Pintu Takdir (Bab 6)

pintu takdir (backup)

Bab 6 – Pertemuan Aminah dan Wardina.

                “Wardina, siap-siap la. Mandi. Pakai lawa-lawa. Makcik Aminah nak datang dah tu. Nak tengok kamu”. Sabariah memujuk.

                “kan Wardina dah cakap. Wardina tak nak, tak nak la” Wardina menendang-nendang perlahan kakinya ke lantai tanda membantah permintaan emaknya. Lagaknya seperti seorang kanak-kanak tadika yang tidak mahu ke sekolah apabila dipujuk.

                “Umi faham je Dina tak nak bincang pasal kahwin lagi. Tapi Umi dah jemput makcik Aminah datang rumah kita, nak sembang-sembang je. Dia cakap nak jumpa kamu. Dia kan tak pernah jumpa kamu depan-depan. Tambahan pula, kamu banyak tolong dia bekalkan stok barang dari Syria untuk perniagaan dia. Itu je. Lagipun anak dia Muslim tu tak jadi nak datang pun”

                “betul ni?”

                “betul la”

                “Janji tak akan bincang pasal kahwin? Nak sembang biasa-biasa je?”

                “betul..”

                “janji tak akan bincang pasal meminang atau yang sewaktu dengannya?”

                “iya. betul. Dia ajak sembang-sembang je. Dah. pergi siap-siap. Dia nak sampai dah tu”

                “ok. Janji kena tepati ye Umi. Kalau tak, Wardian merajuk. Wardina nak mandi dan siap-siap dulu.” Akhirnya Wardina tersenyum kecil. Seperti seorang yang meminta ayam goreng KFC, tetapi diberikan ayam goreng biasa. Biarpun tidak dapat apa yang dikehendaki, sekurang-kurangnya dapat juga ayam goreng.

                “ok”

                Sabariah pula tersenyum kecil. Namun di dalam hati, terpalit rasa serba salah. Mungkin helah untuk memujuk Wardina itu dirasakan tidak betul. Menipu Wardina untuk menjayakan impian Aminah dan impian dirinya untuk melihat Wardina bernikah. Sabariah pula memujuk diri. Sabariah percaya dia bukan berniat untuk menipu Wardina, tapi ia cuma strategi untuk kebaikan dan masa depan anaknya juga.

***

                Telefon bimbit Masyitah bergegar. Ada mesej sampai. Masyitah yang sedang memandu kereta mengarahkan Nora disebelahnya untuk membaca mesej tersebut.

                ‘kalau dah sampai SMART, jangan lupa jumpa dengan Ustaz Jamal di pejabat guru besar. saya dah bagitahu dia yang ustazah akan datang bawa nora jumpa dengan dia. Saya sekarang ada kerja di luar.maaf sangat-Aiman’

                Nora tersenyum seorang diri apabila membaca namanya yang tertulis dalam mesej Aiman. Dia mengulang membaca mesej tersebut 2,3 kali. Setiap kali dia membaca, dia tersenyum. Sekali-sekala kepalanya menoleh ke kanan memerhatikan Masyitah yang sedang khusyuk memandu.

                “ha, senyum -senyum macam kerang busuk tu, mesej dari siapa?”

                “eh, mana ada senyum. Orang biasa je”

                “orang tak tanya kenapa senyum, orang tanya mesej dari siapa?”

                “mana boleh bagitahu.” Nora merapatkan telefon bimbit Masyitah ke dakapannya. Kononnya tidak mahu dilihat oleh sesiapa termasuk Masyitah.

                “eh dia ni. Handphone aku kot. Mestilah aku nak tahu siapa yang mesej aku. Kau tu aku arahkan suruh baca je. Bukan ambil handphone aku buat harta. Ada faham?”

                “ops lupa. He he. Mesej dari…..”

                “Dari siapa??”

                “Dari Ustaz Aiman. Dia suruh kita nanti bila sampai di SMART, terus jumpa Mudir, Ustaz Jamal. Ustaz Aiman tak ada. Dia ada kerja di luar”

                “owh. Mesej dari Ustaz Aiman. Patutlah tersengih-sengih dari tadi. Save la nombor dia dalam handphone kau tu. Senang nanti kau nak ngorat dia kan?”

                “eh. Sesuka hati je kau ni Masyitah. Aku datang nak mohon bekerja. Bukan nak mengorat ok.”

                “ha ha. Ok. Aku tahu. Aku faham je perangai kau tu. Mahu tapi malu. Malu-malu kucing. Mulut kata tak nak, hati kata nak sangat!”

                “eh eh. melebih-lebih pulak dia. Nah sebijik!”

                “adeh”

                Nora melepaskan tumbukan perlahan yang mengena tepat pada pipi kiri Masyitah. Masyitah terkejut lalu terpusing stereng keretanya sehingga termasuk sedikit dalam lorong penunggang motosikal. Mujur Masyitah bertindak pantas dan mengawal semula stereng dan memasuki semula lorong kereta. Memandangkan dia sudah memegang lesen memandu sejak dari umurnya 19 tahun lagi. Berpengalaman. Cuma agak gemuruh jika ada yang mengganggu fokusnya ketika memandu. Perkara biasa bagi seorang pemandu berjantina wanita.

                “Ya Allah.. Nora!. Bahaya la!” Masyitah menjerit perlahan kepada Nora di sebelahnya. Nora kaku tidak berkata.

                “……”

                “kau ni dah kenapa? Kalau jadi apa-apa tadi? bukan aku je masuk kubur tadi, dengan kau-kau aku tarik kena tanam sekali tau tak?.” Masyitah sempat bergurau. Walaupun agak kasar. Biar mengena tepat pada Nora. Biar dia berfikir dengan lebih baik lepas ini sebelum buat suatu perkara. Disamping Masyitah mahu membuang perasaan gemuruhnya sebentar tadi yang masih belum reda. Jantungnya masih berdegup laju. Seolah-olah baru tadi berjumpa hantu.

                “ops sori. Tak sengaja. Mana la aku tahu kau kena fokus masa memandu. Janji tak buat lagi” Nora memuncungkan sedikit bibirnya.

                “Bukan aku je pemandu yang kena fokus waktu memandu, tapi semua pemandu macam tu. Nanti kau dapat lesen kau tahu la”

                “ok. Sori…”

                “Ishk kau ni. Lain kali jangan ganggu fokus aku lagi. Waktu lain tak apa. Bahaya tau tak?”

                “ya. Aku minta maaf sekali lagi. hmm..”

                Mereka berdua terdiam lama. Masyitah masih tidak berhenti menggeleng-geleng kepalanya. Nafasnya dihembus kuat beberapa kali. Sesekali mata mereka bertembung. Tapi diam menjadi pilihan ketika itu. Nora tidak mahu bersuara. Bimbang dimarahi sekali lagi. Malah tangannya yang memegang telefon bimbit Masyitah pun tidak mahu digerakkan. Biarkan kekal di dakapannya dalam tempoh yang lama.

                Setelah beberapa minit, suasana bimbang dan tegang tadi mula terurai. Tangan masyitah perlahan-lahan memasang radio. Seterusnya mencari siaran radio pilihan hatinya, IKIM.fm. Suasana kembali tenang. Nora yang sedari tadi termangu melihat suasana sibuk jalan raya melalui tingkap kereta, sudah mula membetulkan duduknya. Yang sedari tadi dibiar duduk herot dan punggungnya yang tidak berada tepat di seat kereta gara-gara dimarahi Masyitah tadi. Kemudian Nora perlahan-lahan membelek telefon bimbit Masyitah kembali. Setelah memastikan Masyitah tidak menoleh ke arahnya, perlahan-lahan dia mengeluarkan telefon bimbitnya pula dari poket. Telefon bimbitnya dipegang oleh tangan kanannya dan telefon bimbit milik Masyitah di tangan kirinya. Nora menaip sesuatu di telefon bimbit miliknya.

                “ha, tu buat apa tu?”

                “ada la..kau drive je la. jangan banyak cakap. Fokus memandu.”

***

                Aminah, Sabariah dan Wardina duduk bersembang di ruang tamu. Air teh panas dan makanan ringan seperti biskut siap terhidang di atas meja di depan mereka. Pagi itu, Aminah datang seorang diri kerana Aiman terlalu sibuk dengan urusan peribadi dan terpaksa menolak permintaan emaknya itu. Khalid juga tidak dapat menemaninya kerana terpaksa menjaga premis perniagaan mereka sekeluarga di Shah Alam.

                “Wardina dah berapa tahun di sana? Macam mana belajar di Syria? ok tak?” Aminah bertanya pada Wardina. Sabariah di sebelahnya hanya memerhati sambil tersenyum.

                “Alhamdulillah. Dah masuk 6 tahun. Kalau ikutkan, 6 tahun tu dah habis belajar. Tapi Wardina lambat sikit. Sengaja nak duduk lama-lama kat sana. Seronok tinggal kat Syria. Rasa macam tak nak balik pun ada. Nasib baik Umi dan Abi kat Malaysia. Terpaksa lah balik juga” Wardina tersenyum kecil sambil meletakkan perlahan-lahan pinggir cawan berisi air teh ke atas bibirnya yang gebu setelah ditiup sedikit kerana panas.

                “Itu pun umi paksa. Kalau tak, tak balik kan?” Sabariah menyampuk.

                “eh Umi ni, sebab sayang umi la Dina balik ni tau. hehe” Wardina menjawab semula. Sabariah hanya menyimpul senyum. Gembira melihat anaknya itu kembali ceria.

                “Wardina, kalau ikut perancangan kamu, bila agaknya kamu nak habis belajar di Syria tu?” Aminah kembali bertanya setelah memastikan Wardina sempat menghirup beberapa kali air teh panas di cawannya.

                “hmm..kalau ikutkan, tahun depan tahun last. Insyaallah. Itu pun kalau semua subjek lulus dan tak ada sangkut. Kenapa makcik tanya ya?” Wardina mulai curiga dengan soalan Aminah. Hatinya mula rasa tidak senang. Seolah-olah ‘drama nikah’ hampir dimulakan. Tetapi dia cuba menenangkan jiwanya. Dia segera membuang jauh-jauh perasaan itu.

                “err…tak ada apa-apa. Cuma..makcik nak bersedia cari pembekal stok yang baru. Kawan kamu Safiah tu boleh ke ganti kamu nanti?”

                “owh. Safiah tu? Dia pun akan habis belajar sama tahun dengan saya. Tapi makcik jangan risau, masih ramai yang boleh ganti saya nanti. Insyaallah saya akan carikan”

                “kalau macam tu ok lah. err..Wardina..”

                “ye makcik”

                “hmm..”

                “ada apa makcik?” Kali ini Wardina betul-betul tidak berperasangka. Dia yakin amat yang makcik Aminah akan memulakan ‘drama nikah’ beberapa detik dari sekarang.

                “kamu tak ada boyfriend ke?”

                Tepat! hanya itu sahaja perkataan yang sesuai dikatakan oleh hatinya setelah Wardina dari tadi berteka-teki dengan dirinya sendiri.

                “tak ada. Dan tak nak ada”

                “err..maksudnya..tak ada lagi la kan?” Aminah bertanya sekali lagi untuk memastikan jawapan Wardina tadi.

                “dan tak nak ada” Wardina menambah perasa dalam soalan Aminah tadi. Agar soalan Aminah nampak lebih sempurna dan tidak perlu untuk Wardina menjawab soalan yang sama untuk kali kedua. Sabariah hanya membisu. Sambil dihatinya berharap agar Aminah mampu memujuk Wardina yang agak keras kepala apabila memegang sesuatu keputusan yang diciptanya sendiri.

                “tapi..kenapa tak nak ada? Wardina tak nak berumah tangga?” Aminah masih tidak putus asa. Dia masih mengasak Wardina dengan soalan. Kerana dia yakin Wardina hanya cuba bermain psikologi dengannya untuk mengelak dari disoal tentang nikah.

                Aminah memandang lama Wardina. Mengharapkan jawapan jujur dari Wardina. Wardina tewas dalam pertembungan renungannya dengan makcik Aminah. Wardina segera menoleh ke arah emaknya di sebelah. Sabariah faham maksud pandangan Wardina terhadapnya dan menunjukkan isyarat kepada Wardina agar sabar dan bertenang.

                “eh, minta maaf kalau makcik buat Wardina tak selesa dengan soalan tu. Makcik tak bermaksud nak memaksa kamu untuk bagi jawapan. Cuma makcik nak kamu berterus terang. Kalau jujur kan lebih baik? Makcik senang, Wardina pun senang. Tak perlu makcik tanya banyak-banyak. Makcik tanya sekali lagi. Kamu memang tak ada sesiapa? Dan memang kamu tak nak bernikah?”

                “hmm..makcik..memang saya dan umi saya dah bincang sikit semalam pasal ni. Maaf saya katakan, saya dah buat keputusan awal-awal lagi. Saya nak terus bersahabat dengan makcik. Tapi bukan bermakna saya nak terima apa sahaja yang makcik tawarkan pada saya. Saya yakin dan pasti, saya tolak dengan baik pinangan makcik untuk anak makcik tu..siapa nama?”

                “Muslim..”

                “ha..Muslim. Saya dah buat keputusan. Tetap. Insyaallah tidak berganjak walaupun sedikit. Saya minta maaf sangat-sangat makcik kalau makcik tidak suka dengan keputusan saya” Wardina senyum yakin dengan keputusannya. Sabariah terlolong melihat reaksi anaknya. Aminah masih seperti tadi, tenang dalam diam. Dia membalas senyuman Wardina.

                “kalau saya perkenalkan anak saya tu pada Wardina macam mana? Lain kali makcik datang lagi bawa dia ke sini, mana tahu kalau Wardina dah sembang-sembang dengan dia, Wardina boleh fikir sekali lagi tentang tawaran makcik tu? Tak kenal maka tak cinta kan?”

                “saya tegaskan sekali lagi keputusan saya. Saya menolak. Walau untuk berkenalan sekalipun. Saya tetap tolak.”

                “hmm..kalau macam tu tak mengapa la Wardina. Tujuan makcik cuma satu. Nak carikan seseorang yang baik untuk anak makcik tu. Dan makcik yakin Wardina seorang yang baik dan sesuai untuk Muslim. Tapi kalau Wardina dah tetap jawapan macam ni, tak perlulah makcik bertanya lagi lepas ni. Makcik tak ada hak nak paksa”

                “Aminah. Saya minta maaf banyak-banyak. Sebenarnya memang saya nak bagitahu semalam lagi yang Wardina memang dah tolak lamaran awak. Tapi saya ingat awak dapat pujuk hati si Wardina ni bagi lembut sikit. Tapi…” Sabariah serba salah. Dibiar senyap membisu, bimbang Aminah terasa. disokongnya Aminah, bimbang Wardina pula terasa dan merajuk dengannya.

                “eh, tak apa. Tak ada masalah pun. Lagipun saya datang ni pun sekadar untuk bersilaturrahim. Dah lama saya tak datang jumpa awak. Sambil-sambil bersua muka dengan Wardina yang dah lama tolong saya selama ni”

                “oh, kalau macam tu baguslah. Saya pulak jadi serba salah tadi.”

                “Makcik Aminah, barang yang makcik tempah tu ada pada saya. Nak saya ambilkan sekarang?”

                “oh ye. Baru makcik ingat. Nasib baik Wardina ingatkan. Boleh juga kalau Wardina ambilkan sekejap”

                “ok. Sekejap ya.” Wardina bangun dari duduknya. Dia segera menuju ke bilik tidurnya untuk mengambil Habbatussauda’ keluaran Syria yang ditempah makcik Aminah dua minggu lepas.

                Sabariah dan Aminah menjenguk sedikit memerhati Wardina yang menghilang di sebalik dinding-dinding rumahnya yang berwarna hijau muda. Aminah segera mengambil peluang yang terhidang untuk memberikan sesuatu kepada Sabariah. Dia mengeluarkan sehelai sampul surat yang terisi dengan biodata lengkap dan gambar anaknya Aiman. Dia segera menyerahkan sampul surat tersebut kepada Sabariah.

                “psst…Sabariah. Ambil ni. Simpan” Aminah berbisik perlahan. Bimbang didengari Wardina.

                “eh, apa ni Aminah?”

                “ni biodata Muslim. Awak simpan elok-elok. Nanti bila-bila, awak boleh bagi dia tengok-tengok. Batu yang keras, kalau air yang lembut berkali-kali jatuh atasnya, lama-lama berbekas juga kan?” Aminah sempat berfalsafah. Sabariah hanya mengangguk.

                “betul tu Aminah. Nanti saya cuba lagi”

                “nak cuba apa tu umi?”

                Wardina yang muncul secara tiba-tiba mengejutkan Aminah dan Sabariah. Dalam dakapannya ada sebuah kotak yang bersaiz sederhana besar. Sabariah segera menyorokkan sampul surat yang diberikan Aminah tadi di bawah punggungnya. Mujur Wardina tidak perasan. Tetapi muka Sabariah nampak ketat seolah-olah seorang yang sedang menyembunyikan kesalahannya.

                “eh Wardina, tak ada apa la. Umi cakap tadi..umi nak cuba jadi umi yang terbaik untuk Wardina..itu je. Kan Aminah?”

                “aah. Betul tu.” Aminah menyimpulkan senyum yang dibuat-buat.

                “err…tak apa la kalau macam tu. Nah makcik. Minyak Habbatussauda’ yang makcik tempah”

                Wardina pun menyerahkan kotak tersebut kepada Aminah. Aminah menyambutnya dan meletakkannya di depan pintu rumah Sabariah. Aminah berniat untuk pulang. Sabariah dan Wardina mengiringi.

***

                Masyitah dan Nora sudah sampai betul-betul di depan bangunan utama Sekolah Menengah Agama At-Tarbawi. Pandangan mata mereka liar mencari-cari sesiapa sahaja gerangan yang ada di situ. Seperti orang asing yang baru pertama kali menjejak kaki di bumi Malaysia.

                Tiba-tiba seorang guru perasan kehadiran mereka berdua. Dia pun menghampiri mereka setelah yakin bahawa Masyitah dan Nora sedang mencari seseorang di sekolah itu. Kemudian Masyitah memberi salam dan bertanya kepadanya di mana terletaknya pejabat Ustaz Jamal. Guru itu pun membawa mereka berjalan beberapa langkah dan menunjukkan sebuah pintu pejabat yang tertulis di depannya ‘BILIK GURU BESAR’. Masyitah dan Nora mengucapkan terima kasih dan guru itu pun berlalu pergi.

                “hmm..kenapa macam sunyi ja sekolah ni? mana pelajar-pelajar?” Nora membuka mulut.

                “la, hari ni kan hari ahad. Mestilah sunyi. Guru-guru yang ada ni pun datang sebab ada hal masing-masing la tu.”

                “ya Allah. Lupa pulak aku. eh, cepatlah ketuk pintu. Ustaz Jamal mungkin dah lama tunggu tu”

                “ok”

                Masyitah mengetuk beberapa kali pintu dan memberi salam. Nora mengundur sedikit ke belakang. Berlindung sedikit di belakang Masyitah. Malu. Setelah beberapa detik, salam disambut dan Ustaz Jamal membuka pintu. Kemudian Ustaz Jamal menjemput mereka berdua masuk dan duduk.

                “ha. Ustazah berdua ni ada urusan apa ya datang ke sekolah ni?”

                “hmm..nama ana Masyitah. Dan yang ni Nora. Kami datang sebab Nora nak apply kerja di sini. Ustaz Aiman yang cadangkan”

                “owh. Ustazah Masyitah dan Ustazah Nora. Kawan Aiman dulu di Jordan? Ustaz Aiman ada bagitahu ana semalam yang kamu berdua nak datang. Bagus sangat kamu datang sekarang. Ana sikit lagi nak keluar tadi.”

                “maaf sangat Ustaz Jamal sebab kami terlambat. Jem teruk kat tengah jalan tadi.”

                “ok tak apa. Kita terus pada tujuan utama kita ya. Ustazah Nora yang nak apply kerja kan? Ada bawa semua sijil?” Ustaz Jamal memandang tepat kepada Nora yang sedari tadi sedikit tertunduk-tunduk malu.

                “ada ustaz. Ustaz nak tengok semua ke?” Nora bersuara perlahan.

                “aah. Bagi semua pada ana”

                Nora menyerahkan sebuah fail yang mengandungi pelbagai jenis sijil. Antaranya ialah sijil penyertaan program, sijil kerja sukarela, sijil SPM, sijil STAM dan sijil ijazahnya dari Universiti di Jordan.

                “hmmm..enti graduan ijazah syariah dengan pangkat mumtaz! sangat cemerlang. Kenapa tak apply kerja di tempat yang lebih baik sesuai dengan kemampuan dan kebolehan enti? kerja sebagai penasihat syariah di sektor-sektor awam ke? Enti tak nak cuba?”

                “err..sebenarnya ana memang berminat untuk menjadi seorang pengajar. Lebih-lebih lagi seorang guru Al-quran.”

                “tapi kerja utama enti di sini bukan sebagai guru Al-Quran, tapi sebagai kerani.”

                “ana tahu, kerja sebagai kerani pun kerja yang mulia asalkan ia ada kaitan dengan sekolah juga. Lagipun di sini ana berpeluang menjadi guru pengganti. Sekurang-kurangnya masa ni la ana boleh latih diri untuk jadi seorang pengajar yang berpengalaman”

                “hmm..sebelum ni pernah mengajar di mana-mana?”

                “belum. Sebab ana baru sahaja selesai pengajian beberapa minggu lepas.”

                “hmm..enti rasa, enti boleh bertahan kerja di sini untuk berapa tahun dengan gaji yang sedikit?”

                “tak apa ustaz. Ana memang tak kisah pasal gaji tu. Insya Allah selagi mampu dan selesa untuk ana di sini, insyaallah ana akan kerja lama”

                “ustazah pasti?”

                “ya. Sangat pasti” Nora menguntum senyum.

                “hmm..kalau macam tu. Bagus sangat. Susah nak cari anak muda macam enti ni yang ada sijil dari Universiti luar dan nak kerja dengan gaji yang sedikit. Semoga Allah Merahmati kamu.”

                “Ameenn..jadi permohonan ana diterima?”

                “ya. Ahlan Wasahlan. Esok pagi boleh mula bekerja. Mula kerja pukul 7 pagi. Balik pukul 4 petang. Setiap hari kecuali hari sabtu dan ahad”

                Nora tersenyum gembira. Masyitah di sebelahnya turut tersenyum. Ustaz Jamal menyerahkan semula sijil-sijil Nora kepadanya. Nora menyambutnya.

                “baik ustaz. Insyaallah ana akan cuba istiqamah dengan kerja ana.”

                “ok. Esok pagi ana akan ajar enti kerja yang perlu enti buat di sini. Tak susah insyaallah.”

                “baik Ustaz. Terima kasih sekali lagi”

Comments
4 Responses to “Pintu Takdir (Bab 6)”
  1. faqih says:

    kna baca 2x bru fhm.. complicated,hehe

  2. faqih says:

    haha..xtau la..

    skg nk jd pnulis novel plk ke.. gud luck

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: