Berfikir sebelum bermaksiat

the_thinking_man_by_jonc20-d2y3jlh

Melakukan dosa atau maksiat itu biasanya dirasakan indah. Luarnya cantik. Rupanya menarik. Malah melakukan dosa biasanya lebih mudah dari melakukan ibadah. Pelbagai jalan dan cara terbentang luas untuk melakukan dosa. Jalannya terbuka dan lurus. Dan biasanya melakukan ibadah pula, jalannya  sempit dan bersimpang siur. Kerana itu tidak mustahil ramai manusia lebih memilih untuk bermaksiat pada Allah dari mengabdikan diri pada-Nya.

Allah sudah menjelaskan kepada manusia bahawa mereka perlu memilih satu dari dua jalan. Ibadah atau maksiat. Pahala atau dosa. Kerana tiada tengah-tengah diantara dua pilihan. Tiada tengah-tengah antara dua destinasi. Tiada tengah-tengah antara syurga dan neraka.

Namun, penjelasan Allah itu bersifat keimanan. Ia memerlukan hati yang bersih dan akal yang suci untuk menerimanya. Kerana Allah menjelaskan ia di dalam Al-quran. Dalam bentuk tulisan bukan perbuatan. Tidak ramai yang terkesan dengannya. Malah tidak ramai yang cuba memahaminya. Kerana itu Allah memberi manusia akal untuk berfikir. Tanpa akal, manusia umpama binatang. Umpama lembu, kambing dan kucing. Jika manusia tidak menggunakan akal yang diberi, pastilah lebih teruk dari binatang itu sendiri.

Akal yang dikurnikan Allah kepada manusia adalah bertujuan untuk berfikir. Berfikir tentang penciptaan alam. Berfikir tentang kejadian manusia. Berfikir tentang kebesaran Allah. Berfikir untuk diri sendiri. Malah untuk melakukan sesuatu perkara itu, manusia perlu berfikir.

Pada asalnya, perintah Allah dan larangan-Nya itu bersifat ibadah. “sami’na wa ato’na”. kami dengar dan kami patuh. Pada zahirnya, kita tidak Nampak Allah menyuruh manusia berfikir ketika melakukan ibadah atau menjauhi maksiat. Tetapi Allah menjelaskan pada ayat-ayat-Nya yang lain dengan menyebut berkali-kali tentang pentingnya berfikir.

“afala tatafakkarun”. Tidakkah kamu berfikir?

“afala tatadabbarun”. Tidakkah kamu bertadabur?

“afala ta’qilun”. Apakah kamu tidak berfikir?

Kerana itu berfikir bukanlah sesuatu yang dilarang. Malah antara sumber syariah adalah qiyas, ijma’ dan ijtihad yang memerlukan ulama’ untuk berfikir. Ianya dituntut oleh agama.

Semua manusia boleh berfikir. Tidak kira orang islam atau bukan islam. Kerana akal dikurniakan Allah kepada semua manusia. Segala perkara yang disuruh oleh Allah semuanya adalah untuk kebaikan manusia. Sebaliknya segala perkara larangan itu pastinya membawa keburukan untuk diri manusia.

Contohnya mudah dalam ibadah. Memberi zakat adalah perkara yang disuruh Allah. Sesetengah orang merasakan berat untuk melakukannya. Tetapi jika difikir semula, zakat tidak sedikit pun mengurangkan hartanya. Ia Cuma memberikan harta kepada pemiliknya yang asal iaitu penerima zakat. Malah jika difikirkan dengan lebih dalam, bagaimanakah perasaan anda jika andalah orang yang miskin dan anda menerima zakat itu? Pernahkah anda terfikir? Sudah pasti andalah manusia paling gembira saat itu.

Contoh pada larangan pula. Mencuri adalah perkara larangan Allah. Malah Allah meletakkan hukum hudud khas buat pencuri. Pertama sekali cuba bayangkan anda adalah pencuri. Sudah pasti anda akan rasa gembira dengan hasil curian anda. Mungkin mencapai untung ribuan ringgit dan mungkin mencapai jutaan ringgit. Tetapi, ambil masa sebentar, fikirkan diri anda adalah mangsa curi. Duit anda dicuri beribu ringgit. Laptop, handset, duit semuanya diambil. Anda gembira? Sudah pasti tidak. Malah mungkin anda akan berusaha sedaya mungkin untuk mencari pencuri itu dan membunuhnya! Fikirkan kembali.

Memang akal manusia yang normal akan suka pada kebaikan dan tidak suka pada kejahatan. Cuma istimewanya kita sebagai orang islam adalah kita punya Al-quran dan as-sunnah sebagai pemandu akal. Kita ada contoh teladan yang bijaksana, iaitu nabi Muhammad s.a.w.

Dari Abu Umamah telah berkata: Sesungguhnya pernah ada seorang pemuda yang datang kepada Nabi s.a.w mengatakan:  “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku berzina”. Saat itu, orang-orang yang ada di situ membentaknya seraya mengatakan: “Mah, mah!”(isyarat membentak). Sementara Rasulullah s.a.w menyuruh pemuda itu untuk mendekatinya. “Mendekatlah”. ajak baginda. Pemuda itu pun mendekat.

Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya: “Sukakah engkau kalau hal ini terjadi pada ibumu?”

“Tidak, demi Allah, aku sebagai jaminanmu”. Jawabnya.

“Demikian pula halnya setiap manusia pasti tidak menyukai hal itu terjadi pada ibu-ibu mereka”. Jelas Rasulullah s.a.w kepada pemuda itu.

Kemudian baginda ajukan pertanyaan lagi: “Sukakah engkau jika hal itu terjadi pada anak perempuanmu?”.

Ia Jawab: “Tidak, demi Allah, Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu”.

Baginda menjelaskan lagi: “Demikian pula manusia tidak menyukai hal itu terjadi pada anak perempuan mereka”.

Kemudian baginda bertanya lagi: “Sukakah engkau jika hal itu terjadi pada saudara perempuanmu?”

Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah, Allah menjadikan aku sebagai jaminanmu”.

Lalu baginda bersabda: “Tidak pula manusia menyukai hal itu terjadi pada saudara-saudara perempuan mereka.

“Sukakah engkau jika hal itu terjadi pada makcik sebelah bapa kamu?”. Tanya baginda kembali.

Dijawabnya: “Tidak, demi Allah, Allah menjadikan aku sebagai jaminanmu”.

Kemudian Rasulullah s.a.w nyatakan: “Tidak pula manusia menyukai hal itu terjadi pada makcik sebelah bapa mereka.

Baginda berikan lagi pertanyaan: “Sukakah engkau jika hal itu terjadi pada makcik sebelah ibumu?”

Jawab pemuda itu: “Tidak, demi Allah, Allah menjadikan aku sebagai jaminanmu”.

Rasulullah s.a.w berkata: “Tidak pula manusia menyukai hal itu terjadi pada makcik sebelah ibu mereka.

Selanjutnya Abu Umamah menyatakan: Maka Rasulullah meletakkan tangannya kepada pemuda itu seraya mengucapkan: “Ya Allah, ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya”. (HR. Ahmad dan Thabrani, disahihkan oleh Al-Albani dalam Silsilah no. 370)

Sebagaimana manusia itu tidak menyukai dirinya dibunuh, maka Allah melarang membunuh. Sebagaimana manusia itu tidak suka barangnya dicuri, maka Allah melarang mencuri. Sebagaimana manusia tidak suka dikenakan riba, maka Allah melarang perbuatan riba. Sebagaimana manusia tidak suka dizalimi, maka Allah melarang perbuatan zalim. Dan sebagaimana manusia tidak suka ditipu, maka Allah melarang perbuatan menipu.

Segalanya jelas jika kita punya akal. Tidak perlu pada dalil untuk berfikir. Semuanya fitrah asal dalam diri manusia. Setiap kali ada terbentang di depan mata dengan dua pilihan, maka pilihlah dengan bijak. Jika larangan dalam al-quran dan hadis tidak diendah, sekurang-kurangnya berfikirlah dengan akal. Konsep mudah yang perlu dihadam sebaik mungkin, segala perintah Allah itu pasti ada hikmah dan kebaikan untuk diri dan manusia lain, dan segala larangan Allah pasti ada kesan buruk pada diri dan manusia lain.

Mahu melakukan maksiat? Fikir, fikir dan fikir.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: