Realiti bagaikan mimpi

7-Undangan-Pernikahan-Unik-Yang-Bisa-Anda-Pilih-Saat-Pernikahan-620x330

Pagi itu Fazil bangun pagi awal dari kebiasaan. Penuh semangat. Solat subuh dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Kemudian setelah selesai, dia membuka video bacaan al-quran surah al-Kahf alunan saudara Fatih Seferagic. Sambil bersila di atas tilamnya dan menghirup air coklat panas bagi menghilangkan sedikit kedinginan cuaca pagi.

Fazil berasa amat tenang. Meski masih banyak plannya untuk menghadapi hari bahagia itu masih belum dia rencanakan dan laksanakan. Dia sudah ada perancangan secara rawak, namun segala perancangan masa depannya sekadar melayang-layang di dalam minda. Belum benar-benar serius untuk dicatat dan dijadualkan.

Fazil membelek chat whatsapp nya petang semalam dengan si dia. Ada beberapa perancangan awal yang sudah mula dibincang. Soal akad, hari majlis, mahar dan hantaran. Segala kos dan perbelanjaan sudah mula berlegar-legar di ruang fikiran.

Fazil tersenyum sendiri. Tersengih-sengih seperti kerang busuk. Fazil tersenyum sendiri kerana memikirkan yang dia sudahpun ada ikatan dengan seorang gadis yang dia cintai sejak dari bangku sekolah menengah. Bagai dalam mimpi. Mula mengenalinya 11 tahun lepas. Kemudian terpisah jauh dek jarak dan masa. Lantas ditakdirkan bakal bersama kembali sebagai suami isteri yang sah tidak sampai 7 bulan sahaja lagi. Fazil tersenyum lagi. Kali ini lebih lebar.

“astaghfirullah! hah! Sabar Fazil! Rancang dan plan betul-betul untuk perkahwinan nanti. Kau sekarang ni tak banyak masa dah. Tak lama lagi je. Sekarang bukan masa untuk berangan! Alam perkahwinan bukan alam permainan. Tapi alam serius. Alam yang penuh cubaan dan dugaan. Kalau kau tak bersedia dari sekarang, takut kau keciciran kemudian hari! Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian…”. Hati Fazil memarahi dirinya.

“sesal kemudian tiada berguna! Alah kau ni, setakat peribahasa tu aku pun tahu la! Tak payah nak ajar!”. Dia membalas semula desak hatinya.

Fazil segera menjeling jam loceng yang tergantung di tiang besi rak buku. Sudah pukul 7 pagi. Dia segera mencapai kertas dan pen di atas meja. Fazil mengambil posisi yang paling selesa di atas tilam. Setelah pen di tangan, kertas di hadapan mata, Fazil tidak membuang masa lagi. Dia pun mula menulis. Ayat pertama ditulisnya, ‘Plan to NIKAH’.

Fazil berkira-kira jumlah kewangan yang bakal dibelanjakan untuk hari pernikahan nanti. Fazil meletakkan target bajet yang tinggi supaya boleh bersedia awal dari sebarang kemungkinan. Meskipun pada hakikatnya tidak sampai semahal itu. Fazil segera menghubungi beberapa kawannya yang sudah bernikah dan yang sedang dalam perancangan untuk bernikah. Minta berkongsi ilmu dan pengalaman sekadar mana yang mampu. Fazil mengakui, urusan sebelum akad nikah memang memerlukan persediaan rapi. Agar suatu hari nanti, kita tidak menyusahkan pihak lain semata-mata untuk kebahagiaan perut sendiri.

Fazil teringat pada kata-kata nasihat ayahnya kepada abangnya suatu ketika dahulu. Bilamana abangnya menyatakan hasrat untuk bertunang dan bernikah. Jawab ayahnya mudah. Dan Fazil tahu itulah prinsip yang dipegang ayahnya sejak dari dulu dalam mengajarkan anak-anaknya untuk hidup lebih berdikari.

“hang nak nikah, nikah lah. Ayah tak pernah halang. Tapi pembelajaan sendiri lah. Beli cincin pun sendiri. Bukan ayah yang tanggung. Sebab yang kahwin nanti, bukan ayah, tapi hang”

Ketika itu Fazil hanya tersenyum melihat muka abangnya yang kusut. Kerana Fazil masih mentah dalam dunia itu. Fikirnya persediaan pernikahan hanya memerlukan kos sekitar RM1000-2000. Fazil menggeleng apabila teringatkan kata-kata ayahnya. Meski cerita itu sudah lama, namun kesannya melekat sehingga sekarang. Cara ayahnya mengajarkan anaknya untuk berdikari cukup memberi impak positif kepada fazil serta adik beradik yang lain.

Fazil juga teringatkan ayahnya yang pernah bercerita tentang kisahnya ketika bujang. Bilamana ayahnya pernah berniaga ketika di universiti. Semata-mata ingin mencari duit belanja untuk menangggung kos pelajarannya. Fazil juga pernah melihat gambar lama ayahnya dan emaknya yang mendokong abang sulungnya ketika kecil. Emaknya duduk di tangga kayu dengan tudung labuh lusuh dan ayahnya berdiri di belakang dengan badan yang kurus dan pakaian yang biasa. Fazil mengamati keadaan rumah ketika itu. Rumah kayu berlantaikan papan berbumbungkan zink. Rupanya bukan mudah permulaan hidup ayah dan emaknya ketika di awal perkahwinan. Betul-betul menjadi inspirasi kepada Fazil untuk bersedia menghadapi apa-apa sahaja kemungkinan kelak.

“orang kata, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang..”

“bersenang-senang kemudian lah! Apa la. Ingat orang tak tau ke?”. Marah Fazil pada hatinya.

Fazil kembali fokus pada perancangannya. Kali ini setelah mencongak jumlah secara kasar yang perlu dibelanjakan, Fazil terus ke fasa kedua. Fasa yang lebih besar dan penting. Iaitu fasa merancang mencari sumber dan mengumpul kewangan sehingga sampai ke tahap yang ditetapkan.

Memandangkan Fazil masih seorang mahasiswa, sumber kewangannya amat terhad. Banyak duit terpaksa dibelanjakan untuk urusan belajar dan rumah sewa. Jadi, duit yang Berjaya dikumpul setiap bulan juga amat terhad. Tambahan pula duit belanja yang diperolehi dari ayahnya atau kakaknya kadang kala kurang yang amat dan jauh dari cukup. Terpaksalah Fazil memikirkan cara lain untuk mencari sumber kewangan. Alhamdulillah rezekinya banyak hadir dalam keadaan yang tidak disangka. Kemahiran yang tidak semena-mena hadir tanpa perlu berkursus itu Fazil manfaatkan ia dengan sebaiknya. Fazil yakin, itulah janji Allah buat mereka yang mahu bernikah di jalan yang halal.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan kahwinilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan beri kemampuan kepada mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (an-Nur : 32)

Kemudian sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang bermaksud: Rasulullah s.a.w bersabda: “Carilah rezeki dengan menikah”.

Fazil kembali fokus pada perancangannya. Setelah dikira-kira, lebih kurang 4 bulan sahaja waktunya yang berbaki di bumi para ambiya’, Mesir ini. Dia perlu bijak mencari sumber kewangan secukupnya. Tidak banyak waktu untuk bermain dan termenung. Masa dan tenaganya perlu lebih fokus pada sasarannya. Misi penting harus dicapai sebaik mungkin.

“Fazil! kau mesti Berjaya capai target! Apa guna ada target dan niat, tapi pelaksanaan tak ada? Kau harus yakin kau mampu walaupun masa agak singkat!”. Hatinya memotivasi.

“aku tau lah! Kau ingat aku ni Fazil yang dulu ke? Aku bakal jadi suami orang, tanggungjawab aku berat. Aku dah sedar semua tu! Kau tak payah nak ajar aku la!” Gertak Fazil pada hatinya. Dalam diam Fazil mengakui bahawa nasihat hatinya itu benar belaka.

Fazil seorang yang pantang dicabar. Lebih-lebih lagi bila cabaran itu dilontarkan oleh hatinya sendiri. Hatinya mencabar dirinya. Dan biasanya apabila dicabar, dirinya akan lebih bertenaga dari sebelumnya.

“aku yakin aku mampu! Huh!”

Setelah mencongak-congak, Fazil memperolehi jumlah yang sepatutnya. Cuma dia perlu memikirkan beberapa perkara sebelum terlupa. Iaitu perbelanjaan untuk menghantar kitab dan barangnya pulang ke Malaysia melalui kargo. Kemudian urusan dalaman dengan pihak universiti dan ditambah dengan sedikit pembeliaan barang dari Mesir sebagai cenderahati buat ahli keluarganya di Malaysia.

Beberapa perancangan ditambah sebagai backup plan. Fazil termenung seketika. Memang benar islam itu agama unik. Dalam pada kita tidak suka suatu perkara yang penting, Allah datangkan natijah kegembiraan untuk terus memberi kita tenaga menghadapinya. Dalam menghadapi kesusahan mencari rezeki, Allah beri kita kekasih hati untuk menguatkan.

Fazil tidak membuang masa. Perkara sebegini perlu perbincangan dua hala. Bukan bergerak sebelah kaki. Takut tempang di tengah jalan. Dia terus mengambil handphone nya untuk menghantar mesej whatsapp kepada si dia. Beberapa jam kemudian baru dibalas.

“wasalam. Eh sori tak bukak wasap”

“takpe”

Maka perbincangan Fazil dan bakal isterinya berlangsung. Banyak perkara dibincangkan dan banyak yang disepakati. Fazil mengakui memang amat mudah berkomunikasi dengan si dia. Tidak cerewet. Tidak banyak membantah dan tidak banyak songeh. Sikap itu hampir sama dengan sikap yang ada dalam diri Fazil sendiri. Dalam diam Fazil mengucap syukur tidak terhingga kepada Allah kerana mengurniakan gadis sebaik itu kepada dirinya.

Tambahan pula, sikap ibu bapa si dia juga amat memudahkan urusan. Ibunya amat memahami status Fazil sebagai mahasiswa yang masih merangkak mencari sumber rezeki dan ketiadaan pekerjaan tetap. Ibunya meminta Fazil sendiri menetapkan jumlah wang hantaran. Tidak perlu terlalu mahal, ikut kemampuan. Bapanya pula terlebih dahulu berjanji akan membelanjakan wangnya sendiri untuk urusan majlis perkahwinan nanti. Tinggal Fazil hanya perlu menguruskan mana-mana bahagian penting selain itu seperti kad jemputan dan barang hantaran.

“awak nak iphone tak? Saya boleh belikan untuk hantaran”

“tak nak”

“laptop baru? Bukan laptop awak dah nak rosak ke?”

“tak payah la laptop, bukan nak guna sangat pun”

“kamera untuk selfie?”

“awak perli eh? tak payah barang mahal-mahal. Saya bukan pandai jaga barang pun. Nanti rosak. Lagipun baik simpan duit untuk kegunaan masa lepas kahwin. Nak bayar sewa rumah dan sebagainya”

“ok insaf jap”

“ok barang awak pulak. awak nak barang apa pulak selain jam?”

“jam dinding”

“memainlah dia ni”

“ok-ok. apa-apa je awak beli, saya accept”

“kalau saya beli untuk awak benda bukan-bukan baru tau”

“takpa. Tak kesah. Semua makanan pun tak apa”

“cepat la”

“ok-ok. Saya nak awak”

“haish!”

Fazil tergelak seorang diri di hadapan skrin handphonenya. Dalam serius, pasti ada jenakanya. Fazil menarik nafas lega. Fazil mengakuinya. Memang benarlah gadis yang dia kenali ini benar-benar sepadan dan sesuai dengannya. Terlalu banyak perkara susah dimudahkan. Terlalu banyak perkara mudah bertambah mudah. Sungguh cantik aturan Allah. Fazil mengucap syukur.

Fasa perancangan sudah hampir siap. Kini tinggal satu lagi fasa yang perlu Fazil hadapi. Dan ini adalah penentu kepada keberhasilan fasa sebelumnya. Iaitu fasa perlaksanaan. Jika tanpa fasa ini, maka sia-sialah fasa sebelumnya. Ia ibarat teori tanpa praktikal. Kata ahli hukama, Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Sedikit pun tidak memberikan sebarang hasil. Bahkan Allah sendiri selalu mengingatkan manusia tentang perkara ini.

Allah berfirman dalam surah Ar-Ra’d ayat 11: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang pada diri mereka.”

Fazil mengakui kebenaran kalam suci Allah ini. Dia dapat merasakannya sekarang. Tanpa usaha yang baik, maka jangan diharap hasil yang baik. Segalanya dimulakan dengan perancangan dan diakhiri dengan perlaksanaan.

“awak, jap”

“ya ada apa wak?”

“saya teringat semalam awak ada cakap rasa semua ni macam mimpi. Saya pun rasa macamtu. Sebab rasa macam mudah je jalannya. Umi babah pun ok. Then teringat sahabat yang dah kahwin cakap, jawapan istikharah tu tak semestinya mimpi atau rasa hati, kadang Allah akan permudahkan jalan untuk itu”

“yup”

Fazil sekali lagi mengungkap kata syukur tidak terhingga pada Allah. Kerana tanpa Allah, apa pun tidak akan jadi. Kalau Allah tak izin, buat la usaha macam mana pun, pasti tak jadi. Tapi kalau Allah izin, usaha sikit saja, tapi hasilnya selalunya tidak disangka.

Allah Maha Adil. Dia bukan sahaja menilai manusia dari luarannya, tapi juga melihat dalaman. Kalau hati benar-benar ikhlas mahu mendirikan rumah tangga sakinah, maka Allah permudahkan. Jika bertujuan buruk yang terpesong dari tujuan asal, maka Allah akan susahkan. Fazil yakin dengan itu dan keyakinan itu sentiasa dikuatkan dengan kata-kata dari si dia.

Fazil tersentak sebentar. Memang benarlah dunianya kini ibarat mimpi. Semuanya indah dan mudah. Tidak banyak masalah dihadapi. Tapi Fazil tahu bahawa ini bukanlah mimpi. Tapi sebuah realiti. Realiti yang sedang dihadapi. Tetapi indahnya ibarat mimpi.

Fazil memejam mata dan mengungkap kata syukur.

“Alhamdulillah. terima kasih ya Allah”

 

 

Comments
2 Responses to “Realiti bagaikan mimpi”
  1. ila says:

    alhamdulillah fazil nak kaweng dah. moga urusan dipermudahkan fazil.kirim salam bakal

Leave a comment