Bercinta, biarlah ke syurga

cinta ke syurga

Adam. Suatu ketika dahulu. Di saat dirinya masih muda, Jiwanya terlalu mentah, Akalnya masih cetek, Imannya masih lemah, Adam terjebak di dalam cinta remaja sewaktu alam persekolahan.

Adam tahu semua itu salah, namun hatinya tidak mampu melawan keinginan nafsu yang kuat menarik. Adam sedar semua itu tidak betul, namun akalnya pendek memikirkan kenikmatan yang sementara itu.

Adam masih teringatkan senyuman lirik manja Hawa. Itulah senyuman ikhlas pertama dari seorang perempuan yang bukan dari keluarganya. Hati Adam berbunga-bunga.

Adam masih teringat pada saat pertama kali Hawa mengirim salam kepadanya. Kiriman salam itu tersirat bersamanya makna dan maksud yang mendalam. Adam sedar semua itu. Adam kemudian dirasuk beribu perasaan baru yang sangat asing baginya sebelum itu.

Adam juga masih teringat. Di kala pertama kali tangannya menggigil menulis surat buat Hawa. Akalnya pula diperah untuk menghasilkan idea dan bicara. Adam sanggup berjaga malam di saat tiada siapa pun yang sedar. Kerana surat itu adalah yang pertama kepada seorang perempuan yang bukan dari keluarganya.

Adam masih teringat. Ketika dia mendapat hadiah hari jadi pertama dari seorang perempuan yang bukan dari keluarganya. Gembiranya tidak terkata. Biarpun hadiah biasa bukan bernilai ratusan ringgit.

Adam juga masih teringat ketika mana pertama kali mencuri novel kakaknya untuk dijadikan hadiah kepada Hawa. Rasa bersalah itu ada, tetapi semuanya dilakukan demi membahagiakan Hawa.

Masih segar diingatan Adam, di saat dirinya dipanggil oleh guru disiplin kerana kesalahannya menulis surat pada Hawa. Adam melihat ada air bergenang di mata Hawa. Menanti untuk tumpah. Adam menahan sebak. Kerana kemungkinan itulah kali terakhir dia menatap wajah Hawa.

Semua itu sejarah. Sejarah dan pengalaman hidup buat Adam. Masih tersemat kemas dalam ingatan. Namun Adam yang sudah dewasa kembali berfikir. Adakah itu yang dinamakan cinta? Kalau cinta, sudah pasti ianya membawa ke syurga. Bukan terhenti di tengah jalan begitu sahaja.

Adam mengumpul semangat. Adam mengikat tekad. Kisah nabi Adam dan Hawa dijadikan pedoman. Bahagia menyemarak cinta di syurga. Namun dipisahkan Allah kerana berbuat dosa.

Adakah cinta itu yang berdosa? Sudah pasti tidak. Jika cinta yang berdosa, sudah pasti Allah tidak akan makbulkan permintaan Adam untuk dijadikan pasangan dari dirinya.

Adakah memiliki perasaan cinta itu bersalah? Sudah pasti tidak. Kerana jika memiliki perasaan cinta itu bersalah, sudah pasti Allah tidak akan ciptakan perasaan itu di dalam diri Adam dan Hawa.

Adam mengambil ibrah. Kisah itu dirasakan hampir sama dengan kisah hidupnya. Allah menemukan Adam dan Hawa kerana cinta. Allah memisahkan Adam dan Hawa kerana dosa.

Namun, Allah Maha pengasih. Segala yang diatur sudah ada hikmah yang tersembunyi. Yakin dan tawakal diuji. Iman dan amal cuba didaki. Agar suatu hari nanti, Adam dan Hawa bertemu kembali dalam keadaan hati putih berseri.

Di saat mereka terpisah jauh beribu batu, Adam cuba perbaiki diri. Mungkin dirinya masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga bahagia. Mungkin ilmunya masih cetek untuk mengharungi mehnah berkeluarga. Mungkin imannya belum kukuh untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Kerana Adam sedar, cinta itu bukan hanya pada kata-kata. Bukan hanya angan-angan dan impian. Cinta itu adalah fitrah yang bersih. Cinta yang mampu membawa ke syurga. Kerana Adam terfikir, jika bercinta, biarlah ke syurga.

Ketika mereka terpisah oleh masa, Adam diuji kesabaran penantian dan setia. Adam sedar dirinya bukan sesiapa. Tetapi dia yakin Hawa bukan perempuan biasa. Saat Adam cekal mengukur setia, Adam tidak lekang mengukir Hawa di dalam doanya. Mengharap Allah menjadi saksi setianya Adam pada Hawa. Adam yakin, jika tanpa redha Allah, harapannya sia-sia. Dan Adam yakin, jika bercinta, biarlah ke syurga.

Ketika mereka dikelilingi kemodenan, Adam diuji ketahanan iman. ketika mana banyaknya medium perhubungan, Adam tidak mahu menyalahgunakan. Kerana Adam merasakan, rindu bukan diukur banyaknya SMS, atau banyaknya EMAIL, tetapi diukur pada banyaknya sebutan di dalam doa. Kerana Adam yakin, jika bercinta, biarlah ke syurga.

Di saat Adam dikelilingi rakan sebaya yang sudah berkeluarga, Adam diuji redha. Mungkin masanya buat Adam belum tiba. Allah masih mahu Adam menambah bekal iman dan amal. Buat penyeri rumah tangganya kelak. Agar rumah tangganya nanti dilimpahi rahmat dan berkat. Kerana Adam yakin, bercinta biarlah ke syurga.

Ketika mana mereka terpisah, Hawa benar-benar memahami prinsip Adam. Disitu Adam diuji rasa syukur. Adam yakin pilihannya tidak pernah tersasar. Kerana Adam tahu tidak mudah bagi Hawa menahan perasaannya yang membuak-buak. Rindu Hawa terubat dengan air mata dan doa. Kerana bukan mudah memendam rasa. Di saat Adam diam tanpa sebarang berita. Kerana Hawa juga yakin, bercinta biarlah ke syurga.

Adam berfikir seorang diri. Cinta itu diciptakan Allah di dalam diri setiap manusia. Namun, cinta sering disalah tafsir oleh sebahagian remaja. Bagi mereka, cinta itu ialah berhubung setiap hari, bertemu  dan berpegang tangan sebelum ikatan nikah yang sah. Tafsiran itu jelas tersasar dari maksudnya yang sebenar.

Namun, tidak kurang juga ada cinta yang di salah guna. Ada yang bercinta kerana rupa, harta, pangkat dan keturunan. Sedangkan cinta seperti itu hanya menjadikan cinta itu sementara. Cinta kerana rupa, akan lupus apabila tiada rupa. Cinta kerana harta, akan hilang kerana habisnya harta. Cinta kerana pangkat akan nipis apabila turunnya pangkat. Dan cinta kerana keturunan akan melayang apabila ia sudah memilikinya.

Adam kembali berfikir. Untuk apa semua cinta itu kalau bukan atas dasar iman? cinta-cinta seperti itu pengakhirannya di dunia. Sedangkan Adam mahukan cintanya kekal hingga ke syurga. Maka Adam bertekad, jika mahu bercinta, biarlah ke syurga.

Adam tersenyum seorang diri. Kerana dia yakin Hawa juga melakukan perkara yang sama saat itu.

Comments
4 Responses to “Bercinta, biarlah ke syurga”
  1. ila says:

    moga sentiasa Allah pelihara. doa.yakin.percaya.selamat bermujahadah.

  2. faqih says:

    nape lama x update?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: