Pintu Takdir (Bab 10)

pintu takdir (backup)

Bab 10 – Di sebalik kisah Aisyah

                Aisyah terjaga dari lena yang panjang. Dia perasan dalam samar-samar ada beberapa individu di sekelilingnya. Semuanya berpakaian seragam putih dan kemas. Ada lelaki ada wanita. Tetapi lelaki cuma seorang dan selebihnya adalah wanita. Mereka semua memberi perhatian kepada Aisyah. Memandang tepat Aisyah yang masih berbaring. Sekali sekala mereka berbual sesama mereka. Aisyah tidak dapat menangkap tajuk perbualan mereka. Apa yang pasti, kepala Aisyah berdenyut-denyut dan pening. Aisyah menggerakkan tangannya memegang kepalanya. Ada kain tebal yang berbalut kemas di dahinya. Dia letih memikirkan apa yang berlaku. Aisyah kembali memejam mata.

                5 minit kemudian, Aisyah tersedar lagi. Kali ini ada suara riuh yang mengejutkannya. Aisyah memaksa kelopak matanya untuk buka lebih besar dan luas dari sebelumnya. Kali ini baru Aisyah sedar dia dikelilingi doktor dan jururawat di sebuah bilik sederhana besar yang penuh dengan alatan perubatan. Dia masih tidak dapat menjangkakan apa yang berlaku sebenarnya. Apa yang dia ingat, kali terakhir dia berada ialah ketika dia berada di kerusi belakang disebelah abangnya di dalam kereta yang dipandu ayahnya menuju ke kampung neneknya di Perlis. Emaknya pula berada di sebelah ayahnya. 

                Dua orang jururawat mendekati Aisyah apabila melihat dirinya sudah betul-betul sedar dari lena yang panjang. Mereka memegang tangan Aisyah untuk merasai denyutan nadinya. Doktor pula masih memerhati dari tepi. Seorang jururawat sibuk mencatat data-data penting di dalam laporannya. Aisyah pula ligat mahu duduk kerana merasakan terlalu pening berbaring lama.

                “Baring ye dik. Keadaan adik masih belum stabil lagi” Seorang jururawat menasihat sambil tangannya lembut memegang kedua bahu Aisyah untuk membaringkannya semula.

                “Tapi saya pening baring lama-lama” Jawab Aisyah sambil tangannya memegang kepala.

                “Aisyah tahu di mana sekarang?” Doktor pula menyoal. Mahu melihat sejauh mana tahap kesedaran Aisyah ketika itu.

                “Aisyah di hospital kan?”

                “Ya betul. Aisyah tahu kenapa Aisyah di hospital?”

                “Tak tahu. Tapi Aisyah rasa kemalangan kot..” Aisyah memerhati sekeliling. Ekor matanya melilau-lilau melihat tubuhnya. Tangan kirinya berbalut. Kaki kanannya pula bersimen. Aisyah terfikir, jika keadaan dia macam ini, sudah pasti ahli keluarganya yang lain sepertinya atau lebih parah. Aisyah terus teringat pada keluarganya.

                “Doktor. Mana ayah saya? Mak saya? Abang saya? Mana diorang?” Aisyah meninggikan sedikit suaranya. Ada air jernih sudah mula berkumpul di kolam matanya. Doktor hanya tersenyum nipis. Jururawat pula menenangkan Aisyah yang sedang beremosi.

                “Alhamdulillah mereka semua sudah selamat. Jangan risau ya. Aisyah rehat dulu. Tenangkan fikiran. Nanti petang doktor datang semula” doktor berlalu pergi bersama seorang jururawat yang mengekorinya dari belakang.

                “Adik rehat dulu ya” seorang jururawat membetulkan selimut Aisyah dan mencabut beberapa jarum yang terlekat di badan Aisyah.

                “Kakak, mana keluarga saya? Saya nak jumpa diorang” sayu suara Aisyah keluar dari celah bibirnya yang nipis. Jururawat itu tersentak dengan soalan Aisyah. Tidak tahu mahu menjawab apa. Dijawab salah. Didiamkan pun salah.

                “Jangan fikir lagi ya dik. Adik kena rehat cukup-cukup dulu” pujuk jururawat.

                “Tapi doktor cakap tadi keluarga saya dah selamat. Kenapa diorang tak ziarah saya di sini?”

                “Sebab ini kan ICU. Mana ada orang boleh masuk sesukahati dalam ni. Kecuali doktor dan jururawat je. Aisyah tidur dulu ya. Nanti petang doktor nak ajak sembang-sembang.”

                “Oh….ok..”

                Aisyah berbaring semula. Kepalanya diletakkan di tengah-tengah bantal untuk mendapatkan posisi paling selesa. Tiada senyum yang mampu terukir di bibirnya ketika itu apabila memikirkan keadaan keluarganya. Tambahan pula Aisyah masih belum melihat keadaan sebenar mereka. Aisyah beristighfar dalam hati. Berdoa agar Allah memudahkan segala urusannya dan keluarganya.

                Setelah selesai menambah air glukos dan memasang beg darah yang baru, Jururawat pun berlalu pergi meninggalkan Aisyah berseorangan. Jururawat tidak sanggup berlama di situ. Tidak sanggup menipu Aisyah lagi. Sebelum itu dia telah pesan siap-siap kepada Aisyah jika mahu apa-apa bantuan, hanya perlu menekan sebuah butang khas. Aisyah faham dan kembali menutup mata.

                Petang itu, doktor datang bersama seorang jururawat pengiring bertemu dengan Aisyah yang masih terbaring. Doktor mengambil sebuah kerusi dan dirapatkan dengan katil Aisyah. Doktor merebahkan punggungnya di kerusi itu dan memandang tepat pada wajah Aisyah. Aisyah hanya memerhati. Jururawat pula berdiri sambil tersenyum kepada Aisyah. Tetapi riak wajah Aisyah masih seperti sebelumnya. Tiada reaksi gembira.

                “Assalamualaikum Siti Aisyah”

                “Waalaikumsalam doktor” Aisyah menjawab lemah.

                “Macam mana keadaan Aisyah sekarang? Dah rasa sihat? Ada sakit-sakit tak?”

                “Alhamdulillah” jawab Aisyah ringkas.

                “Aisyah kalau ada rasa sakit ke, tak selesa ke, bagitahu doktor atau jururawat ya”

                “Ok insyaallah”

                “Hmm…Aisyah”

                “Ya doktor”

                “Aisyah ingat lagi tak masa kejadian?”

                “Saya tak berapa ingat. Yang saya ingat, saya dan keluarga ada dalam kereta. Waktu malam. Nak balik kampung. Lepas tu..”

                Aisyah terdiam lama. Dia memegang kepalanya. Dahinya dikerutkan sedikit. Sepertinya Aisyah sedang mahu mengingat sesuatu. Doktor membiarkan Aisyah begitu. Sengaja mahu memberi kebebasan kepada Aisyah untuk berfikir lama. Tidak mahu memaksa. Bimbang membebankan fikiran Aisyah.

                “Lepas tu ayah ada cakap sesuatu. Dia pesan kepada saya dan abang untuk belajar rajin-rajin. Solat jangan tinggal. Belajar biar tak tinggi asalkan agama selalu dalam hati. Lepas tu mak pesan suruh selalu doakan mak dan ayah kalau dah tiada nanti…” Aisyah terhenti lagi. Matanya tepat memandang mata doktor ditepinya. Doktor hanya tersenyum.

                “Lagi? Apa yang Aisyah ingat lagi?”

                “Dah tak ingat. Akhir sekali Aisyah pejam mata sebab mengantuk. Dan dengar suara mak dan ayah yang masih bersembang. Kemudian sayup-sayup hilang”

                Jururawat disebelah doktor ligat mencatat maklumat-maklumat penting yang keluar dari mulut Aisyah. Doktor masih tersenyum memandang Aisyah.

                “Siti Aisyah. Doktor sudah mendengar penjelasan dari pihak polis tentang kemalangan tu. Beberapa butiran lengkap sudah mereka lampirkan kepada doktor tentang masa kejadian dan penyebab berlaku kemalangan. Masa kejadian ialah waktu malam di lebuhraya PLUS dari Alor Setar ke Kangar. Sebuah lori muatan panjang merempuh dari arah belakang sehingga menyebabkan kereta yang dipandu ayah Aisyah terbabas ke penghadang jalan”  Doktor sengaja berhenti seketika. Mahu melihat reaksi Aisyah.

                “Allahuakbar…” perlahan kalimah suci itu mengalir keluar dari mulut Aisyah bersama titisan air mata yang membasahi pipinya yang gebu. Aisyah merenung lelangit bilik. Putih dan kosong. Tidak sama seperti apa yang dirasanya ketika itu. Hitam dan penuh selirat kebimbangan.

                “Ketika menyelamatkan Aisyah, pihak hospital berkata kecederaan Aisyah sangat parah dan banyak kehilangan darah. Tengkorak kepala Aisyah pula retak. Tangan kiri dan kaki Aisyah patah. Mereka kata Aisyah hampir tidak dapat diselamatkan. Kadar kejayaan dalam pembedahan adalah 30% sahaja. Tapi doktor sanggup menanggung risiko untuk menyelamatkan Aisyah. Kami bertungkus lumus selama beberapa jam dan akhirnya pembedahan berjaya. Allah izin Aisyah masih bernyawa. Tapi masa tu Aisyah masih koma. Lepas seminggu baru Aisyah sedar.” Doktor menguntum senyum. Aisyah masih seperti tadi. Membiar air matanya membasahi pipi.

                “Doktor. Terima kasih banyak-banyak”

                “Aisyah berterima kasih lah kepada Allah. Dia yang memberi nyawa kepada Aisyah. Bukan doktor. Kami cuma asbab dalam hal ini sahaja”

                “Alhamdulillah…terima kasih ya Allah” Air mata Aisyah tidak berhenti mengalir. Kali ini lebih deras. Habis basah bawah tudung Aisyah.

                “Aisyah, kita sebagai orang islam kena selalu bersyukur ketika diberi nikmat dan redha apabila ditimpa musibah…”

                Aisyah mengangguk tanda setuju.

                “Kadang-kadang kita selalu lupa berterima kasih kepada Allah ketika kita sedang asyik dengan kenikmatan. Sedangkan kita lupa segala kenikmatan itu hanyalah pinjaman dari-Nya. Bila-bila masa sahaja ia boleh ditarik semula kan?”

                Sambil mengangguk, Aisyah memandang muka doktor disebelahnya. Ada sesuatu maksud yang cuba disampaikan oleh doktor. Aisyah berfikir lama. Nikmat apakah yang cuba dimaksudkan oleh doktor. Apa yang Aisyah tahu, nikmat yang selalu dikecapinya ialah seperti laptop, barang-barang peribadi, makanan yang sedap dan duit simpanannya. Benda-benda itu kalau rosak dalam kemalangan, tiada masalah. Semua itu boleh dicari semula. Yang penting nyawanya yang tidak boleh dibeli. Aisyah berfikir lagi. Mungkin doktor maksudkan nikmat itu ialah nikmat anggota badannya. Dia cuba menggerakkan tangan kirinya dan kaki kanannya yang berbalut. Dia masih dapat merasakannya. Aisyah lega. Dia kembali memandang doktor. Doktor tersenyum melihat Aisyah.

                “Apa maksud doktor? Saya tak faham.”

                “Nikmat yang selalu kita lupa apabila sudah terlalu selesa ialah sebenarnya satu nikmat yang paling besar. Apabila ia ditarik semula, pasti ketika itu baru kita akan sedar”

                “Doktor. Tolong terangkan. Saya masih tak faham”

                “Aisyah. Harap Aisyah boleh bersabar. Dalam kejadian kemalangan tu, Allah telah menarik nyawa keluarga Aisyah. Allah lebih sayangkan mereka. Mereka ditemui mati di tempat kejadian”

                Aisyah yang mendengar kenyataan doktor, tersentak lantas bangun dari baringnya. Aisyah tidak mampu lagi menahan tangis. Kali ini mahu dilepaskan segalanya. Air mata dibiar mengalir seperti air sungai yang mengalir deras keluar dari puncanya menuju ke muara. Esakan Aisyah terdengar kuat memenuhi ruang bilik rawatan ICU. Kedua-dua tangannya menutup wajahnya yang pucat lesi mendengar khabaran tadi. Seorang Jururawat datang merapati Aisyah dan menggosok perlahan bahu dan belakangnya. Tersedu-sedu Aisyah menahan sedih. Air matanya berkali-kali dikesat dan cuba dikeringkan tetapi kembali basah.

                “Doktor tipu. Tadi doktor cakap keluarga saya selamat” ada sendu di setiap kalimah yang keluar dari mulut Aisyah.

                “Aisyah. Buat apa doktor nak menipu? Memang mereka semua sudah selamat. Mereka sudah selamat bertemu Allah” Aisyah yang mendengar kenyataan itu, bertambah kuat tangisannya. Doktor membiarkan Aisyah tenggelam dalam sendu beberapa ketika. Dibiarkan tenang sedikit sebelum menyambung perbualan.

                “Aisyah. Seperti yang doktor katakan tadi, semoga Aisyah redha dengan pemergian mereka. Doakan kesejahteraan mereka. Insyaallah mereka sedang bergembira di sana”

                “Tapi kenapa Allah tidak mengambil nyawa Aisyah sekali?” ada getaran dalam nada Aisyah.

                “Redha ialah menerima segala kehendak Allah dengan yakin dan dalam masa sama tidak mempersoalkan segala yang telah ditentukan Allah. Jika mempersoalkan, itu dinamakan pasrah. Aisyah redha atau pasrah?”

                “Insyaallah Redha….” Aisyah kembali tenggelam dalam kesedihan. Doktor hanya membiarkan. Doktor berfikir, manusia mana yang mampu tersenyum ketika mengetahui kematian orang yang disayanginya. Sedangkan Rasululullah pun menangis dengan pemergian isterinya Khadijah dan bapa saudaranya Abu Thalib.

***

                Nora mengesat air matanya yang masih berbaki di pipi. Cerita Aiman tentang Aisyah tadi cukup menyanyat hati. Rasa seperti hatinya disiat-siat dengan pisau yang tajam. Pedih yang teramat apabila memikirkan keadaan Aisyah ketika itu.

                “Jadi lepas tu, apa jadi dengan Aisyah?”

                “Alhamdulillah kebetulan doktor tu adalah kenalan ana di sekolah dahulu. Dia yang hubungi ana dan ceritakan semua ni. Setelah dia meneliti maklumat yang diperoleh dari Aisyah, dia dapat tahu Aisyah bersekolah di sini. Masa tu Aisyah tingkatan 3.”

                “Ya Allah. Tahun lepas ke kejadian ni?”

                “Aah. Ana pun baru tahun pertama mengajar. Masa tu ana buntu juga nak tolong macam mana. Jadi ana tanya pendapat mak dan ayah ana. Sebab Aisyah cuma ada nenek dan keluarga pakciknya yang juga adik kepada ayahnya. Masa tu Aisyah tak tahu macam mana nak hubungi diorang. Sebab semua nombor ada di dalam telefon bimbitnya. Telefon bimbitnya pula hancur waktu kejadian”

                “Oh, jadi ustaz tolong carikan keluarga pakciknya semula?”

                “Ya. Lebih kurang macam tu la. Dengan kerjasama pihak polis. Rupa-rupanya keluarga pakciknya tinggal di Perlis. Bersama neneknya. Lepas sebulan kemalangan tu, baru diorang dapat berita”

                “Ya Allah…jadi kalau dah jumpa pakciknya, kenapa Aisyah tak duduk di Perlis sahaja dengan diorang?”

                “Aisyah kurang rapat dengan keluarga pakciknya. Lagipun pakciknya dah berkeluarga dan ada 7 orang anak. Semua masih belajar. Tapi pakciknya tak kisah untuk ambil Aisyah sebagai anak angkat diorang. Cuma mereka minta supaya Aisyah terus sambung belajar di sini. Ana dah cerita kepada ustaz Jamal tentang hal ni. Dan dia setuju untuk memberi Aisyah belajar secara percuma di sini”

                “Aisyah duduk asrama ya?”

                “Aah. Dua minggu sekali pakciknya datang jenguk. Kadang-kadang bawak dia jalan-jalan sekitar selangor ni. Kemudian pakciknya serahkan kepada ana kepercayaan untuk meninjau keadaan Aisyah sepanjang Aisyah di sini. Ana pegang duit belanja dia. Kalau dia ada masalah apa-apa, dia akan mengadu pada ana”

                “Oh, sebab tu ke. Patutlah Aisyah suka kat ustaz”

                “Ishk. Ke situ pulak. Ana anggap dia macam adik ana sendiri je”

                “Itu ustaz yang rasa. Dia?”

                “Hmmm.. dia kan kekurangan kasih sayang dari keluarganya. Sebab tu dia mahukan perhatian dari orang lain”

                “Betul ustaz cakap tu. Lebih-lebih lagi bila ustaz selalu ambil berat pasal dia, lagi lah kemungkinan besar untuk dia suka pada ustaz. Itu antara kelemahan perempuan. Mudah jatuh hati”

                “Hmm…entahlah” Aiman mengeluh panjang.

                “Kesian Aisyah. Dia perlukan kasih sayang seseorang. Keluarganya dah pergi. Dia tinggal seorang menghitung nasib diri. Bila kasih cuba dicurahkan kepada orang yang dia sayang, ditolak pula” Nora sengaja mahu melihat reaksi Aiman.

                “Ana faham maksud ustazah. Bukan niat ana nak menolak. Tapi dia anak murid ana. Dan ana dah pun anggap dia macam adik ana sendiri. Ustazah kena faham tu”

                “Tapi dia kan anak yatim? Bukankah mengambil anak yatim itu sangat mulia? Lebih-lebih lagi menjadikan dia isteri?” Nora menguji lagi. Dia sengaja menekankan perkataan anak yatim itu untuk memberi maksud dirinya sendiri. Nora berharap Aiman faham maksud tersirat yang cuba disampaikan.

                “Ya. Memang mulia. Tiada siapa boleh sangkal kenyataan tu. Walaupun dia anak yatim, tapi dia masih belajar. Masih belum dewasa”

                “Hmmm…bagaimana jika anak yatim itu sudah tamat belajar dan sudah dewasa?” Nora tertunduk malu. Pipinya merah memikirkan apa yang telah diluahkannya sebentar tadi. Jika Aiman faham ayat kiasannya, pasti malunya bertambah. Tapi malu harus diketepikan jika hati sudah tekad. Hati Aiman mesti cepat direbut sebelum hati itu dirampas orang lain.

                “Err…kalau sudah dewasa? Hmm…itu kena fikir lain la. Tapi dengan Aisyah memang tidak sesekali. Kerana ana anggap dia seperti adik ana sendiri. Mana mungkin ada perasaan cinta pada adik sendiri”

                “Oh. Ok” Nora mengangkat semula wajahnya setelah perasaan malunya hilang dijamah ayat literalis Aiman. Sah Aiman tidak mengerti maksud tersirat tadi.

                “Jadi ustazah sanggup tolong ana nasihatkan Aisyah?”

                “Insyaallah. Tak ada masalah. Bila?”

                “Bila-bila pun boleh. Sebaiknya sebelum minggu depan”

                “Ok insyaallah”

***

                Tasnim tiba-tiba muncul di depan pintu pejabat SMART. Serta merta terlihat Aiman dan Nora sedang berbincang. Muka Tasnim segera berubah. Ada riak cemburu pada air mukanya. Aiman dan Nora yang perasan kehadiran Tasnim segera memandang kepadanya.

                “Assalamualaikum Tasnim. Buat apa di sini?” Aiman dan Nora serentak senyum pada Tasnim.

                “Waalaikumsalam. Tak ada apa ustaz, saya datang nak tinjau-tinjau keadaan sekolah je. Dan ada bawak sedikit bantuan kewangan untuk sekolah” Tasnim cuba mengawal emosinya yang sudah tergugat dengan kewujudan Nora dihadapannya.

                “Jemputlah masuk dulu. Ustaz Hakim pun ada tu.” Aiman memberi isyarat menggunakan ibu jarinya menghala kepada ustaz Hakim. Ustaz Hakim yang perasan suara adiknya Tasnim segera menoleh. Ustaz Hakim kehairanan melihat Tasnim datang seorang diri.

                “Eh Tasnim, kenapa datang ni? Ayah mana?” Ustaz Hakim bertanya. Tasnim segera masuk dan berdiri berhampiran abangnya. Aiman dan Nora hanya tersenyum.

                “Ayah tak ada. Dia sibuk. Tasnim datang sendiri ni”

                “Yeke? Kenapa Tasnim tak bagitahu awal-awal nak datang?”

                “Kenapa? Tak boleh?”

                “Bukan tak boleh, tapi buatlah appointment dulu. Ustaz Jamal sibuk tu. Dia ada tetamu sekarang.”

                “Kalau sibuk tak apa lah. Tasnim balik dulu la. Esok-esoklah tasnim datang semula”

                “Ok. Hati-hati bawak kereta tu”

                Tasnim berlalu pergi dan meminta izin dari Aiman dan Nora untuk pulang dahulu. Ustaz Hakim yang memerhati riak muka Tasnim yang berubah sejak tadi seolah-olah memberikan suatu petanda. Sepertinya ada sesuatu yang cuba disembunyikan adiknya itu. Ustaz Hakim bertekad mahu menyoal siasat adiknya itu selepas dia pulang ke rumah nanti. Mana tahu dia boleh bantu setakat yang dia mampu.

***

                Malam itu setelah selesai makan bersama, Ustaz Hakim memanggil Tasnim untuk duduk di ruang tamu. Ada sesuatu yang penting mahu dibincangkan. Dato’ Hamzah meminta diri untuk terus masuk ke dalam bilik untuk beristirehat awal.

                Ustaz Hakim menempatkan dirinya di atas sebuah sofa lembut buatan Italy. Sementara Tasnim duduk di kerusi malas betul-betul di tepi sofa. Tangannya mencapai remote televisyen dan dia menekan-nekan sesuatu.

                “Tasnim. Cuba bagitahu abang betul-betul sebab apa Tasnim datang ke sekolah tadi? Betul ke nak bagi sumbangan? Atau ada niat lain?” ustaz Hakim memandang tepat wajah Tasnim disebelahnya. Tasnim berlagak selamba. Matanya tepat mengarah ke televisyen di hadapannya.

                “Nak bagi sumbangan la. Macam sebelum ni” Tasnim jawab acuh tak acuh.

                “Yeke ni? Ayah yang suruh datang?”

                “hmmm…” Tasnim tidak mahu menjawab.

                “Ok. Tak mahu jawab ye. Kalau macam tu biar abang tanya ayah sendiri” Ustaz Hakim mahu bangun dari duduknya. Segera dihalang Tasnim.

                “Ok Tasnim mengaku. Tasnim datang sendiri. Nak sumbang duit sendiri. Tak boleh?”

                “Bukan tak boleh. Tapi pelik”

                “Apa yang peliknya?”

                “Pelik la sebab sebelum ni tak pernah macam ni”

                “La..saja je nak sumbang kat sekolah tu. Sebab sekolah tu kan banyak kekurangan” Ustaz Hakim mengurut-ngurut janggut nipisnya sambil mengerling pada mata Tasnim apabila mendengar kenyataan yang dilontarkan tadi. Ustaz Hakim cuba mencari udang disebalik mee goreng.

                “Oklah. Straight to the point. Abang rasa abang dapat hidu tujuan sebenar Tasnim datang tadi.”

                “Apa dia?”

                “Sebab nak jumpa ustaz Aiman kan?”

                “Ishk. Bukanlah”

                “Tak payah nak berdalih sangat la. Dari muka Tasnim pandang ustaz Aiman tadi pun abang dah tahu”

                “Apa yang abang tahu?”

                “Tahu yang Tasnim suka ustaz Aiman”

                “Ishk abang ni. Tak lah!”

                “Betul Tasnim tak suka ustaz Aiman?”

                “Tak”

                “Oh tak suka. Baguslah. Baru ingat nak tolong Tasnim supaya dapat rapat dengan ustaz Aiman. Tak jadi la macam tu” Ustaz Hakim sengaja memprovok Tasnim. Air muka Tasnim segera berubah. Wajahnya yang murung sejak tadi, sudah bertambah ceria. Ada sinar harapan yang mula terpancar indah di depan matanya. Tetapi wajahnya kembali murung apabila memikirkan peristiwa di sekolah tadi.

                “Tapi, apa yang abang boleh tolong? Sebab dia pun dah suka perempuan lain. Tak boleh buat apa dah”

                “Mana tahu dia suka orang lain?”

                “Tadi. Nampak mesra je dia dengan perempuan tadi” Tasnim memuncungkan bibirnya.

                “Oh. Perempuan tadi? Nama dia Nora. Kawan Aiman masa di Jordan dulu. Tak ada apa-apa pun. Biasa la kawan lama tak jumpa. Mesti sembang pun banyak. Lagipun Nora tu bakal kakak ipar Tasnim tau!”

                “Wah. Betul ke? Alhamdulillah. Cerahlah harapan Tasnim lepas ni!”

                “Amboi. Bukan main suka dia”

                “Mestilah suka bila tahu seorang pesaing bakal disingkirkan. Hehe”

                “Belum tentu lagi. Tasnim kena usaha juga. Bukan hanya duduk dan berharap kelapa bergolek depan mata”

                “Apa kaitan kelapa pulak dalam hal ni?”

                “Itu perumpamaan la. Nak sesuatu kena usaha. Kalau tak berjaya. Usaha lagi”

                “Abis tu, yang Tasnim datang sekolah tadi bukan usaha? Itu salah satu usaha meninjau juga”

                “Yela”

                “Ok. Jadi apa yang abang nak tolong Tasnim untuk dapatkan ustaz Aiman”

                “Eh eh. Macam tak sabar je. Relek. Masa panjang lagi. Mula-mula biar abang merisik khabar dia dulu. Tengok dia dah ada yang punya ke tak. Lepas tu, kalau dah kompem tak ada, nanti tugas Tasnim pula merisik dia”

                “Macam mana Tasnim nak merisik dia?”

                “Nanti abang bagi la nombor telefon dia kat Tasnim. Lepas tu pandai-pandai la Tasnim risik dia. Kalau memang dia suka Tasnim, abang boleh tolong uruskan hal meminang” bersinar-sinar mata Tasnim mendengar cadangan dari abangnya. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal. Memang lena dibuai mimpi indah.

                “Ok deal!”

                Ustaz Hakim tersenyum puas. Sinar harapannya untuk mendekati Nora semakin cerah. Andai adiknya Tasnim dapat disatukan dengan Aiman, sudah pasti Nora tiada lagi pilihan lain selain dia.

                “Deal!”

Comments
2 Responses to “Pintu Takdir (Bab 10)”
  1. ila says:

    eh ada komplot pulak kan adik beradik ni. sian aisyah, mgkin nora boleh bantu dia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: