ada hadiah spesel dari Syria Wardina beli untuk abi dan umi. Tapi Tak apa, nanti esok Wardina bagi ye. Hati-hati di jalan raya dan selamat bekerja abi”

                “ok insyaallah. Jumpa esok ya Wardina” Wardina terus menyalami ayahnya sebelum ayahnya berjalan pergi dari situ dan lenyap dari pandangan mereka berdua.

                “umi, abi datang dengan siapa?”

                “dengan kawan-kawan dia. Umi drive seorang diri dari rumah tadi. Nanti balik, Wardina drive ya. Umi letih la”

                “drive? dah lama tak drive la umi. Dah tak ingat. Umi drive je la ye.”

                “ok. Umi gurau je. Jom Wardina. Kita cari tempat makan. Banyak benda best nak bincang dengan wardina ni”

                “ok. Benda best apa tu?”

                “shhh…nanti umi cerita. Sekarang kita cari tempat makan dulu. Perut umi dah memberontak ni”

                “ha ha. ok. Perut Wardina pun. Jadi kita nak cari restoran mana ni umi?”

                “Restoran Tom Yam!”

                “wah! sedapnya! jom!”

                Wardina dan Sabariah pun berjalan beriring sambil menarik beg besar dan troli yang berisi kotak-kotak kecil. Mereka meninggalkan lapangan terbang KLIA dengan hati berbunga-bunga dan ceria. Kerana sudah lama tidak bertemu dan bersembang bersama.

***

                Nora termenung seorang diri dalam biliknya. Tingkap biliknya sengaja dibiar terbuka luas untuk mengizinkan angin malam menampar-nampar wajah lembutnya itu. Dia membelek semula mesej dari Masyitah petang tadi di dalam telefon bimbitnya.

                ‘salam nora, esok pagi kita nak ke sekolah tu. dah ready?insyaallah esok aku ke rumah kau dulu. lepas tu kite terus gerak ke sana’

                Nora mengeluh perlahan. Hatinya gusar. Tidak tahu mahu menerima atau menolak. fikirannya bercelaru kerana apabila setiap kali memikirkan soal kerjanya itu, pasti wajah Aiman muncul dalam ingatannya. Dia sudah cuba membuang perasaan itu jauh-jauh. Tapi makin cuba dibuang, makin kerap ia muncul. Nora sekali lagi dia membelek mesej di telefon bimbitnya. kali ini dia membelek mesej dari Masyitah 3 hari lepas.

                ‘salam nora, aku dapat berita gembira untuk kau. 1st, aku jumpa kerja kosong sesuai untuk kau buat sementara ni. 2nd, aiman sendiri yang cari. dan dia setuju kalau kau yang kerja. ada petanda dia mahu kau semula kot? hehe.. ^_^..esok aku datang rumah kau. kita sembang panjang’

                Hati Nora berdegup kencang setiap kali dia membaca mesej tersebut. Nora kini tidak tahu, adakah betul apa yang dia lakukan sekarang. Dia ikhlas mahu bekerja atau sekadar mahu dekat semula dengan Aiman?

                Nora berfikir panjang. Dia melihat surat tawaran kerja dari sebuah Maahad Tahfiz milik emak angkatnya, Maryam. Itulah kerja yang sangat-sangat dia idamkan. Mengajar dan mendidik anak bangsa supaya berguna kepada masyarakat satu hari nanti. Kemudian hati kecilnya berdialog.

                ‘di sekolah Aiman tu pun kau boleh mengajar anak bangsa.’

                ‘tapi, aku bekerja sebagai kerani je.’

                ‘kau kan dalam masa sama jadi guru pengganti Al-quran. Apa bezanya dengan mengajar di Tahfiz mak angkat kau tu. mengajar Al-quran jugak’

                ‘tapi, aku tak berani jumpa Aiman. takut..’

                ‘takut apa? takut dengan bayang-bayang sendiri?’

                ‘bukan, tapi…’

                ‘tak ada tapi-tapi. Lagi banyak kau tapi, lagi senang syaitan datang menghasut. Sekarang betulkan niat. Biasalah hati manusia berbolak balik. Kau kena yakin diri dan kuatkan hati. Insyaallah kau boleh!’

                “huh! ya! insyaallah aku boleh!” Nora menepuk-nepuk mukanya dan segera bangun dari duduknya dan berjalan menuju bilik air untuk mengambil wudhuk.

                Setelah selesai solat sunat wudhuk sebanyak dua rakaat, Nora pun mengambil telefon bimbitnya di atas katil dan menaip mesej kepada Masyitah.

                ‘ok, esok pagi kau datang rumah aku ye. insyaallah aku READY! wasalam’

Comments
6 Responses to “Pintu Takdir (Bab 5)”
  1. faqih says:

    byknye watak dlm cter ni.. by the way,teruskan menulis🙂

  2. anon says:

    Hero satu. Heroin belambak. Reality kan? Akhir zaman…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: