Perkahwinan dan tanggungjawab

jari cinta

Apabila menyebut tentang perkahwinan, pasti ramai yang suka. Lebih-lebih lagi yang masih belum berkahwin. Ya, memang benar perkahwinan itu sering dikaitkan dengan bahagia, cinta, rindu, hidup bersama dan syurga dunia. Namun, ramai yang terlupa atau buat-buat lupa pada satu perkara yang memang tidak dapat dipisahkan dengan perkahwinan. Iaitu tanggungjawab.

Tanggungjawab pada erti kata sebenarnya bermaksud tugasan atau bebanan yang harus dipikul seseorang sehingga ianya mesti menanggung sebarang permasalahan yang dihadapi orang yang ditanggungnya. Dan lebih spesifiknya, ia menanggung kesalahan dan dosa orang di bawah jagaannya dan perlu menjawab di akhirat nanti apabila ditanya oleh Allah terhadap tanggungannya. Jika ia tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik, maka nantikan balasannya. Berat bukan?

Perkahwinan yang dibina memerlukan persediaan rapi dari kedua mempelai. Terutamanya ilmu pengetahuan tentang perkahwinan. Kerana ianya bukan sekadar bahagia di dalamnya, tetapi lebih dari itu. Perkahwinan sebenarnya salah satu institusi kehidupan yang lebih mencabar naluri dan perasaan seseorang. Meski di dalamnya ada bahagia, namun disitu ada juga cabaran yang melukakan.

Anda pasti pernah mendengar ungkapan ini. Dan ianya pernah dinyanyikan oleh Allahyarham T.S P.Ramlee dengan suara merdunya di dalam cerita komedinya 3 abdul. ‘sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri’.

Di dalam sebuah perkahwinan, tanggungjawab itu tidak hanya dipikul oleh si suami. Tetapi ianya harus dipikul bersama. Kerana masing-masing mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri. Sebagai suami, tanggungjawabnya ialah memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya dan anak-anaknya yang masih belum baligh. Nafkah itu termasuklah makanan dan persetubuhan. Lebih dari itu, ia perlu menyediakan sekurang-kurangnya tempat tinggal untuk mereka, pakaian, ubat-ubatan, barang-barang mandi dan lain-lain perkara asas. Jika diperincikan lagi, nafkah makanan perlu disediakan paling kurang 3 kali sehari untuk ahli rumah. Semuanya itu telah dibincangkan dengan teliti oleh para ulama’ dalam kitab-kitab mereka.

Namun harus diingat, maksiat secara terang-terangan yang dilakukan oleh isteri dan anak juga akan ditanggung oleh suami. Tapi jangan salah faham, ia bukan bermakna isteri dan anak terlepas dari menanggung dosa mereka sendiri, mereka tetap menanggung dosa yang mereka sendiri lakukan tanpa sebarang pengurangan. Namun yang dimaksudkan dengan dosa ditanggung suami itu ialah bilamana si suami tidak menegur kesalahan dan maksiat yang dilakukan isteri dan anaknya. Jadi si suami akan menanggung dosa kerana tidak menegur. Bukan dosa maksiat yang dilakukan oleh isteri dan anaknya. Malah jika si suami telah menegur, namun si isteri masih tetap melakukan maksiat, maka si suami sudah terlepas dari dosa yang perlu ditanggungnya.

Dalam soal teguran, ianya mempunyai beberapa tahap yang mesti si suami tahu. Yang pertama mestilah menasihat, kemudian jika tidak berkesan, maka tinggalkan tempat tidur dan jika masih juga tidak berkesan, barulah memukul dengan pukulan ringan seperti yang disebut di dalam kitab suci-Nya:

” Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka dari tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”. (al-Nisaa’ : 34)

Si isteri juga mempunyai tanggungjawab yang harus dipikul di dalam perkahwinan. Iaitu menjaga maruah dirinya dan suaminya serta menjaga harta suaminya. Si anak pula mempunyai tanggungjawab untuk taat dan hormat kepada kedua ibu bapanya jika disuruh pada sesuatu perkara yang tidak bertentangan dengan islam. Dan tanggungjawab bersama suami isteri adalah untuk mentarbiyah dengan tarbiyah sohihah terhadap anak mereka.

Begitulah gambaran awal tentang tanggungjawab yang mesti dihadam dengan baik oleh pasangan mempelai sebelum membuat keputusan untuk membina gerbang perkahwinan yang diidamkan.

Islam sangat menggalakkan perkahwinan. Lebih-lebih lagi golongan muda. Kerana apa? Kerana dengan perkahwinan, maka keluarga yang harmoni dapat dibina atas ikatan yang sah. Si isteri akan rasa terlindung dengan adanya suami. Dan si suami juga akan rasa aman dan tenteram bersama isterinya yang sah. Kemudian zuriat dapat dilahirkan dari sebuah keluarga yang harmoni seterusnya zuriat-zuriat itu akan menjadi anggota masyarakat islam yang lebih luas. Lebih ramai zuriat yang terhasil dari sebuah perkahwinan yang sah, lebih baik kesannya pada islam itu sendiri. Malah sangat disukai oleh Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda:

“Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak.” (Riwayat Ahmad)

Zuriat-zuriat itu yang telah melalui tarbiyah awal di rumah, akan masuk ke dalam masyarakat dan memberi sumbangan besar terhadap Negara dan islam itu sendiri. Maka apabila kita berkahwin, perlu untuk kita tahu implikasinya terhadap masa depan islam. Ianya sebuah ekosistem yang tersusun dan rapi.

Dari situ adanya larangan terhadap zina. Kerana dengan zina, akan lahirnya zuriat yang tidak diingini oleh pasangan zina tersebut. Maka anak zina ini samada dibuang atau dibiarkan hidup sendirian, ianya akan mengganggu ekosistem yang disebut tadi. Jika ia masih hidup, anak itu akan membesar tanpa tarbiyah yang sempurna dari kedua ibu bapanya.

Islam juga mensyariatkan penceraian kepada suami dan fasakh kepada si isteri. Perkahwinan bukan tiket untuk si suami memukul isterinya tanpa sebab. Dan perkahwinan juga bukan tiket buat si isteri derhaka kepada suaminya. Maka, kedua pensyariatan ini berfungsi bilamana ia menjadi jalan akhir buat pasangan yang mempunyai masalah hidup bersama. Begitulah betapa sempurnanya syariat islam yang telah diturunkan oleh Allah buat umat manusia seluruhnya. Tapi hanya mereka yang mahu berfikir sahaja mampu memahaminya dengan baik.

Selesai pemahaman kita tentang perkahwinan dan tanggungjawab, namun apa kaitan antara keduanya? Kenapa mesti setiap perkahwinan adanya tanggungjawab? Bukankah perkahwinan itu mesti dipenuhi kebahagiaan semata-mata dan kenapa mesti dibebani dengan tanggungjawab yang merunsingkan? Kerana sinonimnya perkahwinan dengan kebahagiaan. Dan sinonim pula tanggungjawab dengan perkara yang tidak disukai dan membebankan. Jadi kenapa perlu bergabung antara keduanya? Jawapannya di sini.

Sebenarnya pasti ada orang yang akan merungut, setiap kali nak buat benda yang gembira, pasti ada benda yang membebankan. Nak kahwin, tapi ada pula tanggungjawab. Anda perlu tahu, sebenarnya anda berfikir cara yang salah. Sepatutnya begini. Setiap perkara yang membebankan, pasti akan datang perkara yang menggembirakan. Kerana tanggungjawab itu adalah perkara asal dan asas bagi setiap manusia. Lahir sahaja manusia ke atas muka bumi, Allah telah membebankan ia dengan tanggungjawab. Tanggungjawab menjadi khalifah di muka bumi.

Allah SWT berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di atas muka bumi. ” (Al-Baqarah: 30)

Maka setiap tanggungjawab yang membebankan itu, Allah hadirkan kegembiraan bagi mengurangkan rasa bebanan yang ditanggung. Sepertimana di dalam soal perkahwinan, Allah hadirkan tanggungjawab terhadap manusia untuk menegakkan islam di atas muka bumi ini. Untuk merialisasikannya, umat islam perlu ramai. Untuk ramai, manusia perlu berkahwin. Kerana itu Allah hadiahkan kepada umatnya pensyariatan perkahwinan bagi merialisasikan tanggungjawab besar itu.

“karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah:5-6)

Kesusahan datang dahulu sebelum kesenangan datang meringankan. Kerna itu kita perlu perbetulkan semula kefahaman kita. Sebenarnya bukan dengan perkahwinan itu Allah hadirkan tanggungjawab, tapi dengan tanggungjawab yang membebankan, Allah hadirkan perkahwinan bagi meringankan bebanan tersebut. Kerana dalam perkahwinan akan adanya kegembiraan sesama pasangan. Ianya meraikan fitrah manusia itu sendiri untuk hidup berpasangan dengan orang yang dia cintai. Jadi tidak hairan seseorang yang selepas berkahwin, dirinya akan lebih bersemangat untuk belajar, bekerja dan sebagainya.

“Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Ruum :21).

Semoga perkongsian ini dapat memberi kefahaman yang baik kepada pasangan yang ingin ataupun yang sudah berumah tangga. Perkahwinan tidak akan setiap masa membahagiakan. Ianya akan diselang selikan dengan ujian dan musibah. Di situ akan terujinya kesabaran dan keimanan pasangan untuk terus mempertahankan rumah tangga yang dibina. Kesefahaman yang terbina awal akan lebih memudahkan pasangan mencari jalan penyelesaian, bukan mencari siapa yang bersalah. Perbincangan harus sentiasa dibuat bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang timbul. Dan bermasam buka sesama pasangan bukanlah jalan yang baik. Jadi kesepakatan yang matang antara pasangan pasti menjadikan rumah tangga sentiasa tenang walau kadang kala ianya bergelora.

Sebelum saya akhiri tulisan ini, saya sertakan potongan akhir lagu yang dinyanyikan Saloma bersama P.Ramlee. Semoga bermanfaat.

‘suami isteri mesti berpakat, rumah tangga mendapat berkat. Apa guna selisih faham, kalau ingin aman tenteram. Pohon ampun wahai kanda’

Wallahua’lam.

Comments
2 Responses to “Perkahwinan dan tanggungjawab”
  1. ila says:

    mantop syeikh.tak lama dah ni insyaallah😉 jazakallah atas perkongsian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: