Rindu Ramadan di Syria

syria solat

Syria. Buminya yang berkat kerana didoakan keberkatan oleh nabi Muhammad s.a.w ke atasnya melalui sebuah hadis yang bermaksud: “Ya Allah, berkatilah negeri Syam dan negeri Yaman..”. Keberkatan bumi Syam juga telah disebut di dalam Al-Quran iaitu dalam surah Al-Isra’ ayat pertama: “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya..”. Kalimah ‘Sekeliling’ di dalam ayat ini membawa maksud tanah Syam yang berada di sekeliling perjalanan Isra’ dan Mi’raj nabi s.a.w. Meskipun tanah Syam mewakili 4 buah negara iaitu Syria, Lubnan, jordan dan Palestin. Namun sehingga kini nama Syam itu lebih sinonim dengan negara Syria.

Antara kesan keberkatan Bumi Syria pada hari ini dapat dilihat dari jumlah masjid yang dibina. Jumlahnya sangat banyak. Di Damsyik iaitu ibu negaranya sahaja terdapat sejumlah masjid yang sukar dibilang. Seorang Ulama’ pernah berkata: ‘Di Syria, masjid berada di antara dua masjid’. Kenyataan itu memeberi maksud betapa banyaknya masjid yang terdapat di Syria.

Apabila bulan Ramadan tiba, masjid-masjid ini semuanya hidup dengan kehadiran manusia untuk solat fardhu dan solat sunat Tarawikh secara berjemaah. Ia mungkin berlaku di tempat-tempat lain juga selain Syria, kerana ruh Ramadan itu dapat dirasai di seluruh dunia. Namun di Syria ada sesuatu kelainannya yang tersendiri. Iaitu faktor penduduknya yang sangat luar biasa dalam berlumba-lumba mencari kebaikan dan menambah amal. Bulan Ramadan seolah-olah bulan pesta bagi mereka meraikan pahala sebanyak mungkin. Bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk memperbaiki amalan yang selama ini terkurang. Bulan Ramadan adalah bulan mengecas bateri iman dalam jiwa. Dan bulan Ramadan adalah waktunya untuk betul-betul mendekatkan diri dengan Al-Khaliq. Pendek kata, slogan ‘Ramadan bulan pesta ibadah’ yang selama ini cuma teori dan kata-kata, telah dipraktikkan oleh penduduk Syria setiap tahun!.

Bersolat secara berjemaah di Masjid ketika Ramadan mendatangkan suatu perasaan yang luar biasa ke dalam diri. Jemaah yang hadir sentiasa berebut-rebut untuk mendapatkan saf paling depan. Walaupun cuma terdapat ruang yang sempit, mereka tetap berusaha untuk mencelah, asalkan berada di saf yang paling hampir dengan imam. Semua itu mustahil dilakukan melainkan ianya datang dari keyakinan dari hadis nabi yang bermaksud:

“Kalau seandainya manusia mengetahui besarnya pahala yang ada pada panggilan (azan) dan saf pertama kemudian mereka tidak akan mendapatkannya kecuali dengan undian maka pasti mereka akan mengundinya. Dan kalaulah mereka mengetahui besarnya pahala yang akan didapatkan kerana bersegera menuju solat maka mereka pasti akan berlumba-lumba (untuk menghadirinya). Dan kalaulah seandainya mereka mengetahui besarnya pahala yang akan didapatkan dengan mengerjakan solat isyak dan subuh, maka pasti mereka akan mendatanginya meskipun harus dengan merangkak.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Dan hadis lain yang bermaksud:

“Sebaik-baik saf kaum lelaki adalah di depan, dan seburuk-buruknya adalah paling belakang. Dan sebaik-baik saf wanita adalah paling belakang, dan seburuk-buruknya adalah yang paling depan.” (HR. Muslim)

Masjid yang banyak di Syria merupakan satu kelebihan kepada penduduknya. Mereka boleh pergi ke semua masjid-masjid yang berlainan setiap hari. Jika Ramadan 30 hari, maka mereka dapat merasai 30 jenis bacaan imam. Ia adalah kelebihan apabila mereka tidak akan menjadi bosan dengan hanya mendengar bacaan dari seorang imam yang sama. Mereka boleh memilih untuk bersolat jemaah di masjid yang mereka suka.

Kerana banyaknya masjid dan banyaknya imam, maka wujudlah kepelbagaian. Terutamanya ketika solat tarawih. Terdapat masjid yang imamnya akan membaca 1 hari 1 juz dari Al-Quran. Samada dihabiskan dengan hanya 8 rakaat atau 20 rakaat. Ada juga masjid yang imamnya cuma membaca 2-3 ayat Al-Quran untuk 1 rakaat. Maka solat tarawih dapat diselesaikan dalam masa 30 minit sahaja. Perkara ini adalah suatu kelebihan kepada penduduk Syria. Ia akan lebih menambahkan kekhusyukan. Kerana ada dikalangan mereka yang tidak larat untuk solat lama. Jadi mereka boleh ke masjid yang imamnya boleh menghabiskan solat tarawih dengan pantas. Bagi mereka yang masih muda dan suka untuk khatam Al-Quran, dia boleh berjemaah di masjid yang imamnya membaca 1 hari 1 juz. Terpulang kepada keinginan masing-masing. Asalkan ia baik untuk diri sendiri.

Selepas selesai solat berjemaah terutamanya tarawih, jangan terkejut jika ada seorang yang bersalam dengan anda dan meninggalkan sejumlah duit di tangan anda. Anda menolak tetapi dia menolak kembali. Kadangkala, datang seorang yang tidak dikenali menyeluk saku. Kalau di Malaysia, penyeluk saku mengambil duit dari saku anda. Tetapi ‘penyeluk saku’ di Syria meletakkan duit ke dalam saku anda. Hairan bukan? Ada juga hartawan yang semua orang sudah maklum akan bersedekah setiap kali habis solat tarawih di sesebuah masjid. Maka mereka yang memerlukan kewangan terutamanya pelajar, akan siap beratur untuk menerima sedekah dari beliau.

Amalan sedekah penduduk Syria tidak terhenti di masjid sahaja, malah anda juga akan perolehi sedekah di tempat-tempat lain. Kadang-kadang di tepi jalan. Kadang-kadang di kedai-kedai. Kadang-kadang jiran anda sendiri. Boleh dikata hampir setiap hari akan ada orang yang mengetuk pintu untuk memberikan makanan, barang dapur dan sebagainya. Lebih-lebih lagi apabila mereka sudah kenal pasti rumah pelajar asing. Jangan hairan. Itulah Syria ketika tiba Ramadan. Kerana itulah sedekah yang mereka sangat yakin akan menambahkan pahala mereka. Tambahan pula sedekah di bulan Ramadan yang ganjarannya adalah lebih baik berbanding bulan-bulan lain.

Maksud sebuah hadis:

“Nabi s.a.w adalah orang yang amat pemurah, baginda lebih pemurah pada bulan Ramadan, saat baginda ditemui Jibril untuk membacakan padanya Al-Quran, Jibril menemui baginda setiap malam pada bulan Ramadan, lalu membacakan padanya Al-Quran. Rasulullah s.a.w ketika ditemui Jibril sangat pemurah dalam kebaikan melebihi angin yang berhembus” (H.R Bukhari dan Muslim)

Dan hadis lain yang bermaksud:

“Barangsiapa memberi makan pada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun dari pahalanya” (H.R Ahmad dan Tirmizi)

Begitulah serba sedikit keseronokan berada di bumi berkat Syria ketika tibanya Ramadan. Jika anda berada di sana, anda pasti akan merasai seolah-olah anda dikelilingi oleh para ‘malaikat’. Ya, kerana penduduknya berubah sikap seperti malaikat setelah memasuki Ramadan. Begitu sukar menggambarkan betapa rindunya saya pada suasana seperti itu yang hampir mustahil ditemui di negara lain terutamanya Malaysia. Kini, kemeriahan Ramadan mungkin tidak lagi dirasai kerana peperangan yang berlaku di sana. Namun saya pasti dan akan terus berdoa, selepas pergolakan ini reda, suasana itu akan kembali hidup. Dan saya akan pergi ke sana untuk ber’Ramadan’ di sana. Insyaallah.

Comments
2 Responses to “Rindu Ramadan di Syria”
  1. ila says:

    Syria.rakyat yang terpilih.ujian hebat buat hamba yang hebat

    Moga tercapai harapan ustaz utk ke syria lg.insyaAllah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: