Pintu Takdir (Bab 8)

pintu takdir (backup)

Bab 8 – Pertemuan yang dinanti Nora.

                Aiman bersiap-siap untuk keluar rumah. Dia nampak segak dengan mengenakan baju kemeja biru tua dan seluar khakis berwarna kelabu cair. Aiman kemudian menyikat rambutnya ke belakang sebelum mengambil kopiah putihnya dan disarungkan di kepalanya. Misai dan janggut nipisnya dirapikan. Minyak wangi disembur tiga kali di sudut yang berbeza. Sekali di hadapan, sekali di belakang dan sekali di tangannya. Aiman membelek sekali lagi mukanya di cermin. Bimbang-bimbang terlepas pandang pada jerawat yang baru tumbuh.

                “aih? hensemnya kau Aiman. Nak dating ke tu?” Rakan serumah Aiman menegur apabila perasan penampilan Aiman yang sangat berbeza dari hari-hari sebelumnya.

                “Ishk, bukan dating la. Tapi meeting” Jawab Aiman sambil tergelak perlahan. Dia pun segera meninggalkan rumah sebelum datang lebih banyak tujahan-tujahan sindiran yang akan menerpa ke atas dirinya.

                Hati Aiman berlagu indah. Dia tidak kisah pipinya ditampar-tampar angin panas dari negara kering kontang itu. Sinaran matahari yang membakar kepalanya juga tidak dihiraukan. Malah langkahan kakinya semakin tersusun dan bersemangat. Dadanya tegak dan tangannya masuk ke poket seluarnya. Lagaknya seperti peniaga yang baru dapat untung besar. Aiman tahu dia mesti yakin dengan dirinya. Kerana keputusan Nora nanti ialah penentu masa depannya. Aiman sudah fikir masak-masak, lamarannya ini betul-betul serius. Kalau ditolak, dia sudah bersedia untuk menerima dengan hati yang redha. Tapi itu bukan masanya untuk berfikiran negatif. Dia mesti yakin bahawa lamarannya pasti diterima Nora.

                Aiman tiba di hadapan rumah Nora. Tiba-tiba perasaan takut membaluti jiwanya. Dia menarik nafas dalam dan dihembuskan berkali-kali. Degupan jantungnya semakin pantas. Semangatnya ketika di perjalanan tadi tiba-tiba merosot. Perasaan gemuruh mula mencengkam. Peluh mula merembes-rembes di celahan ketiaknya. Aiman menampar sedikit pipinya untuk menyedarkan diri. Ini bukan masanya untuk takut.

                Aiman segera menghubungi Nora untuk memberitahu bahawa dia sudah berada di hadapan rumah Nora. Beberapa minit kemudian, pintu rumah Nora terbuka perlahan dan wajah ayu Nora muncul. Bersamanya seorang rakan rumahnya. Aiman mengajak Nora untuk keluar dan bersembang di luar. Rakannya turut sama ikut. Tetapi duduk agak jauh dari Nora dan Aiman atas permintaan Aiman sendiri. Dia mahu perbincangannya dengan Nora nanti privasi dan tiada siapa selain mereka berdua yang dengar.

                “assalamualaikum ustazah. Maaf kalau ana ambil masa ustazah petang-petang ni” Aiman berdiri tegak berjarak 1 meter setengah dari Nora.

                “Waalaikumsalam. Tak ada masalah. Lagipun ana tak buat apa sekarang ni. Ada hajat apa ustaz datang nak jumpa ana?”

                “hmmm…macam mana ana nak mula ni..” Aiman menggaru sedikit kepalanya yang tidak gatal. Dahinya kerut seribu. Mukanya menunjukkan riak bimbang. Nora yang melihat pun turut sama merasa bimbang.

                “kenapa ustaz? macam ada masalah besar je? Bajet untuk unit kita kurang ke?” Nora berfikir Aiman sedang cuba bercakap soal program persatuan.

                “bukan pasal program..”

                “jadi pasal apa?”

                “pasal…err…ustazah cuba tengok ana pakai kemas-kemas ni, wangi-wangi, dan sanggup datang petang-petang tengah panas macam ni semata-mata nak jumpa ustazah, dan bukan atas urusan program persatuan, ustazah rasa ana nak cakap pasal apa?” Aiman bertanya semula untuk memastikan Nora berfikir sama dengannya sebelum Aiman betul-betul boleh bercakap soal itu.

                Nora terdiam lama. Tidak tahu bagaimana mahu memberi jawapan yang sesuai. Di dalam hatinya, dia hampir yakin memang Aiman mahu bercakap soal hati dengannya. Tapi tidaklah sampai perlu Aiman meluahkannya waktu sekarang. Nora merasakan waktunya sangat tidak sesuai. Tidak sesuai untuk Aiman meluahkan dan tidak sesuai untuk dirinya menjawab.

                “errr…ustazah..tak dapat teka? Aiman menegur setelah Nora lama mendiam diri.

                “ana tak tahu la ustaz nak cakap pasal apa..” Nora sengaja tidak mahu meneka. Bimbang tekaannya salah dan hanya memalukan dirinya sahaja.

                “ok lah. Ana berterus terang je la. Ana datang ni dengan tujuan…” Aiman sengaja tidak menghabisi ayatnya. Sengaja mahu melihat reaksi Nora. Dia dapat melihat muka Nora mula kemerahan. Nora segera tunduk kerana perasan pandangan Aiman kepadanya.

                “Ana nak melamar ustazah!” Aiman mengukir senyuman yang paling manis. Mukanya penuh keyakinan. Walaupun peluh mula membasahi dahinya akibat gemuruh di dalam yang tidak dapat disembunyikan. Tetapi Aiman tetap yakin Nora akan menerima lamarannya. Namun Nora membisu. Tiada jawapan balas. Tiada reaksi gembira atau sebaliknya. Aiman terus serba salah.

                “err…tak apa ustazah. Ana tak paksa. Ustazah boleh ambil masa untuk bagi jawapan..”

                “Tak apa. Ana tahu ustaz tak pernah paksa ana. Tapi ana terpaksa juga bagi jawapan sekarang. Insyaallah…ana menolak” Ada getar pada suara Nora ketika menutur bicara. Aiman terkejut.

                “Ustazah tolak lamaran ana?” Muka Aiman pantas berubah. Dia sengaja bertanya kembali untuk mendapat kepastian.

                “ya. Ana menolak lamaran ustaz. Maaf” Kali ini suara Nora lebih yakin.

                “Tapi..boleh tak ustazah ambil masa untuk fikir-fikirkan?”

                “Sebenarnya ana dah fikir lama dah hal ni. Insyaallah ini jawapan muktamad ana. Maaf sangat-sangat ustaz”

                Aiman pula tertunduk. Dia diam seribu bahasa. Tidak tahu apa lagi mahu ditanya. Tidak tahu apa lagi mahu dibuat. Sehingga Aiman rasa dia lah manusia paling memalukan. Rasa mahu lari dari situ. Nora pula masih seperti tadi. Cuma Aiman perasan air mata Nora menitis ke tanah.

                “Kalau ustaz dah tak ada apa-apa nak cakap, ana nak masuk dulu..”

                “ok..” Aiman menjawab perlahan. Ada nada kecewa. Nora perasan tapi sengaja dibiarkan. Dia berpusing dan mahu berjalan meninggalkan Aiman di situ yang masih kaku berdiri.

                “err..ustazah..sekejap. Ana ada satu lagi pertanyaan. Insyaallah ini yang terakhir. Lepas ni ana tak akan cakap pasal ni lagi. Dan mungkin jawapan ustazah nanti akan lebih memujuk hati ana yang kecewa ni. Kenapa ustazah tolak lamaran ana?”

                “sebab….ana dah bertunang. Maaf sekali lagi. Assalamualaikum”

                “Waalaikumsalam…”

                “err…ustaz..”

                “ustaz!”

                “ustaz tak apa-apa ke? macam letih je?” Fakhri anak murid Aiman yang datang menghampiri di mejanya menegur apabila melihat Aiman termenung jauh.

                “eh, Fakhri.. ha, kenapa?”

                “ustaz ok ke? nampak macam letih je? Nak saya ambilkan air untuk ustaz?” Tawar fakhri. Aiman menggeleng.

                “eh tak apa. Ustaz ok je. Ha, ada apa? dah cek kertas jawapan kamu?”

                “Dah ustaz. Sebab tu nak tanya ni, ustaz ada silap kira ni. Sepatutnya markah depan ni 16, tapi ustaz tulis 14 je”

                “yeke? mari sini ustaz tengok” Aiman mengambil kertas dari tangan Fakhri dan dia meneliti satu persatu markah pada kertas jawapan itu. Anak murid Aiman yang lain masih meneliti kertas jawapan masing-masing yang ada pada tangan mereka.

***

                “Nora..”

                “Nora!” Masyitah meninggikan suaranya.

                “eh kenapa?” Nora terjaga dari lenanya yang panjang. Mimpinya tadi lenyap dibawa angin pagi. Nora segera mengesat matanya kerana merasakan matanya berair.

                “kita dah sampai la. Cepat sikit. Dah la kita terlewat ni. Nanti kau minta maaf dengan Ustaz Jamal ye”

                “aah la. Dah pukul 8.30!. Kau la punca ni. Bawak slow sangat”

                “eh? boleh pulak salahkan aku? Ini kira baik la aku bawakkan kau. Esok tak ada dah. Kau datang naik bas je.”

                “amboi. Merajuk!”

                “Bila masa aku merajuk? Memang tadi aku je baik hati nak bawak kau ke sini. Lain kali naik bas sendiri. Kau jugak yang setuju tadi kan?”

                “yela. Aku tahu la. Memang esok aku naik bas pun. Lagipun aku bukan budak kecik lagi. Pandai la aku jaga diri sendiri. Tak kan nak harapkan kau je 24hour. Ok lah, terima kasih banyak Cheetah. Kau cepat sikit pergi kerja tu. Nama je cheetah. Tapi slow”

                “eh eh eh..dia ni. Nama aku Masyitah ok. Bukan cheetah. Memang la aku slow. Tapi kau slow lagi dari aku”

                “what ever!” Nora menaikkan kedua belah matanya ke atas dan membuka sikit mulutnya. Cara dia menyindir kawannya itu.

                “dah la. Menyampah pulak aku tengok muka kau lama-lama kat sini. Pergi turun cepat”

                “ye la. Ok aku pergi dulu.” Nora mengambil beg sandang di tempat duduk belakang dan membuka pintu. Masyitah yang perasan muka Nora yang agak comot segera menegur. Nora segera melihat cermin dan membetulkan tudungnya serta penampilannya.

                “ok tak?”

                “tu, air liur basi tak lap!”

                “hah? mana?? Mana?” Nora cepat-cepat mengambil tisu dan mengelap keseluruhan mukanya. Masyitah tergelak kuat. Tangan kanannya menutup mulutnya. Mukanya merah padam melihat Nora dipermainkan olehnya.

                “tak ada ye? ishk! kau ni memang nak kena kan? nah!” Nora mencampak gumpalan tisu ke arah Masyitah. Tepat mengena mukanya.

                “dah la. Aku pergi dulu. Kalau layan kau, sampai esok tak selesai”

                “ok, selamat bekerja! he he” Gelak Masyitah masih tersisa.

                “kau pun!”

***

                Ustaz Hakim baru keluar dari bilik Ustaz Jamal. Ustaz Hakim yang perasan Aiman segera menghampiri Aiman yang sedang membelek kerja-kerja yang masih belum selesai di mejanya.

                “Aiman. Buat apa tu?”

                “tak buat apa-apa. Tengok kerja-kerja ni. Sikit je” Mata Aiman tidak lepas dari kerjanya.

                “Lepas ni? ada apa-apa hal tak?”

                “Lepas ni? Dalam sejam lagi kena mengajar Matematik la. Kenapa?”

                “Macamni. Dengar kata hari ni kawan enta nak datang sini kan?”

                “kawan ana? Siapa?”

                “ala..yang enta cari untuk kerja di sini tu la. Nora?”

                “owh. Nora. Yela. Sepatutnya dia dah datang sekarang ni. Jadi kenapa?”

                “macamni. Tadi Ustaz Jamal suruh ana bawak dia pusing-pusing sekolah. Tengok-tengok. Pastu suruh ajar kerja-kerja yang dia patut buat di sini. Tapi Ana ada kerja lain”

                “Sebetulnya ustaz malas ke atau memang ada kerja lain?”

                “hehe. Sebetulnya ana malas. Kerja menanda buku latihan budak-budak ni pun tak selesai lagi. Jadi macam mana?” Ustaz Hakim mengangkat sedikit keningnya. Menunggu respon Aiman.

                “macam mana apa?” Aiman memandang tepat muka Ustaz Hakim di hadapannya. Tidak faham soalan.

                “enta tolong lah bawak dia pusing-pusing sekolah pastu ajar dia apa yang patut ye? Lagipun dia kan kawan enta?”

                “hmmm…ye lah. Tak ada masalah. Beres je”

                Tiba-tiba Ustaz Hakim terdiam serta merta. Matanya tepat memandang dicelahan tingkap seseorang yang berjalan di luar. Seorang yang ayu dan bersopan santun. Wajahnya bersih dan senyumannya manis. Dia menghampiri pintu bilik guru. Ustaz Hakim masih seperti tadi. Diam seribu bahasa melihat keindahan ciptaan Tuhan di hadapannya. Aiman hairan dan segera menoleh ke belakang.

                “Assalamualaikum”

                “Waalaikumsalam…laaa…Ustazah Nora! Jemput masuk!”

                Aiman sedikit teruja dengan kehadiran Nora. Penampilan Nora nampak agak berbeza dari sebelumnya. Aiman masih ingat Nora sewaktu di Jordan dahulu nampak lebih pemalu dan bertudung tebal dan labuh. Kini dia nampak lebih bergaya dengan pakaian baju kurung moden berwarna putih krim dan tudung mesir berwarna peach. Dalam hati Aiman berkata, penampilan dahulunya walau nampak kekampungan, tetapi itu lebih menawan dan menarik perhatiannya. Tetapi itu dulu.

                “Maaf ana lambat sikit hari ni. Nak jumpa Ustaz Jamal tadi, tapi dia tak ada dalam bilik?” Nora duduk di sofa yang terdapat di situ setelah ditunjuki oleh Aiman.

                “aah, Ustaz jamal keluar. Ada hal penting”

                “owh macam tu.”

                “Ustazah sihat? Lama tak dengar khabar” Aiman menguntum senyum. Nora membalas. Mata Nora tidak lepas dari memandang wajah Aiman. Wajah yang dirindunya sekian lama. Aiman perasan tetapi sengaja dibiarkan.

                “Alhamdulillah. Macam ni la ana. Dari dulu sampai sekarang. Ustaz Aiman sihat?”

                “Alhamdulillah. Sihat jugak. Jadi datang dengan siapa tadi?”

                “err…ana datang dengan Masyitah”

                “owh…Ustazah Masyitah. Lama tak jumpa dia. Kenapa tak jemput dia masuk sekali tadi? Sembang-sembang dulu”

                “Dia pun nak pergi kerja jugak ustaz”

                “ye tak ye jugak. Lupa pulak ana”

                “Ustaz. Macam mana kerja ana di sini? Ustaz boleh tunjukkan?” Aiman melihat jam di tangannya. Lagi setengah jam dia perlu mengajar.

                “emm..insyaallah boleh. Kita pusing-pusing sekolah dulu. Ops sebelum terlupa. Ini Ustaz Hakim.”

                Ustaz Hakim tersenyum. Nora membalas.

                “ok lah, jom ana bawak ustazah tengok kelas dulu kat belah belakang. Kemudian baru kita akan pusing dan tengok kelas yang kat belah depan.” Aiman dan Nora bangun serentak. Mereka mahu keluar. Tiba-tiba Ustaz Hakim bersuara.

                “err….Aiman. Biar ana la bawak Ustazah Nora pusing-pusing sekolah. Nanti ana ajar ustazah Nora kerja yang dia patut buat di sini. Ana bukan apa. Ni amanah dari Ustaz Jamal. Ana kena tunaikan” Ustaz Hakim bersuara tegas. Dia membetulkan songkok dikepalanya dan bangun dari duduknya. Aiman terpaku sebentar. Dia masih ingat tadi Ustaz Hakim meminta tolong darinya untuk bawa Ustazah Nora ronda-ronda sekolah.

                “Ustaz Hakim. Tadi bukan enta cakap enta ada banyak kerja…” Belum sempat Aiman menghabisi ayatnya, Ustaz Hakim memotong.

                “eh..tak apa. Insyaallah kerja tu ana boleh selesaikan kemudian. Melaksanakan amanah tu kan lebih wajib ditunaikan?” Aiman terdiam. Malas menjawab. Nora pula keliru. Tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

                “ok Ustazah Nora. Ustazah boleh ikut Ustaz Hakim meronda-ronda pusing sekolah. Nanti kalau ada apa-apa masalah, atau tak faham, boleh terus tanya Ustaz Hakim ya?” Aiman menguntum senyum. Nora hanya mengangguk.

                “ok Ustazah Nora. Jom ikut ana.” Ustaz Hakim segera keluar dan memakai kasut. Diikuti oleh Nora dan hanya diperhatikan oleh Aiman.

                Getus hati Aiman melihat karenah Ustaz Hakim. ‘pelik!’

Comments
4 Responses to “Pintu Takdir (Bab 8)”
  1. ila says:

    eh ustaz hakim? smell fishy somewhere😛
    nak lagi.mohon taip lajulaju.eheh

  2. ila says:

    Ouh.midterm ea?dari bila sampai bila? Bittaufiqwannajah.study2 tgglkan jap nora,wardina nih😛

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: